Walaupun varian Musang King masih menjadi pilihan bagi para penggemar durian, terdapat satu varian baru yang semakin mendapat perhatian – Durian Tupai King.
Durian Tupai King atau dikenali juga sebagai D214, muncul sebagai bintang baharu, bahkan dikatakan mampu menandingi populariti dan harga durian-durian elit seperti Musang King (D197) dan Duri Hitam (D200).
Dilahirkan di bumi Pulau Pinang, durian ini kini berstatus ‘bangsawan’ dan menjadi antara yang termahal di pasaran.
Popularitinya yang kian meningkat membuktikan keunikan rasa dan kualitinya yang tersendiri.
Asa-usul
Durian Tupai King mula dikenali apabila seorang pengusaha durian, Chew Chee Wan, menemui pokok durian istimewa di Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Beliau kemudian menggandakan pokok tersebut melalui cantuman dan mendaftarkan varieti ini sebagai D214 dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) .
Durian Tupai King telah wujud sejak lima hingga enam tahun lalu, tetapi hanya mula dikenali dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Ia mendapat gelaran “durian bangsawan” kerana keunikan rasa dan aromanya yang kuat.
Permintaan terhadap durian ini bukan sahaja tinggi dalam kalangan peminat tempatan tetapi juga dari luar negara seperti Singapura dan China.
Artikel menarik: Buah Kebangsaan Malaysia: Durian Atau Betik?
Ciri-ciri Istimewa
Dari segi fizikal, durian Tupai King mempunyai bentuk bujur seperti telur dengan pangkal membulat dan hujung yang sedikit menajam.
Kulitnya berwarna hijau keperangan dengan duri yang sederhana tajam.
Apabila dibuka, isinya memaparkan warna jingga kekuningan yang menarik dengan semburat kehijauan atau kebiruan, suatu ciri yang membezakannya daripada durian Musang King yang berwarna kuning terang.
Tekstur isi durian ini sangat berkrim dan lembut, manakala rasanya pula manis berlemak dengan sedikit pahit yang seimbang.
Aromanya tidak terlalu kuat, namun cukup harum untuk memikat selera.
Cara Kenalpasti Durian Tupai King
Apa yang menjadikan Tupai King unik ialah cara ia dibuka.
Tidak seperti durian lain yang biasanya dibelah dari bahagian bawah, Tupai King selalunya dibuka dari bahagian atas kerana kulitnya yang lebih nipis di situ.
Ciri ini turut membantu dalam mengenal pasti varieti ini, selain daripada warna isi dan rasa khasnya.
Purata berat buah ini adalah sekitar 2.1 kilogram dengan kandungan isi lebih kurang 700 gram.
Tahap kemanisan buah ini juga tinggi, dengan bacaan brix mencecah 39 – suatu petunjuk kepada rasa manis yang kaya.
Walaupun popularitinya semakin meningkat, pengeluaran durian Tupai King masih rendah kerana kebanyakan pengusaha baru mula menanamnya.
Potensi Tupai King
Pengeluaran berskala besar dijangka dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi, apabila lebih ramai pekebun mula menanam varieti ini.
Selain pasaran tempatan, durian ini juga dieksport ke luar negara kerana permintaan tinggi dan harga yang lebih tinggi.
Dengan rasa unik, harga tinggi, dan permintaan yang semakin meningkat, ia berpotensi menjadi pesaing utama kepada varieti terkenal seperti Musang King dan Duri Hitam.
Jika anda peminat durian, mencuba Tupai King mungkin satu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan