Kain kafan adalah satu keperluan utama dalam pengurusan jenazah beragama Islam. Proses mengkafankan perlu dilaksanakan segera sebaik sahaja jenazah dimandikan dengan sempurna.
Seperti yang kita tahu, kain kafan atau dalam bahasa Inggeris ‘shroud’ adalah kain berwarna putih yang mempunyai beberapa helai berserta tali.
Namun, sejauh manakah pengetahuan kita sebagai umat Islam tentang penggunaannya?
Bagaimana pula cara untuk menggunakan kain ini dan berapa lapis yang diperlukan bagi jenazah lelaki atau perempuan?
Sudah tentu ia mempunyai perbezaan. Jadi, ayuh kita semaknya bersama-sama.
Kain Kafan Lelaki / Perempuan Berapa Helai?
Menurut Panduan Pengurusan Jenazah yang dikongsikan oleh Jabatan Mufti, sekurang-kurangnya kain kafan ialah selapis kain yang menutupi seluruh badan jenazah sama ada lelaki atau perempuan.
Walau bagaimanapun, afdhal bagi untuk menutupi badan jenazah mengikut jantina seperti berikut :
Kafan Jenazah Lelaki
TIGA LAPIS kain putih untuk jenazah LELAKI sama ada dewasa atau kanak-kanak.
Sebahagian ulama berpendapat bahawa satu daripada tiga lapis hendaklah izar (kain lepas) dan dua lapis menutupi sekalian badannya.
Di samping itu, harus pula ditambah lagi dengan SEHELAI BAJU dan SERBAN di mana tambahan ini adalah disyaratkan bahawa waris jenazah itu telah sempurna akal (tiada yang kecil atau gila) dan waris-waris redha dan bersetuju di atas tambahan tersebut.
Kafan Jenazah Perempuan
Jenazah perempuan adalah afdhal untuk dikafankan dengan LIMA lapis kain. Dua daripadanya ialah kain kafan, satu lapis adalah kain yang menutupi antara pusat dan lutut, satu lapis baju dan satu lapis telekung.
Kain Yang Digunakan
Sunat untuk menggunakan kain berwarna putih untuk mengkafankan jenazah. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW :
الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ فَإِنَّهَا خَيْرُ ثِيَابِكُمْ وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ
Maksudnya: Pakailah dari pakaian kamu yang berwarna putih, sesungguhnya ia merupakan pakaian terbaik kamu dan kafankanlah orang yang meninggal dunia dari kalangan kamu dengan warna putih.
Riwayat Abu Daud (4061)
Cara-Cara Mengkafankan
Cara untuk mengkafankan jenazah adalah seperti berikut :
- Hamparkan kain selapis demi selapis dan taburkan di atas tiap-tiap lapis bahan yang berbau harum seperti kayu cendana, minyak kasturi dan kapur barus yang sudah dihaluskan. Letakkan juga di bawah lapisan pertama lima tali atau tiga tali untuk pengikatnya.
- Setelah itu, letakkan jenazah di atas kafan secara terlentang dan letakkan kedua tangan di atas dada di mana tangan kanannya di atas tangan kiri seperti dalam keadaan sembahyang.
- Mulakan membungkus jenazah dengan kafannya dari sebelah kiri dan kafan yang sebelah kanan ditindihkan ke sebelah kiri.
- Setelah itu, akhiri dengan ikatan sama ada tiga atau lima ikatan.
Set Kain Kafan
Selain dibeli di kedai barangan Muslim, anda juga boleh dapatkan set kain kafan secara online.
Cukup mudah untuk digunakan kerana set ini turut dilengkapi dengan bahan lain seperti air mawar, kemenyan, serbuk kayu cendana, dan pakaian seperti kopiah, jubah dan telekung untuk jenazah (mengikut jantina).
Semoga perkongsian ini dapat memberi sedikit sebanyak pengetahuan kepada anda mengenai pengurusan jenazah khususnya dalam proses mengkafan.
Anda juga boleh hadiri kursus pengurusan jenazah atau bertanya kepada ahli agama atau pengurus jenazah berpengalaman untuk ketahui secara lebih lanjut.
Sumber : Panduan Pengurusan Jenazah dan Pusara Orang Islam Menurut Syarak
Baca Juga : Solat Jenazah: Niat & Panduan Bagi Jenazah Lelaki dan Wanita