Doa Istikharah – Memohon Diberikan Petunjuk Dalam Membuat Keputusan

Doa Istikharah – Memohon Diberikan Petunjuk Dalam Membuat Keputusan 

Dalam kehidupan, kita tidak lari daripada situasi ataupun masalah yang memerlukan kita membuat pilihan dan keputusan.

Islam mengajarkan umatnya untuk melakukan istikharah untuk memohon petunjuk Allah SWT dalam memilih atau melakukan sesuatu perkara atau urusan.

Allah SWT berfirman:

وَاستَعِينُواْ بِالصَّبرِ وَالصَّلَوةِ

Maksudnya: “Dan kamu mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.”[1]

Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya. 

Apa Itu Istikharah?

Perkataan istikharah berasal daripada perkataan خير yang bermaksud kebaikan. Dengan tambahan huruf Alif,Sin dan Ta’ ia menjadi استخار  dan  maknanya berubah menjadi; memohon pilihan

Dari sudut istilah feqah pula, istikharah bermaksud permohonan kepada Allah SWT agar diberi petunjuk dalam memilih sesuatu perkara yang terbaik.

Doa Istikharah - Memohon Diberikan Petunjuk Dalam Membuat Keputusan

Menurut penulisan Dr.Zulkifli Al-Bakri, Syeikh Syams al-Haq ‘Azim Abadi menyebut bahawa maksud daripada istikharah itu sendiri meminta dipermudahkan dan diberi kebaikan pada dua perkara kebaikan. Sama ada terus melakukannya atau meninggalkannya.

Rasulullah mengajar kita untuk  mengerjakan solat Istikharah dalam membuat pilihan walaupun perkara tersebut remeh. 

Daripada Jabir bin Abdillah R.A:

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarakan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda: Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah: Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda: sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda: sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya. Kemudian Baginda bersabda: Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya.”

Riwayat al-Tirmizi (480) dan Ibn Majah (1383)

Rujuk panduan menunaikan solat istikharah di sini. 

Hukum Melakukan Istikharah

Hukum melakukan solat isktikharah adalah sunat. Solat istikharah hanya dilakukan untuk perkara-perkara yang harus dan tidak boleh dilakukan untuk perkara yang haram. 

Doa Istikharah

Bagi sesiapa yang ada hajat atau ingin memohon petunjuk tentang satu perkara yang ingin dilakukannya maka disunatkan kepadanya solat dua rakaat dan berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. 

Berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari dan Ibnu Majah, doa Istikharah adalah seperti berikut:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيْمِ فإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ َوَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوْبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِيْنِي وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِي (أَوْ قَالَ) عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاقْدُرْهُ لِي ويَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيْهِ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ شّرٌلِي فِي دِيْنِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي (أَوْ قَالَ) فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْلِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِيْ بِهِ .

Maksudnya:

“Ya Allah, aku memohon pilihan yang terbaik daripada-Mu menurut ilmu-Mu. Aku juga mohon takdir yang terbaik menurut takdir-Mu.

Aku mohon limpah kurnia-Mu yang agung, kerana hanya Engkau sahaja yang mentakdirkan bukan aku yang mentakdirkan.

Hanya Engkau sahaja yang tahu dan aku tidak tahu. Hanya Engkau sahaja yang mengetahui ilmu ghaib.

Ya  Allah, jika Engkau tahu perkara ini baik untuk diriku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau Baginda bersabda; Untuk urusanku di dunia dan akhirat, takdirkanlah ia untukku kemudian berkatilahku dalam urusan ini.

Jika Engkau tahu perkara ini tidak baik untukku, untuk agamaku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau Baginda bersabda: Untuk urusanku di dunia dan akhiratku, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah diriku daripadanya.

Takdirkanlah diriku beroleh kebaikan yang sepatutnya kemudian buatkanlah diriku redha dengannya. Baginda bersabda: Seterusnya nyatakanlah hajatnya.”

Riwayat al-Bukhari (1162), Abu Dawud (1538), al-Tirmizi (480), al-Nasaie (3253), Ibn Majah (1383) dan Ahmad (14707)

Sebelum berdoa, sunat dimulakan mengamalkan adab berdoa seperti mengucap Alhamdulillah, selawat  dan salam atas Nabi Muhammad  SAW, menghadap kiblat dan mengangkat kedua-dua tangan (menadah tangan). 

Cara Mengetahui Petanda Daripada Istikharah 

Terdapat beberapa petanda yang anda boleh perhatikan setelah melakukan istikharah, antaranya ialah:

  1. Allah memberikan hati yang tenang dan mantap dalam membuat keputusan/pilihan. 
  2. Dapat merasakan gerakan hati untuk memilih yang terbaik. 
  3. Mendapat mimpi yang baik mengenai keputusan/pilihan yang dibuat. 

RUJUKAN:

Bantu kami share artikel ini: