Kahwin sepupu bukanlah perkara asing dalam masyarakat kita, malah sering berlaku dalam kalangan keluarga yang rapat.
Walaupun dari sudut hukum Islam ianya dibenarkan, isu ini tetap mencetuskan pelbagai pandangan, ada yang menyokong atas dasar kekeluargaan, dan ada pula yang risau akan risiko kesihatan genetik.
Dalam artikel ini, kita kupas secara ringkas dari sudut hukum, kesihatan, serta pandangan masyarakat tentang perkahwinan antara sepupu.
Baca juga: Faraid : Sistem Pembahagian Harta dalam Islam
Apa itu Kahwin Sepupu?
Kahwin sepupu merujuk kepada perkahwinan antara dua individu yang mempunyai hubungan sepupu sama ada sepupu pertama (sepupu seibu sebapa atau seibu atau sebapa), atau sepupu yang lebih jauh (seperti sepupu kedua atau ketiga).
Dalam konteks ini, sepupu pertama ialah anak kepada adik-beradik ibu atau bapa kita.
Hukum Kahwin Sepupu
Berdasarkan kepada Irsyad Hukum Siri Ke-617: Hukum Perkahwinan Sepupu, hukum kahwin sepupu adalah harus. Namun begitu, syarak lebih menggalakkan seseorang itu berkahwin dengan wanita luar atau yang tiada pertalian keluarga dekat, supaya anak-anak yang lahir kelak memiliki tahap kesihatan dan keturunan yang lebih baik, serta hubungan persaudaraan dapat dipelihara dengan lebih harmoni.
PENJELASAN LENGKAP:
Sepupu dikategorikan sebagai kaum keluarga yang tidak termasuk dalam mahram. Justeru, kahwin sepupu sendiri adalah dihalalkan dalam Islam. Hal ini seperti mana firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 50 yang bermaksud:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ إِنَّآ أَحۡلَلۡنَا لَكَ أَزۡوَٰجَكَ ٱلَّٰتِيٓ ءَاتَيۡتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتۡ يَمِينُكَ مِمَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَيۡكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّٰتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَٰلَٰتِكَ ٱلَّٰتِي هَاجَرۡنَ مَعَكَ
“Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu.”
Kenyataan ini disokong dalam Kitab Fath al-Mu’in, halaman 455. Di mana Syeikh Zainuddin menyatakan bahawa perkahwinan di antara saudara sepupu adalah diharuskan oleh syarak:
فيحرم به آخر لآية: {حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ} نساء قرابة غير ما دخل في ولد عمومة وخؤولة
“Haram berkahwin sebagaimana akhir bagi ayat (Diharam atas kamu menikahi) dengan wanita-wanita kerabat selain daripada yang berada dalam darjat saudara sepupu dari sebelah ayah dan sebelah ibu.”
Selain itu, Dr. Wahbah al-Zuhaili juga menyatakan bahawa tidak haram perkahwinan dikalangan saudara sepupu. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’, ayat 24:
وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمۡ
“….Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu.”
Walaupun, Dr. Wahbah menyebut kahwin sepupu dalah harus namun ia tidak digalakkan. Ianya kerana perkahwinan ini, boleh memberi kesan terhadap kesihatan anak-anak yang bakal lahir seperti cacat tubuh badan.
Risiko Dari Sudut Kesihatan dan Genetik
Inilah yang sering menjadi perdebatan utama. Walaupun dibenarkan dalam Islam dan undang-undang Malaysia, terdapat kebimbangan dari sudut kesihatan genetik kerana:
1. Risiko Penyakit Genetik Tinggi
Kedua-dua pihak mungkin membawa gen pembawa (carrier) untuk penyakit genetik tertentu. Jika kedua-dua ibu bapa adalah pembawa, risiko anak menghidap penyakit tersebut lebih tinggi (contohnya Thalassemia, penyakit metabolik, dan lain-lain)
2. Konsanguiniti
Kahwin antara saudara terdekat dikenali sebagai consanguineous marriage. Ia meningkatkan risiko kecacatan kongenital, masalah intelek, dan komplikasi kesihatan lain, bergantung kepada latar belakang genetik keluarga.
3. Masalah Kesuburan atau Keguguran
Beberapa kajian menunjukkan bahawa pasangan sepupu mungkin menghadapi kadar keguguran atau masalah kesuburan yang sedikit lebih tinggi.
⚠️ Penting: Justeru penting sebelum berkahwin, pasangan disarankan untuk melakukan ujian saringan pra-perkahwinan, seperti ujian Thalassemia, terutama jika berkahwin dengan saudara rapat.
