Bagi mempermudah dan mempercepatkan proses akreditasi, maka Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah melancarkan Electronic MQA Accreditation System atau singkatannya, e-MAS.
Melalui sistem baru ini proses akreditasi boleh dijalankan sepenuhnya secara atas talian.
Kewujudan sistem ini selari dengan agenda pendigitalan kerajaan dan Perancangan Strategik MQA 2021-2025 menerusi Teras Strategik 3 (Penyampaian Efektif Disokong Kemampanan Sumber).
Peranan MQA
Peranan utama MQA adalah untuk melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) sebagai landasan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi dan titik rujukan kriteria dan standard kelayakan kebangsaan.
MQA berperanan sebagai badan tunggal yang menyelia dan menyelaras jaminan kualiti dan akreditasi pendidikan tinggi negara.
Sebagai badan jaminan kualiti, MQA berfungsi seperti berikut:
- Melaksanakan MQF sebagai titik rujukan kelayakan Malaysia;
- Membangunkan kriteria dan standard sebagai rujukan kebangsaan bagi penganugerahan kelayakan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan;
- Menjamin kualiti institusi-institusi pengajian tinggi dan program-program;
- Memberi perakuan akreditasi kepada program-program yang memenuhi kriteria dan standard yang ditetapkan;
- Memudah cara pengiktirafan dan penyetaraan kelayakan; dan
- Mengendalikan Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR)
Apa itu e-Mas?
Electronic MQA Accreditation System atau singkatannya, e-MAS merupakan sistm baharu yang membolehkan proses akreditasi dilakukan secara atas talian.
Melalui e-MAS ini, MQA akan menggabung dan mengintegrasikan kesemua modul-modul pengurusan berkaitan jaminan kualiti dan akreditasi untuk mewujudkan satu platform bersepadu yang memberi nilai tambah dan kemudahan kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini.
Artikel berkaitan: Salinan Akreditasi MQA: Cara Mohon Secara Online Untuk Permohonan UPU
Kelebihan e-Mas
Sistem baharu ini menggabung dan mengintergrasikan kesemua modul pengurusan berkaitan akreditasi dan boleh diakses 24 jam.
Proses akreditasi program dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, teratur dan secara real-time (masa sebenar).
Sistem e-MAS mampu mempercepatkan proses kelulusan setiap permohonan akreditasi mana-mana IPT berbanding tempoh sembilan minggu sebelum ini selepas setiap dokumentasi dilengkapkan.
Percubaan e-Mas
Sistem ini telah melepasi fasa pengujian dan akan dimulakan dengan perintisan 10 IPT sebagai rakan sistem e-MAS.
Antara IPT terbabit adalah Kolej Universiti Penerbangan Malaysia (UniCAM), Universiti Antarabangsa Albukhary, Kolej Universiti Islam Perlis, Universiti Selangor (Unisel) dan SEGI University.