Kayap, atau herpes zoster, merupakan penyakit yang sering menimbulkan ketidakselesaan dan kesakitan jangkitan virusl varicella-zoster.
Virus ini adalah sama dengan yang menyebabkan cacar air, di mana ia kekal tidak aktif dalam tubuh selepas jangkitan awal dan boleh diaktifkan semula dalam keadaan tertentu.
Baca juga:
- Ubat Gatal Kulit : Jenis Ubat dan Krim Sapuan Serta Fungsinya
- 10 Ubat Gatal Paling Berkesan di Farmasi
- Bintik Merah di Badan: Punca & Cara Untuk Menghilangkan
Apa itu Kayap?
Penyakit kayap adalah jangkitan virus yang mengakibatkan ruam yang sakit. Ia boleh berlaku di mana-mana bahagian badan, kebiasaannya ia akan timbul sebagai ruam yang melilit pada bahagian kiri atau kanan tubuh.
Sekiranya ruam kayap ini mula timbul di bahagian muka, ia mungkin akan melibatkan mata, saraf, muka, atau telinga.
Punca & Sebab
Kayap berpunca daripada virus varicella-zoster, iaitu virus yang sama yang menyebabkan cacar air. Individu yang pernah dijangkiti cacar air berisiko untuk menghidap kayap. Selepas pulih daripada cacar air, virus ini kekal dalam sistem saraf dalam keadaan tidak aktif untuk tempoh bertahun-tahun.
Dalam sesetengah keadaan, virus tersebut boleh diaktifkan semula dan bergerak melalui saraf ke kulit, menyebabkan berlakunya kayap. Namun begitu, tidak semua individu yang pernah menghidap cacar air akan mengalami kayap.
Punca utama pengaktifan semula virus varicella-zoster tidak diketahui secara pasti. Walau bagaimanapun, ia dipercayai berkait rapat dengan penurunan daya tahan tubuh terhadap jangkitan seiring dengan pertambahan usia. Kayap lebih kerap berlaku dalam kalangan individu dewasa yang lebih tua dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.
Virus varicella-zoster tergolong dalam kumpulan virus herpes, yang juga merangkumi virus penyebab kudis sejuk (cold sores) dan herpes genital. Oleh itu, kayap turut dikenali sebagai herpes zoster.
Namun, perlu diingatkan bahawa virus yang menyebabkan cacar air dan kayap adalah berbeza daripada virus penyebab kudis sejuk atau herpes genital, yang merupakan jangkitan seksual.
Cara Untuk Diagnosis
Diagnosis kayap biasanya dibuat berdasarkan sejarah perubatan pesakit dan pemeriksaan fizikal.
Doktor akan mengenal pasti ruam khas kayap yang sering muncul dalam pola seperti jalur pada satu sisi badan. Ujian makmal seperti ujian kultur virus atau ujian PCR mungkin digunakan dalam kes yang kompleks atau untuk mengesahkan diagnosis.
Simptom & Gejala
Gejala kayap biasanya hanya menjejaskan bahagian kecil di sebelah badan anda. Antara gejalanya termasuklah seperti:
- Rasa sakit, terbakar atau kesemutan
- Kepekaan terhadap sentuhan
- Ruam merah yang bermula beberap hari selepas sakit
- Lepuh berisi cecair yang pecah dan berkerak
- Kulit gatal-gatal dan kemerahan
Selain itu, sesetangah individu turut mengalami simptom lain seperti:
- Demam
- Sakit kepala
- Sensitiviti kepada cahaya
- Kepenatan
Siapa Yang Berisiko Tinggi?
Individu yang berisiko tinggi mendapat kayap termasuk:
- Orang berumur lebih 50 tahun
- Pesakit dengan penyakit kronik seperti diabetes atau HIV
- Mereka yang menjalani rawatan menekan imuniti seperti kemoterapi atau steroid jangka panjang
- Individu yang pernah menghidap cacar air
Perbezaan Kayap dan Chicken Pox
Berikut adalah perbezaan antara kayap dan chicken pox (cacar air) yang diringkaskan dalam bentuk jadual:
Ciri | Kayap | Chicken Pox |
---|---|---|
Punca | Virus varicella-zoster yang diaktifkan semula | Jangkitan awal oleh virus varicella-zoster |
Kumpulan Umur | Biasanya orang dewasa, terutama yang berusia lebih 50 tahun atau dengan imuniti rendah | Kanak-kanak, tetapi boleh menyerang semua peringkat umur |
Gejala Utama | Ruam berjalur di satu sisi badan, sakit atau sensasi terbakar di kawasan terjejas | Ruam kecil yang merebak ke seluruh badan, gatal-gatal, dan demam |
Lokasi Ruam | Biasanya di kawasan tertentu sepanjang laluan saraf, seperti dada, muka, atau belakang | Seluruh badan, termasuk muka, perut, tangan, dan kaki |
Kesakitan | Sakit boleh menjadi teruk, termasuk neuralgia pascaherpetik selepas ruam sembuh | Biasanya tidak menyakitkan, tetapi menyebabkan gatal |
Komplikasi | Kehilangan penglihatan, neuralgia pascaherpetik, masalah neurologi | Jangkitan kulit, radang paru-paru, ensefalitis (jarang) |
Jangka Masa | 2-4 minggu untuk ruam sembuh, tetapi sakit boleh berterusan lebih lama | 1-2 minggu sehingga sembuh sepenuhnya |
Kebolehjangkitan | Tidak menular, tetapi boleh menyebabkan cacar air kepada seseorang yang belum pernah dijangkiti cacar air | Sangat menular melalui sentuhan langsung atau titisan udara |
Vaksinasi | Vaksin herpes zoster (seperti Shingrix) untuk mencegah kayap | Vaksin varicella untuk mencegah cacar air |
Perbezaan utama ialah chicken pox berlaku sebagai jangkitan awal, manakala kayap adalah pengaktifan semula virus yang sama selepas bertahun-tahun tidak aktif.
Komplikasi Kayap
Komplikasi yang timbul akibat kayak, termasuklah:
1. Neuralgia Pascaherpetik (Postherpetic Neuralgia)
- Bagi sesetengah individu, kesakitan akibat kayap boleh berlanjutan walaupun lepuh telah sembuh sepenuhnya. Keadaan ini dikenali sebagai neuralgia pascaherpetik, yang berlaku apabila gentian sraf yang rosak menghantar isyarat kesakitan yang keliru dan berlebihan dari kulit ke otak.
2. Kehilangan Penglihatan
- Kayap yang berlaku di dalam atau sekitar kawasan mata, dikenali sebagai kayap oftalmik, boleh menyebabkan jangkitan mata yang menyakitkan. Jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh mengakibatkan kerosakan serius dan kehilangan penglihatan.
3. Masalah Neurologi
- Dalam kes tertentu, kayap boleh membawa kepada komplikasi neurologi seperti keradangan otak (ensefalitis), kelumpuhan pada bahagian muka, atau masalah berkaitan pendengaran dan keseimbangan.
4. Jangkitan Kulit
- Jika lepuh kayap tidak dirawat atau dijaga dengan baik, ia boleh menjadi pintu masuk bagi bakteria, menyebabkan jangkitan kulit yang serius. Rawatan dan kebersihan yang betul adalah penting untuk mencegah komplikasi ini.
Cara Untuk Merawat
Walaupun kayap boleh hilang sendiri tanpa rawatan, penyakit itu harus dirawat dengan ubat antiviral sebaik sahaja didiagnosis bagi mencegah komplikasi.
Rawatan kayap bertujuan untuk mengurangkan gejala dan mencegah komplikasi. Ubat antiviral seperti acyclovir, valacyclovir, atau famciclovir boleh membantu mempercepatkan pemulihan jika diambil dalam tempoh 72 jam selepas tuam muncul.
Ubat tahan sakit seperti paracetamol atau ibuprofen juga digunakan untuk melegakan kesakitan yang disebabkan oleh ruam. Dalam kes euralgia postherpetik, rawatan tambahan seperti antidepresan, antikonvulsan, atau suntikan saraf mungkin diperlukan. Untuk pencegahan, vaksin herpes zoster seperti Shingrix disyorkan untuk individu berusia lebih 50 tahun.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kayap adalah penyakit boleh memberi kesan besar kepada kualiti hidup seseorang, terutama komplikasi seperti neuralgia postherpetik berlaku.
Walaupun ia sering menyerang golongan yang lebih tua atau mereka dengan imuniti rendah, langkah pencegahan seperti vaksinasi dan rawatan awal dapat membantu mengurangkan risiko serta gejala.
Sumber:
- Shingles (Herpes Zoster). Centers for Disease Control and Prevention | CDC
- What is Shingles (Herpes Zoster)? American Academy of Ophthalmology