Doa Rabitah – Memohon Agar Dikuatkan Ikatan Hati
Setiap manusia mempunyai hati dan fikiran masing-masing. Ini menandakan bahawa sudah pasti terdapat perbezaan yang wujud. Walaupun perbezaan tersebut menjadikan seseorang tersebut unik dan istimewa, adakalanya ia juga boleh mencipta jurang perselisihan.
Terdapat satu doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar hati-hati kita disatukan terutamanya apabila berada dalam satu organisasi. Doa tersebut dikenali sebagai doa rabitah.
BACA JUGA: Doa Istikharah – Memohon Diberikan Petunjuk Dalam Membuat Keputusan
Maksud Rabitah
“Rabitah” adalah sebuah perkataan dalam bahasa Arab yang memiliki beberapa makna, bergantung pada konteksnya. Salah satu makna yang paling umum adalah “hubungan” atau “ikatan”.
Jadi umumnya, doa rabitah adalah doa yang dipanjatkan bagi memohon agar hubungan yang dibina sentiasa dipelihara oleh Allah SWT.
Jika anda perasan, doa rabitah ini terdapat pada Al Mathurat. Ia biasanya dibaca terakhir sekali selepas membaca doa-doa lain yang terdapat dalam himpunan zikir Imam Hasan al-Banna (Al Mathurat) tersebut.
Doa Rabitah
اَللّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذِهِ الْقُلُوْبَ , قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَي مَحَبَّتِكَ
وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ, وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِكَ
وَتَعَاهَدَتْ عَلَى نُصْرَةِ شَرِيْعَتِكَ
فَوَثِّقِ اللَّهُمَّ رَابِطَتَهَا, وَأَدِمْ وُدَّهَا، وَاهْدِهَا سُبُلَهَا
وَامْلَأَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِيْ لاَ يَخْبُوْا
وَاشْرَحْ صُدُوْرَهَا بِفَيْضِ الْإِيْمَانِ بِكَ, وَجَمِيْلِ التَّوَكُّلِ عَلَيْكَ
وَاَحْيِهَا بِمَعْرِفَتِكَ، وَأَمِتْهَا عَلَى الشَّهَادَةِ فِيْ سَبِيْلِكَ
إِنَّكَ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرِ
RUMI:
Allahumma innaka ta’lamu anna hadzihil qulub, qadijtama-at ‘alaa mahabbatik.
Wal taqat ‘alaa tha’atik, wa tawahhadat ‘alaa da’watik
Wa ta ‘ahadat ‘ala nashrati syari’atik
Fa watsiqillahumma rabithataha, wa adim wuddaha, wah dihaa subulahaa
Wamla’haa binuurikal ladzi laa yakhbu
Wasy-syrah shuduroha bi faidil imaanibik wa jamiilit tawakkuli ‘alaik
Wa ahyiha bi ma’rifatik, wa amitha ‘alaa syahaadati fii sabiilik
Innaka ni’mal maula wa ni’man nasir.
MAKSUD:
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui hati kami. Kami telah berkumpul karena cinta-Mu, dan berjumpa dalam ketaatan pada-Mu, dan bersatu dalam dakwah-Mu, dan berpadu dalam membela syariat-Mu. Maka Ya Allah, kuatkanlah ikatannya, kekalkanlah cintanya, tunjukkanlah jalannya, penuhilah ia dengan cahaya yang tiada redup, dan lapangkanlah dada-dada dengan iman yang berlimpah kepada-Mu. Serta indahnya takwa kepada-Mu, dan hidupkan ia dengan ma’rifat-Mu, dan matikan ia dalam syahid di jalan-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.”
Kepentingan Ikatan Hati
Ikatan hati yang kuat adalah kunci utama dalam membentuk hubungan yang sihat dan harmoni di antara individu, keluarga, masyarakat, dan komuniti amnya. Beberapa kepentingan utama ikatan hati yang kuat ialah:
1. Mewujudkan sokongan tidak berbelah bagi: Ikatan hati yang kuat akan menguatkan hubungan emosional dan sosial antara individu dan boleh mewujudkan sokongan yang diperlukan dalam kehidupan seharian.
2. Asas Kebahagiaan: Ikatan hati yang kuat adalah asas hubungan yang bahagia dan harmoni.
3. Mewujudkan Komitmen: Ikatan hati dapat meningkatkan komitmen dan keterikatan antara individu. Apabila seseorang merasa terikat secara emosional dengan orang lain, mereka cenderung untuk meletakkan komitmen dan bekerjasama dalam mencapai tujuan bersama.
4. Mengelakkan Konflik: Dalam hubungan yang memiliki ikatan hati yang kuat, individu cenderung untuk menyelesaikan konflik secara damai dan berusaha memahami sudut pandang satu sama lain. Ini membantu mencegah konflik menjadi besar dan merosak hubungan.
5. Solidariti: Ikatan hati yang kuat di antara sesama ahli organisasi dapat meningkatkan rasa solidariti, kepedulian, dan keprihatinan. Ini penting untuk membangun komuniti yang kuat dan berdaya tahan.
Akhir kata, semoga dengan mengamalkan doa ini, ia dapat menguatkan ikatan hati bersama insan tersayang terutamanya dalam melakukan dakwah.
RUJUKAN: https://ecentral.my/wp-content/uploads/2023/12/Al-Mathurat-1.pdf