Kos Bayaran Haji Setiap Jemaah Bagi Musim Haji 1443H / 2022 M
TH masih memberi Bantuan Kewangan Haji secara bersasar kepada jemaah haji walaupun terdapat kenaikan Kos Bayaran Haji pada tahun ini.
Berikut dikongsikan info terkini tentang bayaran Haji yang telah diumumkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji pada 22 April 2022.
Kos Bayaran Haji TH 2022
Kos Bayaran Haji Setiap Jemaah Bagi Musim Haji 1443H/2022M
- RM10,980 bagi jemaah haji kumpulan B40
- RM12,980 bagi jemaah haji kumpulan bukan B40
Terdahulu, Lembaga Tabung Haji (TH) telah menjangkakan kos untuk jemaah Muassasah menunaikan ibadat haji pada tahun ini (1443H/2022M) akan meningkat kepada lebih RM25,000 untuk seorang jemaah haji Muassasah susulan peningkatan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan Kerajaan Arab Saudi.
Kos untuk mengerjakan haji bagi jemaah Muassasah pada tahun 2019 ialah RM22,900. Peningkatan 12 peratus ini mengambil kira peningkatan Cukai Tambah Nilai (Value Addex Tax) yang telah dinaikkan daripada 5 peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan. Ini tidak mengambilkira pelbagai peningkatan kos dengan SOP baharu yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
Kos haji adalah kos langsung yang dibayar bagi mendapatkan perkhidmatan untuk menunaikan ibadat haji seperti kos penerbangan dan penginapan yang merangkumi kira-kira 70 peratus daripada kos keseluruhan. Kos-kos lain antaranya termasuk sajian makanan, pengangkutan bas, khemah di Arafah dan Mina serta perkhidmatan Mutawif selama 40-45 hari. Hampir kesemua perkhidmatan ini disediakan di Arab Saudi dan terkesan dengan kenaikan Cukai Tambah Nilai (Value Addex Tax) dan kadar inflasi di sana.
Bantuan Voucher Shopee Sehingga RM500 Untuk Pembaca eCentral Daftar Sekarang!
Selain dari kos-kos langsung, TH turut menanggung sepenuhnya kos tidak langsung yang meliputi kursus-kursus persediaan haji, penerbitan buku panduan, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan petugas-petugas haji. Jumlah kos tidak langsung ini sahaja mencecah RM60 juta setiap tahun.
“Kos haji yang meningkat saban tahun disebabkan faktor inflasi di Arab Saudi, pergerakan mata wang asing, pengenalan caj dan cukai baharu, penambahbaikan perkhidmatan serta pembangunan di Makkah dan Madinah. TH menjangkakan kos ini akan terus meningkat pada masa hadapan. Namun, setakat ini TH masih meneruskan bantuan kewangan haji kepada semua jemaah Muassasah yang mengerjakan haji buat kali pertama,” kata Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif Haji.
“TH telah mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun yang lalu walaupun kos untuk menunaikan haji telah meningkat setiap tahun. Dalam tempoh 2001 sehingga 2019, bayaran haji telah meningkat 16% manakala kos haji pula telah melonjak sebanyak 139% disebabkan faktor luar kawalan TH. Rekod TH menunjukkan RM2 bilion telah diberikan kepada jemaah haji dalam bentuk bantuan kewangan haji sejak 2001,” tambah beliau.
Meskipun ibadat haji ditangguhkan dua kali akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia sejak 2020, TH tetap meneruskan persiapan haji dengan mengambil kira situasi semasa dan perkembangan di Arab Saudi. Para bakal haji juga harus membuat persediaan awal dari segi kesihatan dan perbelanjaan haji. Pada ketika ini, Kerajaan Arab Saudi masih belum membuat pengumuman rasmi berkenaan ibadat haji bagi Musim 1443H/2022M.
Apakah Kos Haji?
Apakah pula Bayaran Haji?
Jom fahami kedua-dua perkara tersebut melalui info terkini tahun 2022 yang dikongsikan oleh Lembaga Tabung Haji Malaysia.
Apakah Kos Haji?
Kos haji merujuk kepada semua bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan untuk seseorang itu ke Tanah Suci bagi menunaikan haji.
Kos langsung Jemaah Muassasah terdiri daripada kos penerbangan, kos pengangkutan, kos penginapan di Mekah dan Madinah, kos makan minum dan bayaran kepada pihak berwajib di Arab Saudi.
Bayaran haji merujuk kepada sejumlah wang yang ditetapkan sebagai bayaran seorang jemaah haji kepada TH untuk membolehkannya menunaikan haji bagi sesuatu tahun.
Kos Bayaran Haji Jemaah TH Sebelum Ini
Sebagai panduan, Bayaran Haji bagi Musim Haji 1440H/2019M untuk jemaah haji Muassasah adalah seperti berikut:
Kategori (Muassasah) | Kos Haji | Bayaran Kos Haji oleh TH | Bayaran Haji Oleh Jemaah |
---|---|---|---|
Warganegara kali pertama menunaikan haji | RM 22,900 | RM 12,920 | RM 9,980 |
Warganegara telah tunai haji | RM 22,900 | Tiada | RM 22,900 |
TH masih terus menanggung bayaran tidak langsung bagi Jemaah Haji Malaysia secara percuma seperti:
- Penerbitan buku dan risalah panduan haji,
- Kursus-kursus haji,
- Petugas haji kebajikan dan perubatan,
- Kos berkaitan operasi haji di tanah air;
- Perkhidmatan tambah nilai yang disediakan untuk Jemaah Haji Malaysia; dan
- Ubat-ubatan.
Data & Statistik Kos Haji 2022 / Terkini Oleh Lembaga Tabung Haji
Tahun | Kos Sebenar (RM) | Bayaran Haji Per Jemaah (RM) | Tanggungan Bantuan Bayaran Haji (HAFIS) TH Perjemaah (RM) | Jumlah Keseluruhan Bantuan Bayaran Haji (HAFIS) TH (RM) |
---|---|---|---|---|
2021M / 1442H | Haji Ditangguhkan | |||
2020M / 1441H | Haji Ditangguhkan | |||
2019M / 1440H | 22,900 | 9,980 | 12,920 | 298 Juta |
2018M / 1439H | 22,450 | 9,980 | 12,470 | 313 Juta |
2017M / 1438H | 19,550 | 9,980 | 9,570 | 298 Juta |
2016M / 1437H | 18,890 | 9,980 | 8,910 | 160 Juta |
2015M / 1436H | 17,270 | 9,980 | 7,290 | 135 Juta |
2014M / 1435H | 16,155 | 9,980 | 6,175 | 106 Juta |
2013M / 1434H | 15,555 | 9,980 | 5,575 | 93 Juta |
Sumber: Lembaga Tabung Haji
Baca juga: Rayuan Haji TH 2022 : Cara Permohonan Online & Soalan Lazim
Pengeluaran KWSP Untuk Tujuan Haji
Untuk makluman, bakal haji yang telah terpilih pada tahun semasa adalah layak membuat pengeluaran wang di KWSP.
Jumlah pengeluaran adalah berdasarkan baki simpanan dalam Akaun TH bagi tujuan mencukupkan Bayaran Haji (Muassasah).
Had maksima pengeluaran yang dibenarkan oleh KWSP adalah sebanyak RM3,000 sahaja dan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
- Ahli KWSP
- Mengemukakan surat tawaran haji ke pejabat KWSP
- Mengemukakan Penyata Simpanan TH ke pejabat KWSP
- Berumur kurang 55 tahun
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat terkini dan perincian lebih lanjut tentang kos haji yang ditetapkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH), sila rujuk pautan di laman web berikut:
https://www.tabunghaji.gov.my/ms/haji/kos-haji-dan-bayaran