Jabatan Akauntan Negara: Fungsi dan Peranan

Setiap negara mempunyai sebuah Jabatan khusus yang ditugaskan untuk menjaga urusan perakaunan dan kewangan negara dan untuk Malaysia, tugas ini dijalankan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Jabatan Akauntan Negara Malaysia telah diwujudkan dengan jawatan Akauntan Negara Malaysia di bawah Kementerian Kewangan sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

JANM bermula dari satu bangunan pejabat yang kecil bertempat di Bangunan Life Insurance Corporation of India di persimpangan Jalan Melaka dan Jalan Tun Perak (Mountbatten Road).

Pejabat ini kemudiannya ditempatkan di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur dan seterusnya beroperasi di Blok 8, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Kini, JANM beroperasi di Kompleks Kementerian Kewangan, Presint 2, Putrajaya.

Visi

Sebagai Peneraju Terbilang dalam Perakaunan Kewangan dan Perakaunan Pengurusan Sektor Awam.

Misi

Mengukuhkan Pengurusan Kewangan Sektor Awam secara berhemat dengan dasar yang progresif dan sistem perakaunan yang efisien menerusi kakitangan profesional dan kolaborasi strategik.

Objektif

Berikut adalah objektif penubuhan Jabatan Akauntan Negara:

  1. Mempertingkatkan akauntabiliti dan ketelusan pengurusan perakaunan dan kewangan Kerajaan Persekutuan.
  2. Mempertingkatkan sistem pengurusan perakaunan dan kewangan agensi kerajaan.
  3. Membantu kerajaan dalam membuat keputusan yang berkesan.
  4. Membangun dan melaksanakan sistem pengurusan sumber manusia bagi perkhidmatan perakaunan.
  5. Mempertingkatkan penguatkuasaan Akta Wang Tak Dituntut 1965.

Fungsi JANM

Sejak beberapa dekad yang lalu, peranan dan fungsi JANM telah mengalami beberapa perubahan selaras dengan perkembangan sektor awam.

Berikut merupakan senarai fungsi Jabatan Akauntan Negara Malaysia:

  • Menyediakan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan mengikut kehendak perundangan dan piawaian perakaunan yang diterima umum selaras dengan seksyen 16, Akta Tatacara Kewangan [Akta 61].
  • Menguruskan dana dan aliran tunai Kerajaan.
  • Menguatkuasakan Akta Wang Tak Dituntut 1965 [Akta 370].
  • Mewujudkan sistem maklumat perakaunan kewangan dan perakaunan pengurusan selaras dengan Arahan Perbendaharaan 138.
  • Menguruskan perkhidmatan perakaunan Kerajaan.
  • Memastikan pematuhan dan penguatkuasaan tatacara pengurusan kewangan dan perakaunan seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang berkaitan selaras dengan Arahan Perbendaharaan 138.
  • Memberi khidmat nasihat dan perundingan perakaunan dan kewangan kepada Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan selaras dengan Arahan Perbendaharaan 138.
  • Menguruskan skim perkhidmatan perakaunan di bawah Ketua Perkhidmatan Akauntan Negara Malaysia selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2010.
  • Membangunkan modal insan dalam bidang perakaunan dan kewangan sektor awam.

Artikel menarik: iGFMAS: Sistem Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Kerajaan

Bahagian JANM

Bahagian-bahagian di Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) terdiri daripada :

  1. Bahagian Pembangunan Perakaunan & Pengurusan (BPPP)
  2. Bahagian Pengurusan Operasi Pejabat Perakaunan (BPOPP)
  3. Bahagian Perkhidmatan Operasi Pusat Dan Agensi (BPOPA)
  4. Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat (BPTM)
  5. Bahagian Pengurusan Amanah Dan Sekuriti (BPAS)
  6. Bahagian Pengurusan Audit Dalam (BPAD)
  7. Pejabat Projek Perintis Aplikasi Kerajaan Elektronik (EG-AG)
  8. Institut Perakaunan Negara (IPN)

Selaras dengan objektif JANM yang mengutamakan penyampaian perkhidmatan yang efisien dan efektif kepada pelanggan, JANM kini telah berkembang kepada 24 pejabat Negeri / Cawangan di seluruh Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) d alamat https://www.anm.gov.my/utama

Bantu kami share artikel ini: