20 Doa Untuk Para Guru Tersayang Sebagai Tanda Ingatan dan Penghargaan Buat Mereka.
Dalam setiap agama, kedudukan seorang guru ini sentiasa diletakkan di tahap paling atas. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya seorang guru kepada bangsa dan negaranya.
Guru atau cikgu merupakan seorang pendidik yang membantu bukan sahaja dari aspek intelektual, tetapi juga dari aspek jasmani, rohani dan emosi pelajar. Tugas mereka ini merupakan antara tugas yang sangat berat, kerana jika tidak dilakukan dengan betul akan rosaknya anak bangsa.
Oleh itu, sebagai orang yang menerima pendidikan daripada para guru ini, kita perlulah sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan guru kita ini. Mengingati mereka dalam doa kita merupakan cara paling mudah untuk kita balas sedikit jasa mereka.
Berikut kami kongsikan kepada anda 20 doa yang boleh anda baca dan amalkan pada bila-bila waktu dan di mana-mana sahaja anda berada ketika anda mengingati guru-guru anda.
Doa Untuk Guru
Berikut merupakan doa untuk guru yang boleh anda amalkan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja:
- Ya Allah, ya tuhan kami, kurniakanlah kesejahteraan dan kesihatan kepada guru-guru kami yang menjadi payung kepada generasi akan datang.
- Ya Karim, Jadikanlah guru-guru kami mempunyai darjat yang tinggi serta hiasilah mereka dengan kebijaksanaan, binakanlah benteng ketakwaan dan keimanan yang teguh kepada mereka.
- Ya Allah, cucurilah rahmatMu ke atas roh guru-guru kami yang telah pergi. Ampunilah dosa mereka dan masukkan mereka ke dalam syurgaMu.
- Ya Allah, tutupilah aib guruku dariku, dan jangan Engkau hilangkan berkah ilmunya dariku. Hindarilah mereka daripada perkara yang memudaratkan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.
- Ya Allah, Ya Tuhanku, Kau ampunkanlah segalas dosa guruku. Kau berikanlah syafaat kepada guruku yang telah bersusah-payah mengajar dan mendidik aku.
- Ya Allah, Rahmatilah guru-guru yang mengajarku. Semoga Allah membalas jasa kalian semua dengan sebaik-baik ganjaran
- Ya Allah tempatkan roh guru-guruku yang telah pergi ke alam baqa bersama-sama orang-orang yang beriman
- Berikanlah kepada para guru-guru kami petunjuk-Mu yang nyata, ketajaman mata hati, kesabaran yang membaja, kerendahan hati, keikhlasan, dan rasa syukur yang tinggi dalam berkarya untuk mencerdaskan anak-anak bangsa
- Ya Rahman, kurniakanlah kesihatan keceriaan kebahagian dan keselamatan sepanjang baki baki umur guru-guru kami ya Allah.
- Ya Allah, panjangkanlah umur para guru kami. Berikan mereka keberkatan hidup dan mudahkanlah segala urusan mereka.
- Ya Allah, ampunkanlah segala dosa guru-guru aku sekiranya adakalanya mereka telah mengabaikanMu. Kau syafaatkanlah mereka di akhirat dengan syurga, atas jasa dan budi mereka mendidik aku sehingga aku menjadi insan yang berjaya
- Ya Allah yang maha pengampun, ampunilah segala dosa dan kesalahan kami, dosa Ibubapa kami, dosa guru-guru kami, dosa para pemimpin kami, serta dosa para pendahulu kami.
- Ya Allah, rahmatilah cikgu kami dan setiap mereka yang bergelar guru di dunia dan akhirat. Jadikanlah jerih perih mereka menabur ilmu sebagai benih jariah yang dapat dinikmati hasilnya di sana.
- Ya Allah, Anugerahkanlah segala kemudahan kepada para guru kami agar mereka senantiasa mendapat kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan akhirat.
- Ya Allah, sesungguhnya tugas sebagai guru adalah tugas yang mulia dan murni sepanjang zaman , justeru itu kurniakanlah kepada guru-guru kami hati yang ikhlas dalam menyempurnakan tanggungjawab yang berat ini dengan sebaiknya.
- Ya Allah, Ya Razak, Berkatilah usaha para guru kami. Satukanlah hati-hati mereka, padukanlah tenaga dan usaha mereka untuk menggempur anjakan sikap dan pemikiran bagi menghadapi era teknologi dan globalisasi.
- Ya Allah, kurniakanlah guru-guru kami kekuatan rohani dan jasmani, cetusan idea dan gerakan minda, untuk terus menjana kecemerlangan pendidikan, di alam persada.
- Ya Allah tambahkan lah rezeki guru -guru kami dan berkatkanlah umur mereka sebagaimana mereka telah mendidik dan mengajar kami
- Ya Rahim, kurniakan taufiq dan hidayah kepada kami dan guru-guru kami supaya jalan hidup kami sentiasa diberi petunjuk olehMu di dunia dan mendapat ganjaran setimpal di akhirat kelak.
- Ya Allah sayangilah guru-guru kami ini sebagaimana mereka menyayangi dan mendidik kami dengan tekun dan sabar ikhlas kerana Mu ya Allah
Tanggungjawab Murid Pada Guru
Sepertimana besarnya tanggungjawab seorang guru pada murid-muridnya, sebesar itu jugalah tanggungjawab para pelajar ke atas guru mereka. Sebagai seorang murid kita perlu menghormati guru kita sebagaimana kita menghormati ibu bapa kita.
Rasa hormat kepada guru membuatkan kita dapat mengikuti pelajaran dengan baik dan sudah tentu lebih keberkatan ilmu yang dipelajari itu. Berikut merupakan antara perkara yang perlu anda lakukan sewaktu berhadapan dengan guru anda:
- Menghormati guru sebagai sumber pengetahuan anda.
- Bersedia untuk memberi kerjasama kepada guru anda.
- Memberikan sepenuh tumpuan anda sewaktu sesi pengajaran berlangsung.
- Mematuhi segala arahan yang diberikan oleh para guru.
- Menjaga pertuturan anda sewaktu bercakap dengan guru.
- Menjaga perasaan guru dengan menghormati mereka.
Baca juga: