Doa Tahun Baru 2024 : Contoh Doa Rumi / Arab & Maksudnya

doa tahun baru
Sumber : APM
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Doa Tahun Baru 2024 : Contoh Doa Rumi / Arab & Maksudnya

Saat kita bersiap menyambut tahun 2024, jangan lupa memanjatkan doa untuk bersyukur di samping merangkai doa dan impian, menaburkan azam untuk menjalani hari-hari yang akan datang dengan lebih bererti.

Di sebalik kegembiraan dan keterujaan, ayuh kita berdoa agar Allah SWT membuka pintu keberkatan, memberi kita kekuatan, sabar, dan ketabahan dalam menghadapi setiap rintangan dalam tahun yang mendatang.

Sempena dengan kedatangan Tahun Baru, marilah sama-sama kita mengakhiri penghujung tahun dan memulakan awal tahun baru dengan membaca doa akhir tahun.

HUKUM MENYAMBUT TAHUN BARU MASIHI

SOALAN:

Apakah hukum menyambut Tahun Baru Masihi?

JAWAPAN:

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Hukumnya harus untuk menyambut tahun baru namun perlu mengikut dhawabit yang telah ditetapkan.

Saya tertarik dengan satu pendapat yang telah dikemukakan oleh Syeikh Abdullah bin Bayyah Hafizahullah, antara lain menyebut:

“Memperingati hari-hari bersejarah tertentu bukanlah satu hari raya yang berbentuk keagamaan. Ia hanyalah satu sistem duniawi yang digunakan untuk tujuan memperingati dan mengambil pengajaran daripada sejarah serta bersyukur dengan nikmat Allah. Bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Tidak. Yang haram adalah menurut mereka dengan niat (al-tashabbuh) bukannya semata-mata wujud persamaan (al-mushābahah) Abū Yūsuf pernah disoal tentang pemakaian selipar yang sama dengan selipar agama orang Kristian. Beliau menjawab: Nabi Muhammad pernah memakai selipar yang berbulu yang menyerupai golongan rahib. Maknanya al-mushābahah tidak sama dengan al-tashabbuh. Nabi tidak memakai selipar itu dengan niat untuk menyerupai mereka, bahkan ia hanyalah satu bentuk persamaan biasa sahaja,”

Justeru, dalam kita menyambut Tahun Baru, marilah sama-sama kita mengubah ke arah yang lebih baik dalam lainnya dengan menghadirkan diri ke masjid dan kelas-kelas pengajian agama untuk belajar tentang solat, berzikir bersolat dan berdoa serta bermunajat agar tahun baru yang mendatang ini lebih diberkati dan juga sebagai titik perubahan buat kita ke arah yang lebih baik. Elakkan sama sekali aktiviti-aktiviti yang membazirkan masa, maksiat dan juga meniru cara orang-orang yang lalai ketika menyambut tahun baru. Ingatlah bahawasanya waktu yang kita miliki ini amat terhad dan terbatas. Marilah kita isikannya dengan perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang akan dipahalakan oleh Allah SWT dalam mizan hasanat kita kelak. Ingatlah juga firman Allah SWT:

يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ

Maksudnya: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,”Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);

(Al-Syu’ara’: 88-89)

Sumber: S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Contoh Doa Tahun Baru Yang Boleh Dibacakan

DOA AKHIR TAHUN ISLAM

اَللَّهُمَّ مَا عَمِلْتُ مِنْ عَمَلٍ فِي هَذِهِ السَّنَةِ مَا نَهَيْتَنِي عَنْهُ وَلَمْ أَتُبْ مِنْه وَحَلُمْتَ فِيْها عَلَيَّ بِفَضْلِكَ بَعْدَ قُدْرَتِكَ عَلَى عُقُوبَتِي وَدَعَوْتَنِي إِلَى التَّوْبَةِ مِنْ بَعْدِ جَرَاءَتِي عَلَى مَعْصِيَتِكَ فَإِنِّي اسْتَغْفَرْتُكَ فَاغْفِرْلِي وَمَا عَمِلْتُ فِيْهَا مِمَّا تَرْضَى وَوَعَدْتَّنِي عَلَيْهِ الثّوَابَ فَأَسْئَلُكَ أَنْ تَتَقَبَّلَ مِنِّي وَلَا تَقْطَعْ رَجَائِ مِنْكَ يَا كَرِيْمُ

doa awal tahun

Arab latin: “Allahumma ma ‘amiltu min ‘amalin fi hadzihis sanati ma nahaitani ‘anhu, wa lam atub minhu, wa hamalta fiha ‘alayya bi fadhlika ba’da qudratika ‘ala ‘uqubati, wa da’autani ilat taubati min ba’di jara’ati ‘ala ma’shiyatik. Fa inni astaghfiruka, faghfirlî wa ma ‘amiltu fiha mimma tardha, wa wa’attani ‘alaihits tsawaba, fa’as’aluka an tataqabbala minni wa la taqtha’ raja’i minka ya karim.”

Ertinya: “Ya Tuhanku, aku meminta ampun atas perbuatanku di tahun ini termasuk yang Engkau larang sementara aku belum sempat bertaubat, perbuatanku yang Engkau maklumi karena kemurahanMu sementara Engkau mampu menyiksaku, dan perbuatan (dosa) yang Engkau perintahkan untuk taubat sementara aku menerjangnya yang bererti mendurhakaiMu. Kerananya aku memohon ampun kepadaMu, ampunilah aku. Ya Tuhanku, aku berharap Engkau menerima perbuatanku yang Engkau redhoi di tahun ini dan perbuatanku yang terjanjikan pahalaMu. Janganlah pupuskan harapanku, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah.”

