Daun Ketum : Kegunaan dan Kesan Pada Kesihatan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Berasal dari rantau Asia Tenggara khususnya di Malaysia, Thailand dan Indonesia, daun ketum telah lama digunakan secara tradisional oleh masyarakat setempat bagi meningkatkan tenaga dan meredakan keradangan.

Walau bagaimanapun, daun ini cukup sinonim dengan kes ketagihan dan risiko penyalahgunaan dadah kerana bahan psikoaktifnya.

Oleh itu, isu mengenai daun ini terus menjadi perdebatan antara keperluan perubatan serta kawalan undang-undang.

Apa itu Daun Ketum?

Pokok ketum atau nama saintifiknya Mitragyna speciosa merupakan tumbuhan liar yang hidup di persekitaran kampung dan kawasan hutan.

Ia turut dikenali dengan nama lain seperti Kratom dan Biak.

Antara kawasan tumpuan bagi tumbuhan ini adalah di negeri-negeri utara dan pantai timur semenanjung Malaysia.

Pokok yang mempunyai batang berkayu keras dan bercabang ini boleh mencapai ketinggian sehingga 25 meter.

Bahagian yang digunakan daripada tumbuhan ini adalah daunnya.

daun ketum
Sumber : Caring Pharmacy
daun ketum
Sumber : Berita Harian

Kegunaan Dalam Rawatan Tradisional

Daun ketum telah digunakan secara turun temurun bagi mengeluarkan angin dalam badan. Ia juga dipercayai dapat meningkatkan tenaga untuk melakukan kerja berat.

Air daun ketum ini turut digunakan secara tradisional bagi merawat beberapa penyakit seperti merawat sakit belakang, demam, batuk, penyakit cacing serta penawar kepada darah tinggi, diabetis dan sebagainya.

Biasanya daun ini digunakan dengan cara merebus daunnya. Air rebusan inilah yang mengandungi bahan psikoaktif iaitu mitragynine.

Sumber : Caring Pharmacy

Penyalahgunaan Daun Ketum

Di negara kita, penggunaan daun ini masih dikawal ketat di bawah undang-undang.

Ini disebabkan oleh penyalahgunaan air rebusan daun ketum oleh segelintir masyarakat, khususnya dalam kalangan penagih dadah.

Daun yang mengandungi bahan psikoaktif mitragynine ini boleh menghasilkan kesan stimulan, sedatif dan euforia yang boleh menjurus kepada ketagihan sekiranya diambil tanpa kawalan.

daun ketum
Sumber : Facebook Public Health Malaysia

Kesan Pengambilan Air Ketum

Kesan Jangka Masa Pendek

Sekiranya ketum diambil secara berlebihan, ia boleh membuatkan seseorang berasa khayal, pening, mengantuk dan rasa mual.

Kesan Jangka Masa Panjang

Sekiranya diambil secara berterusan, daun ini boleh mengakibatkan :

  • Masalah ketagihan
  • Bibir dan kulit menjadi kehitaman seperti kesan terbakar dan lebam terutama di bahagian pipi
  • Kulit menjadi kering
  • Kerap sembelit
  • Sukar untuk tidur atau insomnia

Kesan Pengambilan Ketum Secara Berlebihan

Jika pengambilan daun ketum tidak dikawal, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, antaranya:

  • Mengalami kemurungan sistem saraf seperti rasa mengantuk yang berpanjangan dan keadaan khayal.
  • Kesan sedatif yang keterlaluan hingga menyebabkan individu menjadi lesu dan tidak bermaya.
  • Berisiko mengalami stupor, iaitu keadaan hampir tidak sedarkan diri.
  • Terdapat juga laporan berlakunya sawan selepas pengambilan air ketum secara berlebihan (melebihi 15 mg).
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

Komplikasi

Dalam kes yang lebih teruk, pengambilan ketum yang berlebihan boleh mengakibatkan gangguan atau komplikasi kesihatan yang serius iaitu :

1.Gangguan Hormon Tiroid

Pengamal daun ketum yang kronik berisiko untuk mengalami masalah fungsi hormon tiroid, khususnya hipotiroidisme, iaitu satu keadaan di mana paras hormon tiroksin dalam badan menjadi rendah, seterusnya menjejaskan metabolisme dan kesihatan keseluruhan.

2. Kerosakan Hati

Pengambilan ketum dalam dos yang terlalu tinggi boleh membawa kepada kerosakan hati yang serius.

Malah, terdapat kes kematian yang dilaporkan akibat pengambilan berlebihan, di mana hasil bedah siasat menunjukkan kandungan mitragynine yang tinggi dalam darah mangsa.

Undang-Undang dan Kawalan

Mitragynine, bahan aktif utama dalam daun ketum, diklasifikasikan sebagai bahan psikotropik dan dikawal di bawah Akta Racun 1952.

Ia disenaraikan dalam Jadual Ketiga Racun (Bahan-Bahan Psikotropik). Mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952, sebarang aktiviti melibatkan pengimportan, pengeksportan, pengilangan, penjualan atau pemilikan bahan ini adalah satu kesalahan.

Jika disabitkan, individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000, penjara sehingga empat tahun, atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 30(5) akta yang sama.

Kesimpulannya, walaupun daun ketum mempunyai potensi dalam bidang perubatan tradisional, penggunaannya yang tidak terkawal boleh membawa kepada pelbagai kesan buruk terhadap kesihatan fizikal dan mental.

Ketagihan, kerosakan organ, serta risiko perlanggaran undang-undang menjadikan pengambilan ketum suatu isu yang perlu diberi perhatian serius.

Oleh itu, kesedaran masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan ketum perlu dipertingkatkan, di samping penguatkuasaan undang-undang yang tegas bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Sumber : Facebook Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Majlis Keselamatan Negara

Baca Juga : Potensi Tongkat Ali Pada Kesihatan Tubuh

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut