Jintan putih atau cumin bukan sekadar rempah penyedap dalam masakan, tetapi turut menyimpan pelbagai manfaat kesihatan yang menakjubkan.
Digunakan sejak zaman purba dalam perubatan tradisional, jintan putih kini diiktiraf secara meluas kerana kandungan antioksidan, zat besi dan khasiat pencernaannya.
Artikel ini akan mengupas 10 khasiat terbaik jintan putih yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian.
Baca juga: Jintan Manis – Rempah Aromatik dengan 6 Khasiat Menakjubkan
Apa itu Jintan Putih
Jintan putih, atau lebih dikenali sebagai cumin (nama saintifik: Cuminum cyminum), merupakan sejenis rempah yang berasal dari kawasan Timur Tengah dan Mesir Purba. Ia dituai secara manual daripada tumbuhan tahunan dan hadir dalam bentuk biji kecil berbentuk perahu yang merupai biji karaway.
Sejak zaman purba lagi, ia telah digunakan secara meluas oleh masyarakat Mesir, India, Yunani dan Rom, bukan sahaja dalam masakan tetapi juga dalam tujuan kegamaan dan pengawetan mumia.
Penemuan arkeologi di Syiria dan Mesir menunjukkan penggunaannya yang telah berusia lebih 4,000 tahun, dan ia turut disebut dalam kitab Injil lama dan baharu.
Dalam dunia kulinari, jintan putih memainkan peranan dalam pelbagai masakan tradisional. Di Indiam biji jintan putih dikenali sebagai jeera dan sering digunakan dalam bentuk biji penuh.
Manakala dalam masakan Mexico, Timur Tengah dan Amerika Selatan, jintan putih digunakan dalam bentuk kisar sebagai ramuan utama dalam serbuk cili, sos berbeku, sup, kekacang bakar, dan perapan. Ia juga merupakan bahan asas dalam pelbagai campuran rempah seperti garam masala, serbuk kari, achiote, adobo, berbere, dan bahaarat.
Dengan aroma yang kuat dan rasa pedas-hangat, jintan putih bukan sahaja menambah kelazatan dalam masakan tetapi juga dikenali kerana manfaat kesihatannya.
Kandungan Nutrisi
Menurut University Rochester Medical Center, setiap 1 sudu teh jintan putih mengandungi:
- Protein: 1.07 g
- Jumlah lemak (lipid): 1.34 g
- Karbohidrat: 2.65 g
- Tenaga: 22.5 kcal
- Jumlah gula: 0.14 g
- Serat pemakanan: 0.63 g
- Kalsium (Ca): 55.86 mg
- Zat besi (Fe): 3.98 mg
- Magnesium (Mg): 21.96 mg
- Fosforus (P): 29.94 mg
- Kalium (K): 107.28 mg
- Natrium (Na): 10.08 mg
- Zink (Zn): 0.29 mg
- Kuprum (Cu): 0.05 mg
- Mangan (Mn): 0.2 mg
- Selenium (Se): 0.31 mcg
- Vitamin A (IU): 76.2 IU
- Karotena beta: 45.72 mcg
- Vitamin E (alpha-tokoferol): 0.2 mg
- Lutein + Zeaxanthin: 26.88 mcg
- Vitamin C (Asid askorbik): 0.46 mg
- Vitamin B1 (Tiamina): 0.04 mg
- Vitamin B2 (Riboflavin): 0.02 mg
- Vitamin B3 (Niasin): 0.27 mg
- Vitamin B6: 0.03 mg
- Jumlah folat: 0.6 mcg
- Vitamin B12: 0 mcg
- Vitamin K (Filokuinon): 0.32 mcg
- Folat, DFE: 0.6 mcg_DFE
- Kolesterol: 0 mg
- Asid lemak tepu (saturated): 0.09 g
- Asid lemak monotaktepu (monounsaturated): 0.84 g
- Asid lemak politaktepu (polyunsaturated): 0.2 g
Beza Jintan Putih dan Jintan Manis
Ciri | Jintan Putih | Jintan Manis |
---|---|---|
Bentuk & Warna | Biji kecil, bujur, warna coklat muda | Biji lebih panjang, melengkung, warna hijau cerah atau coklat |
Rasa | Hangat, pedas, sedikit pahit | Manis, seperti licorice (akar manis) |
Aroma | Tajam dan berempah | Harum dan manis |
Kegunaan Masakan | Masakan India, Timur Tengah, kari, nasi arab | Masakan Melayu, sup, kuih, teh herba |
Kegunaan Perubatan | Melegakan masalah pencernaan, antioksidan | Merawat kembung, meningkatkan pengeluaran susu ibu |
Kandungan Utama | Cuminaldehyde, flavonoid | Anethole, estragole, fenchone |
Kesan Pada Badan | Merangsang pencernaan dan buang angin | Memberi kesan menenangkan dan anti-kembung |
Nama Lain | Cumin | Anise / Fennel |
Kegunaan Jintan Putih
Dalam masakan, ia sering dijadikan bahan utama dalam kari, sup, nasi Arab, perapan daging, serta campuran rempah seperti garam masala dan serbuk kari.
Dari segi kesihatan, ia terkenal kerana membantu melancarkan pencernaan, mengurangkan angin, dan bertindak sebagai antioksidan semula jadi. Ia juga mengandungi zat besi, kalsium, dan vitamin yang baik untuk tubuh.
Dalam perubatan tradisional, ia digunakan untuk meredakan kembung perut dan dipercayai membantu meningkatkan pengeluaran susu ibu.
Selain itu, air rebusan jintan putih atau jeera water turut diamalkan sebagai minuman kesihatan harian.
Khasiat Jintan Putih pada Kesihatan
1. Meningkatkan Penghadaman
Jintan putih sangat berkesan dalam memperbaiki sistem pencernaan kerana ia merangsang enzim penghadaman di pankreas.
Enzim ini penting untuk membantu pemecahan makanan secara optimum dalam usus. Selain itu, ia turut merangsang pengeluaran hempedu yang membantu penyerapan lemak.
Kesannya, proses penghadaman menjadi lebih efisien dan masalah angin atau kembung perut dapat dikurangkan.
2. Mengoptimumkan Pengurusan Diabetes
Jintan putih mengandungi sebatian fenolik dan flavonoid yang mempunyai sifat hipoglisemik, iaitu mampu menurunkan kadar gula dalam darah.
Pengambilan jintan putih secara berkala boleh membantu mencegah diabetes serta memperbaiki kawalan gula dalam darah bagi pesakit diabetes sedia ada.
3. Mengawal Tekanan Darah
Sifat anti-radang, antioksidan dan vasodilatori dalam jintan putih menjadikannya bermanfaat untuk menurunkan tekanan darah.
Ia merangsang pengeluaran nitrik oksida iaitu sejenis gas yang membantu mengendurkan saluran darah dan mengurangkan tekanan akibat stres oksidatif.
Tambahan pula, kandungan kalium dalam jintan putih membantu menyingkirkan natrium berlebihan melalui air kencing, sekali gus menstabilkan tekanan darah.
4. Meningkatkan Sistem Imun
Jintan putih kaya dengan vitamin B, zat besi, zink, serta mengandungi vitamin C, A dan E yang mana semuanya penting untuk memperkuat sistem imun badan.
Nutrien ini berperanan dalam meningkatkan daya tahan semula jadi tubuh untuk melawan jangkitan dan penyakit.
5. Melancarkan Peredaran Darah
Jintan putih membantu melebarkan saluran darah dan ini penting untuk memastikan peredaran darah yang sihat.
Ia juga mengandungi vitamin K, nutrien penting yang mengawal pembekuan darah dan menyumbang kepada kesihatan sistem kardiovaskular.
6. Mencegah Kanser
Dengan kandungan antioksidannya yang tinggi, ia dapat melindungi sel tubuh daripada kerosakan oleh radikal bebas.
Pengambilan secara berterusan dikaitkan dengan pengurangan risiko kanser seperti kanser perut, kolon dan hati.
7. Melawan Anemia
Jintan putih merupakan sumber zat besi yang sangat baik, penting untuk penghasilan hemoglobin dalam darah. Hemoglobin membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh tubuh.
Oleh itu, pengambilan jintan putih membantu mencegah atau merawat anemia dan masalah kekurangan hemoglobin.
8. Menjaga Kesihatan Tulang dan Gigi
Kandungan kalsium dan fosforus dalam jintan ini penting untuk kesihatan tulang dan gigi. Ia membantu mencegah penyakit seperti osteoporosis.
Jintan putih juga mempunyai sifat antimikrob yang boleh mengawal bakteria Streptococcus mutans, penyebab utama gigi berlubang.
Selain itu, ia mengandungi fitoestrogen yang membantu mengurangkan kehilangan kalsium melalui air kencing.
9. Merawat Jangkitan
Jintan putih memiliki sifat antimikrob semula jadi. Minyak bijinya didapati dapat menghalang pertumbuhan bakteria seperti Klebsiella pneumoniae, Streptococcus mutans dan Streptococcus pyogenes. Ia juga mempunyai kesan antikulat yang membantu mengatasi jangkitan kulat dan yis.
10. Menurunkan Kolesterol
Saponin dan antioksidan dalam jintan putih membantu mengurangkan kolesterol LDL (kolesterol jahat).
Saponin berfungsi menghalang penyerapan kolesterol daripada usus ke dalam aliran darah, seterusnya membantu mengekalkan paras kolesterol yang sihat.
Dos & Pengambilan
Pengambilan jintan putih yang disarankan adalah sekitar 1 hingga 3 gram sehari dalam bentuk serbuk. Jumlah ini dianggap selamat dan cukup untuk memberikan manfaat kesihatan.
Elakkan mengambil lebih daripada 3 gram sehari kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan.
Dos boleh berbeza mengikut tahap kesihatan individu, jadi sebaiknya rujuk doktor jika ada masalah kesihatan atau sedang mengambil ubat.
Kesimpulan
Dengan pelbagai khasiat yang dimilikinya, jintan putih wajar dijadikan sebahagian daripada rutin harian sama ada dalam masakan atau sebagai minuman kesihatan.
Rempah kecil ini bukan sahaja membantu meningkatkan sistem pencernaan, tetapi juga menyumbang kepada kesihatan menyeluruh secara semula jadi.
Amalkan pengambilannya secara sederhana untuk menikmati manfaatnya secara optimum.