KUALA LUMPUR, 16 DISEMBER 2024 – Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi musim 1446H/2025M kepada bakal jemaah haji Muassasah yang pertama kali menunaikan ibadat haji.
Bantuan Kewangan Haji pada musim haji kali ini dianggarkan berjumlah RM261 juta dan ini menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada lebih RM2.8 bilion dalam masa 25 tahun. Jumlah bantuan yang besar ini telah memberikan kesan langsung terhadap kemampanan kewangan TH dan pulangan kepada pendeposit.
Justeru, TH telah mengambil langkah menurunkan kadar Bantuan Kewangan Haji secara berperingkat sejak 2022, ke arah memenuhi konsep kemampuan dalam menunaikan ibadah haji (istito’ah) dan bagi membantu kelestarian kewangan TH demi memelihara kepentingan pendeposit.
Keputusan ini adalah selari dengan resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan yang menetapkan bakal jemaah haji bertanggungjawab atas perbelanjaan sebenar menunaikan ibadah haji, selari dengan konsep istito’ah di mana ibadat haji diwajibkan bagi umat Islam yang berkemampuan.
BAYARAN KOS HAJI 2025 BAGI B40
Bakal jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang mendapat bantuan Kerajaan bagi B40, akan menerima Bantuan Kewangan Haji daripada TH sebanyak RM17,300 seorang dan ditambah bantuan Kerajaan sebanyak RM1,000 seorang. Bantuan yang berjumlah RM18,300 ini adalah lebih separuh (55 peratus) daripada keseluruhan Kos Haji, menjadikan Bayaran Haji bagi seorang jemaah B40 berjumlah RM15,000.
BAYARAN KOS HAJI 2025 BAGI M40
Bakal haji Muassasah kumpulan M40 pula akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada keseluruhan Kos Haji. Bayaran Haji bagi seorang jemaah M40 ialah RM23,500.
BAYARAN KOS HAJI 2025 BAGI T20
Jemaah Muassasah kumpulan T20 yang berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan, perlu menjelaskan bayaran penuh kos haji iaitu RM33,300 seorang. Ini adalah selari dengan prinsip penyasaran bantuan yang sedang dilakukan oleh Kerajaan.
BAYARAN KOS HAJI 2025 BAGI RAYUAN
Bagi Bakal Haji yang membuat rayuan luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah, mereka yang terpilih melalui proses rayuan perlu membayar penuh Kos Haji selaras dengan syarat istito’ah.
Rayuan haji akan dikenakan bayaran penuh RM33,300 seorang.
3 pengecualian bayaran penuh diberikan kepada rayuan kes berikut:
- Mahram
- Pengiring Jemaah
- Lanjut usia
- Pengiring kelainan upaya (OKU)
- Giliran Sebelum Tahun Semasa
“Terdapat hampir empat (4) juta pendeposit yang telah mendaftar haji dan sedang menunggu giliran untuk menunaikan haji, namun kuota adalah terhad. Kos Haji Muassasah adalah jauh lebih rendah daripada pakej haji yang ditawarkan oleh syarikat swasta yang dilesenkan oleh TH dimana harga bermula sekitar RM55,000 seorang,” jelas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman.
TH telah dapat mengekang peningkatan kos bagi musim haji 1446H/2025M, dimana Kos Haji masih kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah Muassasah. Bagi mengawal Kos Haji, TH telah berusaha untuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak yang meningkat.
Harga penginapan di Tanah Suci juga telah meningkat dengan mendadak akibat daripada pembangunan pesat di Makkah dan Madinah. Namun, TH telah berjaya mengikat perjanjian dengan pengusaha hotel untuk beberapa tahun akan datang bagi memastikan keterjaminan harga penginapan terkawal.
Kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci merangkumi 87 peratus dari kos keseluruhan dan adalah di luar kawalan TH.
Mengambil berat tentang konsep istito’ah, dari tahun 2022 hingga 2024, lebih 700 orang jemaah Muassasah B40 dan M40 telah memilih untuk membayar samada Kos Haji secara penuh atau lebih dari bayaran minima yang ditetapkan TH. Pihak TH menyambut baik sikap positif ini.
Tambah Syed Hamadah lagi, setiap tahun terdapat kira-kira 70,000 – 80,000 rayuan untuk menunaikan haji dan mereka bersedia membayar penuh kos haji.
Prinsip Bantuan Kewangan Haji bersasar adalah selaras dengan polisi TH untuk mengurangkan Bantuan Kewangan Haji, yang dibiayai dari keuntungan pelaburan, secara beransur-ansur sejak 2022 demi kemampanan kewangan TH.
Penurunan Bantuan Kewangan Haji juga adalah adil bagi memastikan kelestarian kewangan TH dan mengurangkan kesan Bantuan Kewangan Haji terhadap pulangan pelaburan kepada pendeposit. Memastikan kadar pulangan yang baik dan mampan juga adalah salah satu dari tanggungjawab penting TH.
Semakan Surat Tawaran Haji 2025 / Rayuan
Surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi tahun 1446H/2025M akan mula dikeluarkan secara berperingkat mulai 16 Disember 2024. Bakal haji perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab tawaran.
Rayuan Haji
RAYUAN HAJI 2024 akan dibuka secara ONLINE melalui THIJARI. Tarikh rayuan dibuka bermula 26 Disember 2024.
Imbas Kembali : Kos Bayaran Haji 2024
Sebagai perbandingan, berikut dikongsikan kos bayaran haji bagi tahun 2024 yang dilaksanakan oleh Tabung Haji di bawah.
- Kos haji seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji tahun 2024 meningkat kepada RM33,300 berbanding RM30,850 tahun 2023
- Kadar bayaran haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang pertama kali tunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM12,356 manakala RM19,152 bagi kumpulan M40
- Kerajaan akan tanggung RM1,000 bagi seorang bakal haji kumpulan B40
Apakah Kos Haji?
Apakah pula Bayaran Haji?
Jom fahami kedua-dua perkara tersebut melalui info tahun 2022 yang dikongsikan oleh Lembaga Tabung Haji Malaysia.
Kos haji adalah kos langsung yang dibayar bagi mendapatkan perkhidmatan untuk menunaikan ibadat haji seperti kos penerbangan dan penginapan yang merangkumi kira-kira 70 peratus daripada kos keseluruhan. Kos-kos lain antaranya termasuk sajian makanan, pengangkutan bas, khemah di Arafah dan Mina serta perkhidmatan Mutawif selama 40-45 hari. Hampir kesemua perkhidmatan ini disediakan di Arab Saudi dan terkesan dengan kenaikan Cukai Tambah Nilai (Value Addex Tax) dan kadar inflasi di sana.
Selain dari kos-kos langsung, TH turut menanggung sepenuhnya kos tidak langsung yang meliputi kursus-kursus persediaan haji, penerbitan buku panduan, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan petugas-petugas haji.
Apakah Kos Haji?
Kos haji merujuk kepada semua bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan untuk seseorang itu ke Tanah Suci bagi menunaikan haji.
Kos langsung Jemaah Muassasah terdiri daripada kos penerbangan, kos pengangkutan, kos penginapan di Mekah dan Madinah, kos makan minum dan bayaran kepada pihak berwajib di Arab Saudi.
Bayaran haji merujuk kepada sejumlah wang yang ditetapkan sebagai bayaran seorang jemaah haji kepada TH untuk membolehkannya menunaikan haji bagi sesuatu tahun.
Pengeluaran KWSP Untuk Tujuan Haji
Untuk makluman, bakal haji yang telah terpilih pada tahun semasa adalah layak membuat pengeluaran wang di KWSP.
Jumlah pengeluaran adalah berdasarkan baki simpanan dalam Akaun TH bagi tujuan mencukupkan Bayaran Haji (Muassasah).
Had maksima pengeluaran yang dibenarkan oleh KWSP adalah sebanyak RM3,000 sahaja dan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
- Ahli KWSP
- Mengemukakan surat tawaran haji ke pejabat KWSP
- Mengemukakan Penyata Simpanan TH ke pejabat KWSP
- Berumur kurang 55 tahun
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat terkini dan perincian lebih lanjut tentang kos haji 2025 dan tawaran bantuan yang ditetapkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH), sila rujuk pautan di pautan berita penuh: https://shorturl.at/PHEWK
- Facebook rasmi : Tabung Haji
- Laman web rasmi : https://www.tabunghaji.gov.my/