Karangan Respons Terbuka: Tips & Contoh Karangan

Salah satu soalan yang bakal ditanya kepada para pelajar di dalam peperiksaan ialah Karangan Respons Terbuka.

Berikut merupakan takrifan mengenai karangan ini dan tips menjawab soalan serta contoh karangan.

Takrifan Karangan Respons Terbuka

Karangan ini bermaksud bermaksud pelajar perlu merangka sebuah karangan yang panjang dan tidak terikat dengan jumlah perkataan.

Ini bermakna pelajar perlu mengarang karangan yang lebih bebas berdasarkan soalan yang diberi.

Tips Penulisan Karangan

Tips penulisan karangan ini adalah seperti berikut:

  • Memilih soalan yang tepat
    – Baca tajuk soalan yang dikemukakan dengan teliti. Fahamkan kehendak soalan.
    – Pilih satu tajuk karangan yang benar-benar anda faham akan kehendak soalan, tahu akan format karangan, dan berkeupayaan untuk menghuraikan sekurang-kurangnya tiga isi.
  • Mencari kata kunci soalan
    – Kunci soalan bagi setiap tajuk karangan biasanya terletak pada baris akhir soalan. Contohnya perkataan bincangkan, gambarkan, ceritakan, bahaskan, huraikan, tuliskan laporan, balas surat dan sebagainya.
    – Kata kunci perlu digariskan untuk memastikan anda tidak tersilap memikirkan isi karangan ketika merangka karangan.
  • Menyediakan rangka karangan
    – Sebelum menulis, sebaik-baiknya sediakan rangka karangan terlebih dahulu supaya anda dapat menyusun isi karangan mengikut kepentingan dan isi karangan tidak ditulis lebih dari sekali.
    – Pastikan rangka karangan anda terdiri daripada satu isi pendahuluan, tiga isi penting, dan satu isi untuk penutup.
     – Seterusnya rangka karangan ini hendaklah diperincikan dengan fakta-fakta yang berkaitan serta contoh yang sesuai.
  • Menulis perenggan pendahuluan
    – Pelajar digalakkan menulis satu daripada jenis pendahuluan seperti pendahuluan definisi, pendahuluan pendapat, pendahuluan suasana, pendahuluan persoalan, pendahuluan puisi dan sebagainya.
    – Perenggan pendahuluan tidak perlu terlalu terperinci dan tidak perlu ditulis terlalu panjang.
    – Pendahuluan yang baik dapat menarik perhatian pembaca untuk terus menghayati karangan yang ditulis.
  • Menulis perenggan isi
    – Setiap isi perlu ditulis dalam satu perenggan. Untuk memantapkan isi, perlulah disertai huraian dan contoh yang bersesuaian.
    – Perenggan isi disusun dengan menggunakan wacana yang sesuai supaya keterangan setiap isi tidak terputus dan dapat memperlihatkan kesatuan idea yang mantap.
  • Perenggan isi hendaklah sekurang-kurangnya mengandungi empat ayat dalam setiap perenggan, iaitu:
    – Ayat topik (AT)  – iaitu ayat yang mengandungi kata kunci jawapan yang menjawab kehendak soalan.
    – Ayat huraian (AH)  – iaitu huraian lanjut tentang isi utama yang dikemukakan yang bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan.
    – Ayat Contoh (AC)  – iaitu, ayat-ayat yang mengandungi bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi yang diperkatakan yang bertujuan untuk memperkuatkan hujah.
    – Ayat Simpul (AS)  – iaitu, ayat yang memberikan kesimpulan atau penegasan terhadap isi yang dikemukakan.

Contoh Karangan

Contoh karangan yang boleh dijadikan rujukan para pelajar adalah seperti berikut:

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan seseorang. Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

i) PENDAHULUAN

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga.Sebagai anak, seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, maka anak-anak mampu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak hingga mencapai kejayaan merupakantugas yang amat berat dan tidak dapat dinafkan oleh sesiapapun. Oleh halyang demikian, ibu bapa sentiasa memainkan pelbagai peranan untuk memastikan anak-anak cemerlang dalam pelajaran.

ii) ISI KARANGAN

Salah satu peranan yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran ialah membesarkan anak-anak dalam suasana yang harmoni dan ceria. Keharmonian dan keceriaan menjamin anak-anak membesar dengan selamat dan sihat. Ini kerana kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertelingkahan antara ibu bapa dan apa-apa jua masalah yang dapat mengganggu keharmonian dan kesejahteraan keluarga. Melalui cara ini, anak-anak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya dalam pelajaran mereka kerana tidak dibebani tekanan yang berat. Dalam hal ini, anak-anak akan dapatberusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran mereka kerana mereka hidup dalam keadaan gembira dan seronok padasetiap hari. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Selain itu, ibu bapa juga mestilah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak mereka dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Ini kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan. Dalam kebanyakan keadaan, anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga mereka sukar untuk membezakan perkara yang baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan bermasalah, seperti ponteng sekolah, menghisap rokok, dan sebagainya, mereka akan mengikut jejak rakan sebaya mereka itu dan lama-kelamaan mereka tidak berminat untuk belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yangberlaku kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Melalui cara ini, ibu bapa akan dapat menangani sesuatu perkara yang melanda anak mereka lebih awal, bak kata pepatah, “beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.”

Seterusnya, ibu bapa haruslah memastikan anak-anak merekamendapat pendidikan agama dan moral yang cukup. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan kepada anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini bertepatan dengan tuntutan pepatah yang menyatakan “melentur buluh biarlah daripada rebungnya.” Seruan ini memang betul kerana lazimnya anak-anak sukar dibentuk dan diperbetul setelah mereka melewati usia kanak-kanak. Apatah lagi, seperti kata bijak pandai, “anak-anak itu diibaratkan kain putih, jadi ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya.” Jika anak-anak tidak dilindungi dengan pendidikan agama dan moral sejak kecil, mereka dengan mudah akan dibanjiri pelbagai bentuk kejahatan yang akan merosakkan diri mereka. Pendidikan agama dan moral yang baik membolehkan anak-anak menapis dan menepis segala bentuk kemungkaran dan hal ini membantu mereka memperoleh kejayaan dalam pelajarandengan cemerlang.

Di samping itu, ibu bapa juga hendaklah berbincang dan bertukar-tukar pendapat dengan anak-anak tentang sesuatu perkara atau masalah yang timbul. Ibu bapa juga mestilah sentiasa mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi anak-anak dan tidak menjadikan kesibukan bekerja sebagai alasan untuk menjauhi anak-anak. Ibu bapa mestilah bersedia untuk menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak. Kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama supaya segala masalah yang ditanggung mereka tidak terperap dan membengkak di dalam hati mereka. Biasanya, anak-anak yang memendam perasaan tidak dapat menumpukan perhatian mereka dalam pelajaran dan dengan demikian menjadi salah seorang yang tercicir dalam pelajaran. Natijahnya, komunikasi dua hala dan perbincangan antara ibu bapa dengan anak-anak dapat melorongkan mereka ke gerbang kejayaan.

iii) KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam membantu kejayaan anak-anak. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya anak-anak terjebak dalam masalah sosial, keadaan akan menjadi semakin serius dan sukar untuk diselamatkan. Jika ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa depan anak-anak, mereka sangat sukar untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak, khususnya untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!