Kisah Nabi Musa & Mukjizatnya – Cerita Ringkas Kanak-kanak

kisah nabi musa
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Kisah Nabi Musa & Mukjizatnya  – Cerita Ringkas Kanak-kanak

Nabi Musa AS adalah salah satu dari 25 nabi dan rasul yang wajib diimani oleh setiap Muslim. Kisah hidupnya penuh dengan mukjizat dan pelajaran berharga.

Salah satu peristiwa paling menakjubkan dalam hidup Nabi Musa adalah ketika Nabi Musa membelah Laut Merah dengan izin Allah SWT.

Berikut dikongsikan kisah selanjutnya. 

BACA JUGA: Kisah Nabi Yunus Ditelan Ikan Nun – Cerita Ringkas Kanak-kanak

Siapakah Nabi Musa?

Nama sebenar Nabi Musa adalah Musa bin Imran bin Qohath bin Lewi bin Yaakub bin Ishaq bin Ibrahim. Baginda adalah merupakan keturunan Nabi Ibrahim.

Nabi Musa a.s. diutus oleh Allah SWT untuk membebaskan Bani Israel dari penindasan Firaun di Mesir. Firaun adalah seorang raja yang kejam dan angkuh, yang menganggap dirinya sebagai tuhan. 

Dihanyutkan Di Sungai

Kisah Nabi Musa & Mukjizatnya - Cerita Ringkas Kanak-kanak

Nabi Musa AS dilahirkan di Mesir pada zaman pemerintahan Firaun yang menindas Bani Israel, keturunan Nabi Yaakub. Pada masa itu, Firaun mengarahkan agar setiap bayi lelaki dari Bani Israel dibunuh. 

Untuk menyelamatkan nyawanya, ibu Nabi Musa meletakkannya dalam bakul yang kemudiannya dihanyutkan ke sungai Nil. Atas kehendak Allah, bayi Musa dijumpai oleh isteri Firaun dan dibesarkan sebagai putera di istana.

Sejak berusia tiga bulan hingga dewasa Musa tinggal di istana itu sehingga orang memanggilnya Musa bin Firaun. Nama Musa sendiri diberi keluarga oleh Firaun.

Ketika bayi Nabi Musa menangis kelaparan, para dayang mencarikan ibu susuan, tetapi Nabi Musa menolak untuk menyusu kepada siapa pun dan menangis tidak berhenti. 

Sehinggalah datang seorang wanita yang menawarkan untuk menyusukan Musa. Barulah Musa mahu menyusu dan berhenti menangis. Wanita tersebut sebenarnya adalah merupakan ibu sebenar Musa. 

Terdapat satu ayat dalam Al-Quran yang menghuraikan peristiwa itu: “Maka Kami kembalikan Musa kepada ibunya supaya senang hatinya dan tidak berdukacita dan supaya dia mengetahui janji Allah itu benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”

Mukjizat Nabi Musa

Nabi Musa mempunyai beberapa mukjizat yang Allah kurniakan kepadanya, antaranya ialah: 

1. Tongkat Bertukar Menjadi Ular

فَأَلْقَىٰ عَصَاهُ فَإِذَا هِىَ ثُعْبَانٌ مُّبِينٌ

Maksud: : “Maka dia jatuhkan tongkatnya, lalu seketika itu juga ia berubah menjadi ular yang jelas”(Qs. Al-A’raf 107)

Ketika Nabi Musa diutus oleh Allah untuk berdakwah kepada Firaun, baginda diberikan mukjizat tongkat yang boleh berubah menjadi ular. 

Ini ditunjukkan semasa Nabi Musa berhadapan dengan ahli sihir Firaun, di mana tongkat baginda berubah menjadi ular besar yang menelan ular-ular kecil ahli sihir tersebut. Mukjizat ini membuktikan kekuasaan Allah melebihi sihir manusia.

2. Tangan Putih Bersinar

Nabi Musa juga diberikan mukjizat tangan yang boleh bersinar terang apabila dimasukkan ke dalam bajunya dan dikeluarkan kembali. Cahaya yang keluar dari tangannya begitu terang sehingga memukau orang-orang yang melihatnya. Dalam Surah Al-A’raf ayat 108, Allah berfirman:

وَّنَزَعَ يَدَهٗ فَاِذَا هِيَ بَيْضَاۤءُ لِلنّٰظِرِيْنَ

Maksudnya: Dia menarik tangannya, tiba-tiba ia (tangan itu) menjadi putih (bercahaya) bagi orang-orang yang melihat(-nya).” (QS. Al-A’raf: 108)

3. Laut Merah Terbelah

Salah satu mukjizat terbesar Nabi Musa adalah ketika baginda membelah Laut Merah dengan izin Allah. 

Ketika Firaun dan tenteranya mengejar Bani Israel, Nabi Musa mengangkat tongkatnya dan laut pun terbelah, membentuk laluan untuk Bani Israel melarikan diri. S

etelah mereka selamat melintas, laut kembali bertaut dan menenggelamkan Firaun serta tenteranya.

4. Diturunkan Kitab Taurat

Allah menurunkan kitab taurat kepada Musa AS, seperti dalam surah Al-An’am, ayat 154:

ثُمَّ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَٰبَ تَمَامًا عَلَى ٱلَّذِىٓ أَحْسَنَ وَتَفْصِيلًا لِّكُلِّ شَىْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لَّعَلَّهُم بِلِقَآءِ رَبِّهِمْ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Kemudian, Kami telah menganugerahkan kepada Musa Kitab (Taurat) untuk menyempurnakan (nikmat Kami) kepada orang yang berbuat kebaikan, menjelaskan secara rinci segala sesuatu, serta memberi petunjuk dan rahmat agar mereka beriman kepada pertemuan dengan Tuhannya.” (QS. Al-An’am: 154)

Pengajaran Kisah Nabi Musa

1. Keimanan dan Kepercayaan kepada Allah: Kisah Nabi Musa mengajar kita tentang pentingnya keimanan dan kepercayaan kepada Allah dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran hidup.

2. Keberanian dalam Menegakkan Kebenaran: Nabi Musa menunjukkan keberanian yang luar biasa dalam menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman, walaupun berhadapan dengan ancaman nyawa.

3. Kepentingan Doa dan Tawakal: Mukjizat Nabi Musa mengingatkan kita tentang kekuatan doa dan tawakal kepada Allah dalam mencari jalan keluar dari setiap masalah.

4. Kuasa Allah Tiada Tandingan: Mukjizat-mukjizat nabi Musa AS jelas membuktikan bahawa kuasa Allah tiada tandingannya. 

5. Jangan Bersikap Sombong: Sebagai makhluk Allah yang tidak mempunyai kekuasaan dan kehebatan seperti Allah, janganlah kita bersikap sombong dengan apa yang kita miliki. Sesungguhnya semuanya datang daripada Allah, dan hanya Allahlah yang maha Hebat dan maha Berkuasa.

Kesimpulan

Kisah Nabi Musa penuh dengan pengajaran dan hikmah yang penting untuk dijadikan teladan. Mukjizat-mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa adalah bukti kekuasaan Allah yang maha Esa.

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut