Mengambil kira kerisauan ibu bapa terhadap pembelajaran anak-anak mereka di sekolah, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bersetuju untuk melakukan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pendidikan para pelajar, khususnya berkaitan silibus yang dikatakan ‘terlalu tinggi’.
Implementasi intervensi kokurikulum ini sedang berjalan bertujuan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikannya relevan dengan keperluan murid.
Berikut dikongsikan info terkini berkenaan intervensi KPM dalam menangani isu ini.
Pengenalan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang dalam usaha melaksanakan Reformasi Pendidikan dengan memberi tumpuan kepada enam hala tuju utama iaitu intervensi kurikulum, penyelarasan prasekolah, pendidikan digital, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM memandang serius terhadap kegusaran yang diutarakan ibu bapa dan masyarakat seperti:
- Aras kurikulum yang tinggi
- Kandungan kurikulum kurang sesuai dengan usia murid
- Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang sukar difahami
- Ibu bapa tiada akses untuk mendapatkan pelaporan PBD
Laporan terkini intervensi kurikulum akan diumumkan kepada ibu bapa dari semasa ke semasa.
Dalam artikel ini, kami kongsikan antara makluman terkini oleh KPM berkenaan isu ini.
5 Inisiatif Intervensi Kurikulum KPM
BENARKAH KPM TIDAK MENGAMBIL APA-APA TINDAKAN BAGI MENANGANI ISU KURIKULUM?
TIDAK BENAR. KPM PADA WAKTU INI SEDANG GIAT MELAKSANAKAN INTERVENSI KURIKULUM.
Pada bulan Mac 2024, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek telah membuat pengumuman penting mengenai pelaksanaan intervensi kurikulum.
Ia bertujuan menangani kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat terhadap kurikulum persekolahan sedia ada.
Intervensi kurikulum yang dilaksanakan merangkumi beberapa inisiatif penting seperti berikut:
- Inisiatif 1: Menyusun semula kandungan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains Tahap 1.
- Inisiatif 2: Menyediakan Modul Bimbingan (MOBIM) sebagai bahan sokongan untuk guru.
- Inisiatif 3: Melakukan intervensi awal pengesanan tahap literasi dan numerasi murid.
- Inisiatif 4: Memastikan pelaporan tahap penguasaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) mudah difahami dan mesra ibu bapa.
- Inisiatif 5: Melaksanakan penataran secara bersiri dan penerangan kepada ibu bapa.
Usaha bagi menangani isu kurikulum memerlukan kesabaran, kefahaman dan kerjasama antara guru, ibu bapa dan seluruh masyarakat. Ini penting bagi memastikan intervensi yang sedang berjalan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamatnya.
Arkel berkaitan: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025)
Apa Yang Berubah?
MATEMATIK
Memahami kegusaran ibu bapa dan masyarakat terhadap isu yang berkait dengan kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil inisiatif melaksanakan intervensi kurikulum.
Ini termasuk menyusun semula kandungan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains Tahap 1.
BAGI MATA PELAJARAN MATEMATIK, APA YANG BERUBAH?
KPM melalui Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) telah melakukan perubahan pelaksanaan kandungan bagi kemahiran yang perlu dipelajari dalam sebahagian topik.
Tambah baik turut dibuat bagi memastikan penggunaan istilah dan ayat yang lebih ringkas dan mudah difahami. Beberapa kandungan turut digabungkan.
SAINS
Intervensi kurikulum yang sedang giat dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut melibatkan perubahan kepada mata pelajaran Sains Tahap 1.
Susunan semula dilakukan bagi memastikan ianya sesuai dengan tahap dan usia murid.
APA YANG BERUBAH DALAM MATA PELAJARAN SAINS TAHAP 1?
Perubahan melibatkan pelaksanaan kandungan bagi Kemahiran Saintifik dan Peraturan Bilik Sains. Kata kerja yang lebih mudah difahami juga digunakan bagi penulisan Standard Pembelajaran. Selain itu, beberapa Standard Pembelajaran turut digabungkan.
Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3
Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Semakan 2017) Edisi 3 merujuk kepada dokumen mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap I sekolah rendah yang dikemas kini dan disusun semula kandungan kurikulumnya.
Dokumen ini dikeluarkan sebagai salah satu usaha intervensi kurikulum KPM.
Dokumen Penjajaran Kurikulum ini dikemas kini dengan menggabungkan beberapa Standard Pembelajaran (SP) dan Standard Kandungan (SK), serta menggunakan istilah yang lebih mudah difahami pada SP.
Kandungan kurikulum disusun dalam tiga lajur utama iaitu SK, SP dan catatan.
Catatan ini disediakan sebagai panduan kepada guru bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang menekankan penguasaan konsep asas dan menggalakkan kemahiran berfikir.
Kaedah pembelajaran berasaskan projek juga dicadangkan dalam ruang catatan untuk membantu murid mempelajari topik-topik tertentu.
Buat masa ini, Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Semakan 2017) Edisi 3 disediakan untuk mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap I sahaja.
Muat turun di http://bpk.moe.gov.my/index.php/terbitan-bpk/lain-lain/category/551-dokumen-penjajaran-kurikulum-3-0
Maklumat Lanjut Intervensi Kurikulum KPM
Untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan Intervensi Kurikulum KPM, sila ikuti saluran berikut:
- Laman web rasmi KPM : https://www.moe.gov.my
- Youtube : https://www.youtube.com/buletinKPM
- Laman X : https://www.twitter.com/KemPendidikan