DOA AWAL TAHUN ISLAM

اَللَّهُمَّ أَنْتَ الأَبَدِيُّ القَدِيمُ الأَوَّلُ وَعَلَى فَضْلِكَ العَظِيْمِ وَكَرِيْمِ جُوْدِكَ المُعَوَّلُ، وَهَذَا عَامٌ جَدِيْدٌ قَدْ أَقْبَلَ، أَسْأَلُكَ العِصْمَةَ فِيْهِ مِنَ الشَّيْطَانِ وَأَوْلِيَائِه، وَالعَوْنَ عَلَى هَذِهِ النَّفْسِ الأَمَّارَةِ بِالسُّوْءِ، وَالاِشْتِغَالَ بِمَا يُقَرِّبُنِيْ إِلَيْكَ زُلْفَى يَا ذَا الجَلَالِ وَالإِكْرَامِ

doa akhir tahun
Sumber: JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

Arab latin: “Allahumma antal abadiyyul qadîmul awwal. Wa ‘ala fadhlikal ‘azhimi wa karimi judikal mu’awwal. Hadza ‘amun jadidun qad aqbal. As’alukal ‘ishmata fihi minas syaithani wa auliya’ih, wal ‘auna ‘ala hadzihin nafsil ammarati bis su’i, wal isytighala bima yuqarribuni ilaika zulfa, ya dzal jalali wal ikram.”

Ertinya: “Ya Tuhanku, Engkau yang Abadi, Qadim, dan Awal. Atas karuniaMu yang besar dan kemurahanMu yang mulia, Engkau menjadi pintu harapan. Tahun baru ini sudah tiba. Aku berlindung kepadaMu dari pujukan iblis dan para walinya di tahun ini. Aku pun mengharap pertolonganMu dalam mengatasi nafsu yang kerap mendorongku berlaku jahat. KepadaMu, aku memohon bimbingan agar urusan keseharian mendekatkanku pada rahmatMu. Wahai Tuhan Pemilik Kebesaran dan Kemuliaan.”

Kedua-dua doa ini boleh dibaca secara bersendirian atau berjemaah sama ada di masjid, surau, tempat kerja dan sebagainya.

Himpunan Doa Berkaitan

Berikut disertakan beberapa lagi contoh doa yang boleh dibacakan sempena menyambut tahun baru.

DOA 1

بسم اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala Puji bagi Allah Tuhan pemerintah seluruh alam, Yang menurunkan rahmat dan kesejahteraanNya ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW, ke atas keluarganya dan sahabat handainya sekalian.

Ya Allah Engkaulah yang abadi lagi kekal dan tidak ada permulaan. Atas kurniaanMu yang besar, kemurahanMu yang luas, hari ini merupakan tahun yang baru.

Kami memohon kepadaMu supaya memelihara kami daripada musuh-musuh kami, gangguan syaitan dan iblis, serta menolong kami menentang nafsu yang mengajak kepada kejahatan.

Dan menolong kami supaya sibuk melakukan amalan untuk mendekatkan kami kepadaMu wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.

Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Allah telah menurunkan rahmat dan kesejahteraanNya ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW, keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Segala puji bagi Allah Tuhan pemerintah alam.

Aamiin aamiin aamiin Ya الله.

DOA 2

Ya Allah, jauhkanlah aku dari kejahatan diriku dan berikanlah keazaman untukku dalam petunjuk urusanku.

Ya Allah, ampunkanlah apa yang aku sembunyikan, apa yang aku nyatakan, apa yang aku tersalah, apa yang aku sengajakan, aya yang aku tahu dan apa yang aku tidak tahu.

DOA 3

Ya Allah, Cucurilah rahmatMu ke atas kami, Berkatilah kami dari awal hingga akhirnya. Ya Allah sesungguhnya kami ini memohon dengan penuh pengharapan kepadaMu Ya Allah, sempena tahun baru ini.

Kau panjangkanlah umur kami dan kurniakanlah kepada kami kehidupan yang lebih bahagia dan berjaya dari tahun sebelumnya.
Kurniakanlah kepada kami rezeki yang melimpah, berkat dan direstuiMu Ya Allah.
Jauhkanlah kami dari belenggu kesusahan, kemiskinan dan kebuluran dari kami dan keluarga.

Ya Allah Ya Tuhan kami, bukakanlah kepada kami pintu kebajikan, pintu keberkatan, pintu kenikmatan, pintu rezeki, pintu kesihatan, pintu keselamatan dan segala pintu kebaikan di dunia dan akhirat, yang menjurus ke SyurgaMu Ya Allah.

Dan kami juga memohon kepadaMu Ya Allah, jauhkanlah segala pintu kejahatan dan keburukan dari kami dan keluarga.

doa tahun baru
Sumber : APM

DOA 4

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad, beserta keluarga dan sahabatnya.

Ya Allah, Engkaulah yang Abadi, Dahulu lagi Awal. Dan hanya kepada anugerahMu yang Agung dan dermawanMu tempat bergantung.
Dan tahun baru ini benar-benar telah datang. Kami memohon kepadaMu perlindungan dalam tahun ini dari godaan syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan bala tenteranya.

Dan kami memohon pertolongan untuk mengalahkan hawa nafsu amarah yang mengajak kepada kejahatan, agar kami sibuk melakukan amal yang dapat mendekatkan diri kami kepadaMu wahai Dzat yang memiliki Keagungan dan Kemuliaan.

Wahai Tuhan yang Maha Mengasihani kepada hamba-hambaNya, Ya Allah, berikanlah kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di akhirat, serta jauhkan kami dari azab api neraka.

Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad, keluarga dan sahabatnya.
Segala Pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut