Karangan Berformat: Jenis & Contoh Karangan Berformat

Karangan Berformat
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Karangan berformat merupakan jenis karangan yang lazimnya ditanya di dalam peperiksaan.

Untuk menjawab soalan ini, murid mestilah mengetahui jenis-jenis karangan ini agar dapat menjawabnya dengan betul.

Mengenai Karangan Berformat

Karangan berformat ialah karangan yang mempunyai format yang tertentu dan mestilah diikuti oleh penulisnya.

Ini berbeza dengan karangan tidak berformat yang lebih bebas tanpa adanya format yang tertentu yang perlu diikuti.

Jenis Karangan Berformat

Terdapat beberapa jenis karangan ini iaitu:

  • Surat Kiriman Rasmi
  • Surat Kiriman Tidak Rasmi
  • Ucapan
  • Dialog atau temu ramah
  • Berita
  • Catatan
  • Laporan

1. Surat Kiriman Rasmi

Surat Kiriman Rasmi merupakan karangan berformat dan ditulis untuk tujuan yang rasmi seperti membuat permohonan, aduan, rayuan, jemputan rasmi, pesanan dan sebagainya.

Surat ini terbahagi kepada beberapa jenis antaranya surat permohonan, surat aduan/bantahan, surat rayuan, surat pesanan dan surat perniagaan.

Contoh surat ini boleh dilihat seperti contoh di bawah:

Contoh Surat Kiriman Rasmi

Pasukan Bola Sepak,
Sek. Keb. Seri Kemasik,
24100 Jerteh,
Terengganu.

_______________________________________________________________________

Encik Ali Bin Hassan,
Setiausaha Sukan,
Sekolah Kebangsaan Seri Kemasik,
241000 Kemasik,
Terengganu. 23 MAC 2024                                                                                                          

Tuan,

MEMOHON SEBIJI BOLA BARU BAGI MENGGANTIKAN BOLA LAMA          

Saya, Kamal Bin Husain sebagai Ketua Pasukan Pasukan Bola Sepak Sekolah Kebangsaan Seri Kemasik ingin memohon sebiji bola yang baru bagi menggantikan yang lama.

2.         Bola yang sedia ada itu telah rosak dan tidak dapat digunakan lagi. Kami memohon bola baru itu melicinkan lagi latihan yang sedang kami jalankan sebagai persediaan untuk menghadapi perlawanan penting yang akan datang.

3.         Kami berharap permohonan kami ini akan segera diluluskan. Ini bagi memastikan latihan yang kami adakan setiap hari itu tidak tergendala.

4.         Untuk pengetahuan tuan, kami hanya mempunyai masa dua minggu lagi untuk berlatih sebelum turun ke padang untuk menghadapi perlawanan.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Kamal

…………………
(KAMAL BIN HUSAIN )

Ketua Pasukan,
Pasukan Bola Sepak,
Sekolah Kebangsaan Seri Kemasik.

2. Surat Kiriman Tidak Rasmi

Surat Kiriman Tidak Rasmi bersifat peribadi, lebih kepada seseorang kepada seseorang dalam urusan tdak rasmi.

Lazimnya, surat ini ditulis kepada sahabat handai, ahli keluarga dan saudara mara.

Contoh surat ini adalah seperti berikut:

Contoh Surat Tidak Rasmi

                                                                                                                                 50, Kampung Kubang Semang,
14440 Bukit Mertajam,
Pulau Pinang.

                                                                                                                                                21 Julai 2024

Menemui sahabatku Nahiz yang berada di Taman Cempaka Indah, semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Saudara,

            Saya berharap saudara masih tidak melupakan saya. Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk mengajak saudari datang ke rumah saya pada cuti sekolah yang mendatang.

            Untuk pengetahuan saudara, buah-buahan di kebun ayah saya sedang masak terutama manggis. Ayah saya telah memajakkan sebahagian sahaja dan selebihnya ditinggalkan supaya keluarga serta sahabat handai kami sama-sama dapat merasainya.

            Saya berharap saudara tidak keberatan untuk datang ke rumah saya. Saudara juga boleh mengajak keluarga serta kawan-kawan saudari datang bersama-sama. Boleh mereka sama-sama merasai keenakkan buah manggis, rambutan, langsat serta durian.

            Saya berharap saudara bersetuju dan memberitahu saya secepat mungkin. Saya akan menunggu kedatangan saudara.

            Sampai di sini sahaja yang sempat saya tuliskan. Akhir kata , sambutlah salam mesra daripada saya untuk saudara sekeluarga. Semoga kita dapat bertemu nanti.

Sekian, terima kasih.