Baca juga: Borang Nikah: Proses Permohonan Kebenaran Kahwin
Kebaikan & Keburukan Kahwin Sepupu
Kebaikan | Keburukan |
---|---|
Memudahkan hubungan kekeluargaan (dah kenal latar belakang) | Risiko penyakit genetik lebih tinggi |
Mempererat silaturrahim dan menjaga warisan keluarga | Konflik keluarga boleh menjadi rumit jika berlaku masalah rumah tangga |
Lebih mudah restu ibu bapa kerana sudah kenal-mesra | Ada stigma dalam masyarakat moden (khususnya golongan muda atau bandar) |
Berikut adalah antara kesan kahwin sepupu / saudara rapat / sedarah yang diulas oleh Public Health Malaysia dalam sebuah hantaran di media sosial:
Kami tak pernah sangka anak kami lahir dengan penyakit genetik… kami sihat je dua-dua. Tapi baru tahu, bila kahwin sepupu, risiko tu lebih tinggi.
Cerita ini bukan rekaan. Ia berlaku.
Bila dua insan yang saling mencintai itu rupa-rupanya datang dari darah yang sama, ada satu perkara penting yang selalu terlepas pandang, genetik.
Perkahwinan antara sepupu adalah sah dan dibenarkan dari sudut agama. Tapi dalam dunia perubatan, ia datang dengan risiko yang tidak boleh diabaikan.
Apabila dua individu mempunyai pertalian darah, mereka mungkin membawa gen yang sama dan ini boleh meningkatkan risiko anak mewarisi penyakit genetik seperti thalassemia, gangguan metabolik, atau kecacatan perkembangan.
Risiko ini tak nampak sekarang. Tapi bila zuriat lahir nanti, baru segalanya terbongkar.
Kalau anda merancang untuk bernikah dengan sepupu, tak salah. Tapi buatlah keputusan dengan ilmu.
– Boleh beritahu doktor ketika pemeriksaan pra-nikah.
– Minta saringan genetik asas seperti Thalassemia.
– Kalau ada sejarah penyakit dalam keluarga, pertimbangkan untuk rujuk pakar genetik.
Cinta tak salah. Tapi cinta yang melindungi, itulah cinta yang paling indah.
Bila kita tahu risikonya, kita boleh buat pilihan yang lebih tenang, bukan untuk menyesal kemudian hari.
Contoh Perkahwinan Sesama Sepupu
Dalam sirah, kita dapat melihat beberapa contoh perkahwinan sesama sepupu sendiri pada zaman Rasulullah SAW, seperti:
- Rasulullah SAW berkahwin dengan sepupu baginda yang bernama Zainab.
- Anak perempuan Rasulullah SAW iaitu Ummu Kalsom dan Ruqayyah berkahwin dengan sepupu mereka iaitu ‘Utbah dan ‘Utaybah.
- Saidina Ali berkahwin dengan sepupunya sendiri yang jug merupakan anak kepada Rasulullah SAW iaitu Fatimah.
Isu Influencer Terkenal Kongsi Cerita “Sweet” Berjodoh Dengan Sepupu
Baru-baru ini, seorang pempengaruh terkenal telah berkongsi kisah pertemuannya dengan jodoh, yang merupakan sepupunya sendiri.
Menurutnya, detik awal perkenalan mereka bermula ketika mereka pulang beraya di kampung. Perkongsian tersebut telah mencuri perhatian netizen dan mencetuskan pelbagai reaksi.
Ada yang berpendapat tiada isu kerana perkahwinan dengan sepupu tidak haram di sisi agama, namun ada juga yang kurang senang dengan cara kisah itu didedahkan secara terbuka, kerana bagi mereka ia bukan sesuatu yang wajar dikongsi secara umum.
Kesimpulan
Kesimpulannya, Islam membenarkan perkahwinan sesama sepupu namun lebih menggalakkan perkahwinan dengan saudara jauh atau tidak ada kaitan dengan kekeluargaan.
Melalui tweet yang dimuat naik oleh Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, beliau berkata dalam memahami konteks ini biarpun ada sesetengah pendapat yang menyatakan berkahwin sepupu memberi mudarat dari segi kesihatan genetik, namun mungkin nisbahnya terlalu kecil. Di situ fahamlah kita mengapa Allah membenarkan kahwin sepupu sendiri tetapi tidak mengalakkannya.
Baca juga: Selamat Pengantin Baru: Contoh Ucapan Tahniah Pengantin