Kesan rumah hijau merupakan antara isu alam sekitar yang sering menjadi tumpuan. Ia juga merupakan salah satu punca utama bagi pemanasan global.
Namun, apakah maksud kesan rumah hijau dan bagaimana ia boleh memberi impak kepada Bumi?
Maksud Kesan Rumah Hijau
Kesan rumah hijau merupakan proses semulajadi yang melibatkan penyerapan haba dalam ruangan atmosfera Bumi.
Secara teorinya, tenaga solar daripada matahari akan diserap oleh permukaan Bumi. Sejumlah haba akan diperangkap oleh gas rumah hijau untuk memanaskan planet ini.
Pengumpulan haba inilah yang membuatkan Bumi menjadi planet yang bersuhu optimum dan sesuai untuk didiami oleh manusia, haiwan dan tumbuhan.
Namun, sejak beberapa dekad ini, aktiviti pelepasan rumah hijau didapati semakin meningkat.
Inilah yang menyebabkan lebih banyak haba terperangkap dalam lapisan atmosfera sehingga mengakibatkan pemanasan global.
Dalam satu abad, didapati jumlah gas rumah hijau seperti karbon dioksida, methane dan nitrus oksida meningkat sehingga dua kali ganda.
Dengan kata mudah, lebih banyak gas rumah hijau di atmosfera, keadaan Bumi akan menjadi lebih panas.
Punca
Aktiviti industri serta penggunaan pembakaran bahan api fossil (fossil fuel) merupakan antara punca utama kesan rumah hijau.
Pembakaran fossil fuel seperti minyak, arang, dan gas asli mengakibatkan pelepasan karbon dioksida. Bukan itu sahaja, malah pencawang elektrik dan kenderaan termasuk kereta, kapal terbang dan kereta api semuanya menggunakan fossil fuel.
Di samping itu, aktiviti penebangan hutan yang berleluasa telah membuatkan keadaan menjadi lebih teruk.
Tanpa pokok serta tumbuhan untuk menyerap karbon dioksida, ia akan kekal terperangkap di dalam Bumi.
Satu lagi gas rumah hijau yang banyak terperangkap di atmosfera adalah methane yang berpunca daripada aktiviti penternakan, pelupusan sampah serta pemprosesan gas asli dan perlombongan arang.
Sementara itu, nitrus oksida sering terhasil daripada aktiviti pertanian dan pembakaran fossil fuel.
Kesemua aktiviti ini menambah jumlah gas rumah hijau dan akhirnya mengakibatkan haba lebih banyak terperangkap dalam ruangan atmosfera Bumi.
Impak Gas Rumah Hijau Pada Bumi
Selain peningkatan suhu yang agak ketara di semua lokasi, kesan rumah hijau juga boleh dilihat pada fenomena alam dan perubahan cuaca global.
Antaranya adalah fenomena glasier cair dan pencairan ais yang mengakibatkan paras laut meningkat.
Di samping peningkatan suhu Bumi, saintis turut mencadangkan trend perubahan cuaca seperti hujan dan salji yang ekstrim juga adalah disebabkan oleh pembebasan gas rumah hijau yang semakin meningkat.
Sepanjang abad ke-20, penurunan hujan serta salji didapati meningkat di beberapa kawasan termasuk benua Amerika, utara Eropah serta benua Asia.
Walau bagaimanapun, ia didapati berkurang di sesetengah kawasan di benua Afrika, Mediterranean dan beberapa bahagian selatan Asia.
Usaha dan Penyesuaian Yang Boleh Dilakukan
Mengurangkan pelepasan gas rumah hijau adalah langkah yang penting bagi memperlahankan pemanasan global.
Meskipun terdapat beberapa usaha yang dilakukan oleh industri dan kerajaan, anda juga boleh memainkan peranan.
Antara kaedah yang boleh dipraktikkan adalah dengan menjimatkan penggunaan tenaga di rumah dan tempat kerja.
Pada masa yang sama, anda juga digalakkan untuk menggunakan sumber tenaga alternatif seperti tenaga solar dan bahan api bio (biofuel) yang tidak melibatkan pembakaran fossil fuel.
Pokok juga memainkan peranan dalam menyerap karbon dioksida. Oleh itu, adalah sangat digalakkan bagi orang ramai untuk melindungi hutan serta menanam lebih banyak pokok bagi mengimbangi gas rumah hijau di atmosfera.
Sumber : UCAR, National Geographic, NASA
Baca Juga : Karangan Alam Sekitar: Kesan & Langkah Menjaga Alam Sekitar