                                                                                                                                      Yang benar,

Norhakim
………………………
(MOHD NORHAKIM HASSAN)

3. Ucapan

Ucapan kebiasaannya disampaikan dalam sesuatu majlis atau upacara tertentu seperti perhimpunan, majlis perasmian. majlis keraian, majlis perpisahan dan sebagainya.

Terdapat beberapa jenis ucapan antaranya:

  • Ucapan tahniah atau takziah
  • Ucapan penerangan
  • Ucapan terima kasih
  • Ucapan perpisahan
  • Ucapan perasmian

Contoh karangan ucapan adalah seperti berikut:

UCAPAN SAMBUTAN HARI GURU

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

            Yang berusaha Tuan Pengerusi Majlis. Yang dihormati Tuan  Guru Besar, Encik Rasul Bin Wahid, guru-guru penolong kanan, guru-guru, dan seterusnya rakan-rakan sekalian.

            Terlebih dahulu saya berterima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dalam majlis yang mulia ini.

Hadirin sekalian,

            Saban tahun, Hari Guru disambut pada 16 Mei. Tujuan sambutan ini dibuat tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengenang dan menghargai jasa serta bakti guru-guru selama ini.

            Tidak dinafikan, pengorbanan guru terhadap kita besar sekali. Tanpa guru , kita sudah tentu susah untuk mendapatkan pelajran dan pengajaran dengan sempurna. Guru ibaratkan sebagai sebatang lilin yang sanggup membakar diri demi murid-muridnya. Oleh itu jasa guru patutlah dikenang dan disanjung tinggi.

            Guru adalah seperti ibu bapa kita sendiri. Mereka membimbing dan mendidik kita supaya menjadi orang yang berguna. Oleh itu marilah kita semua belajar dengan bersungguh-sungguh agar tidak menghampakan harapan mereka.

Hadirin sekalian,

            Saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah mengajar, mengasuh dan mendidik kami tanpa jemu. Akhir sekali, kami semua meminta ampun di atas segala kesilapan yang dilakukan oleh kami selama ini. Sekali lagi saya ucapkan selamat menyambut Hari Guru.

            Sekian, terima kasih.

4. Dialog

Dialog terbahagi kepada dua jenis iaitu:

  • Dialog dan perbualan biasa
  • Wawancara dan temuramah

Contoh karangan dialog adalah seperti dibawah:

Dialog Kehilangan Wang di Sekolah

Mohamad:  Mengapa kamu bermuram saja, Osman? Apakah kamu ada masalah?
Osman:  Duit saya sebanyak sepuluh ringgit telah hilang Mohamad.
Mohamad:  Macam mana boleh hilang?
Osman:  Saya letakkan duit tersebut ke dalam beg. Balik dari rehat sahaja duit tersebut sudah. Saya syak Ali yang mengambilnya.
Mohamad:  Bukankah cikgu selalu menasihati kita agar duit tidak ditinggalkan dalam beg. Sekarang sudah hilang, mengapa pula menuduh tanpa usul periksa?
Osman:  Jika bukan Ali, siapa lagi ? Saya pasti memang Ali yang menagmbilnya! Dia dengkikan saya!
Mohamad:  Jangan sesekali serkap jarang. Jika bukan dia, bagaimana kita mahu tutup muka kita ? Baik kita jumpa Cikgu Azman. Guru disiplin itu boleh membantu kita.
Osman:  Betul juga kata kamu, Mohamad. Saya berasa bangga mendapat kawan macam kamu. Terima kasih ya.

5. Berita

Karangan berita memerlukan penulis memberikan maklumat tentang sesuatu kejadian atau peristiwa penting.

Lima persoalan yang dijawab semasa menulis berita ialah apa, siapa, bila, di mana, dan mengapa.

Contoh karangan ini adalah seperti berikut:

Tumpasnya Sendiket Pengedaran Dadah di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Dang Wangi telah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar bandar raya Kuala Lumpur. Pihak polis berjaya merampas 13 kilogram dadah di Jalan Pudu hasil daripada serbuan tersebut.

            Jurucakap polis menyatakan bahawa siasatan mengenai pengedaran dadah tersebut dibuat beberapa minggu yang lalu. Menurut jurucakap itu lagi, beberapa orang telah ditahan untuk siasatan lanjut.

            Hasil daripada maklumat orang ramai, pasukan polis telah membuat serbuan di sebuah hotel di Jalan Pudu dan menjumpai dadah yang dipercayai akan diedarkan di sekitar ibu negara. Pihak polis juga bertindak merampas wang tunai sebanyak RM100,000.

            Sementara itu, gerakan sedang dijalankan oleh polis untuk mencari seorang lelaki yang bernama Linggam. Beliau dipercayai dapat membantu polis untuk mengesan kegiatan tersebut di ibu negara. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke hadapan untuk membantu siasatan.

 

6. Catatan

Catatan diari adalah catatan peristiwa atau kejadian penting yang berlaku.

Kadang kala, ada catatan yang ditulis mengikut masa dan ada pula yang ditulis mengikut tarikh peristiwa itu berlaku.

Contoh catatan adalah seperti di bawah:

CATATAN SAYA SEBAGAI PELAJAR

Pukul 6.00 – 7.00 pagi

Saya bangun pagi dan terus mandi. Saya menunaikan solat Subuh berjemaah bersama-sama dengan ayah. Setelah selesai berpakaian sekolah, saya bersarapan. Lazimnya saya bersarapan dua keping roti dan air milo. Kemudian saya ke sekolah dengan dihantar oleh ibu saya. Saya ke sekolah menaiki bas. Sekolah saya kira-kira tiga kilometer dari rumah.

Pukul 7.45 pagi – 1.15 tengah hari

Perhimpunan ramai diadakan setiap pagi Isnin. Dalam perhimpunan tersebut, pelajar dikehendaki menyanyikan lagi sekolah, negeri dan lagu Negaraku. Selepas itu barulah kami masuk ke bilik darjah. Saya bertugas sebagai Ketua darjah. Saya akan memastikan murid-murid diam dan mematuhi peraturan apabila guru-guru tidak ada di dalam kelas. Dalam jam 10.15 hingga 10.45 pagi kami berehat. Masing-masing bergegas ke kantin. Pelajaran disambung semula sehinggalah jam 1.15 tengahari. Saya pulang dijemput oleh ibu.

Pukul 2 – 6 petang

Selepas makan tengahari, saya mengaji Al-Quran di surau. Biasanya, sebaik sahaja masuk waktu Asar, barulah kelas ini selesai. Selepas itu barulah saya berpeluang bermain dengan kawan-kawan. Ibu nasihati saya supaya pulang sebelum 6.00 petang. Pada waktu malam, saya buat kerja-kerja rumah dan akan menonton juga rancangan televisyen. Biasanya saya masuk tidur pukul 10.00 malam.

7. Laporan

Karangan laporan ditulis untuk melaporkan sesuatu perkara atau peristiwa yang berlaku.

Contoh laporan yang ditulis adalah laporan:

  • Kejadian
  • Lawatan
  • Kegiatan

Laporan Kegiatan Persatuan Matematik dan Sains Sekolah Kebangsaan Jengka

            Persatuan Matematik dan Sains Sekolah Kebangsaan Jengka ditubuhkan sejak tahun 1998. Kini, anggota-anggota persatuan ini berjumlah 60 orang. Mereka terdiri  daripada pelajar Tahun Empat hingga Tahun Enam. Persatuan ini dibentuk untuk memupuk minat pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Selain itu, melalui persatuan ini juga ,pelajar dapat bertukar-tukar pendapat tentang pelajaran masing-masing.

            Persatuan ini telah menjalankan beberapa kegiatan sepanjang tahun 2024. Aktiviti-aktiviti tersebut berbentuk akademik dan bukan akademik. Aktiviti pertama yang kami jalankan ialah ”Peraduan Menulis Esei Tentang Sains”. Sambutan yang diberikan terhadap peraduan ini adalah sangat menggalakkan. Peraduan ini dimenangi oleh Nur Zuraidah Hashim, pelajar Tahun Enam Melati.

            Kami juga menganjurkan ceramah tentang sains dan matematik. Ceramah ini disampaikan oleh pensyarah dari Universiti Malaysia, Dr. Hamid Sulaiman. Selain itu, kami turut mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah dengan memperindahkan kawasan taman sekolah dengan menanam berbagai jenis bunga dan menamakan pohon-pohon tersebut mengikut istilah sains.

            Pada cuti penggal kedua persekolahan, kami mengadakan lawatan ke Zoo Negara di Kuala Lumput. Sebagai hasil lawatan ini, kami banyak memperolehi pengetahuan tentang haiwan yang ada di dalam zoo tersebut.

            Pada keseluruhannya,kami berpuas hati dengan kegiatan-kegiatan yang kami jalankan. Kami juga berterima kasih  kepada guru penasihat, Cikgu Jamawi Jaafar yang banyak memberikan bimbingan kepada kami.

Disediakan oleh,                                                                                     25 Oktober 2024

      Azmi

_______________

(AZMI SULAIMAN)

Setiausaha Persatuan Matematik dan Sains
Sekolah Kebangsaan Jerngka

Info Lanjut

Untuk memahami lebih lanjut mengenai karangan ini, sila tonton video di pautan https://www.youtube.com/watch?v=LV1b_6HZ2vw

Baca juga: Karangan Respons Terbuka: Tips & Contoh Karangan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut