Kejayaan negara bergantung pada usaha berterusan dalam memartabatkan wanita dan menjamin kesejahteraan mereka.
Mengimbas perjalanan sejarah, Dasar Wanita Negara (DWN) yang pertama telah digubal pada tahun 1989 dan disemak semula pada tahun 2009 dengan pengenalan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita.
Kini, setelah 15 tahun berlalu, dasar ini diberi nafas baharu sebagai Dasar Wanita Negara 2025-2030, seiring dengan pembaharuan Dasar Sosial Negara 2030 dan keperluan menangani cabaran serta isu semasa berkaitan wanita.
Pelaksanaan DWN 2025-2030 ini diharap dapat memperkukuhkan imej Malaysia sebagai negara yang progresif dalam memperjuangkan hak wanita, mempromosi diplomasi gender dan memperkukuh wanita sebagai penyumbang ekonomi.
Tema Dasar Wanita Negara 2025-2030
Tema Dasar Wanita Negara adalah “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”.
Matlamat Dasar Wanita Negara 2025
Matlamat Dasar Wanita Negara tahun 2025-2030 adalah “Memperkasakan wanita untuk terlibat secara bermakna bagi mencapai potensi mereka sepenuhnya melalui pembangunan yang inklusif ke arah kesaksamaan gender”.
Dasar ini memberi tumpuan kepada empat bidang utama, iaitu :
- Ekonomi
- Kepimpinan
- Keselamatan
- Kesejahteraan
1.Bidang Ekonomi
Matlamat
Memberdaya wanita dari pelbagai lapisan masyarakat dalam semua sektor ekonomi sebagai ejen perubahan dan rakan strategik pembangunan sosioekonomi negara.
Sasaran Keberhasilan
- Peningkatan kepada 60% kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh
- Peningkatan skor subindeks Penyertaan Pekerja Wanita Profesional dan Teknikal kepada 0.700 di bawah MGCI
- Peningkatan 1 juta usahawan wanita berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menjelang tahun 2030.
2. Bidang Kepimpinan
Matlamat
Meningkatkan kepimpinan wanita sebagai pembuat keputusan di kedudukan strategik
Sasaran Keberhasilan
Peningkatan sekurang-kurangnya 30% penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan khususnya dalam sektor yang ketinggalan.
3. Bidang Keselamatan
Membudayakan kesaksamaan gender bagi memperkukuh tahap jaminan keselamatan dan ketenteraman wanita
Sasaran Keberhasilan
- Pembangunan Indeks Keselamatan dan Ketenteraman Awam- subindeks wanita
- Penglibatan sekurang-kurangnya 10% wanita dalam sektor pertahanan, keselamatan dan ketenteraman awam
- Pengekalan Domain Keselamatan Keluarga dalam Indeks Kesejahteraan Keluarga dalam julat ‘Sederhana Tinggi’ dan ke atas.
4. Bidang Kesejahteraan
Matlamat
Memperkukuh kesejahteraan wanita yang inklusif dalam masyarakat.
Sasaran Keberhasilan
- Skor Indeks Jurang Gender Malaysia meningkat kepada julat antara 0.690 hingga 1.000
- Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia berasaskan gender
- Pengekalan mata Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia dalam julat ‘Bahagia’ dan ‘Sangat Bahagia’
Impak Pelaksanaan
Dasar Wanita Negara 2025-2030 dijangka dapat memberikan impak positif seperti berikut :
Peningkatan Kesejahteraan Wanita
- Strategi, program dan inisiatif berasaskan kesaksamaan gender
- Peningkatan akses dalam ekonomi, kesihatan dan pendidikan
- Kesedaran terhadap diskriminasi dan keganasan terhadap wanita
Kedudukan Malaysia di Peringkat Antarabangsa
- Memperkukuh imej Malaysia sebagai negara progresif
- Meningkatkan kedudukan dalam Sustainable Development Goals (SDGs), Global Gender Gap Index dan World Competitiveness Report (WCR).
- Menarik pelaburan dan kerjasama antarabangsa
Komitmen kepada Piawaian Global
- Selari dengan CEDAW, Deklarasi Beijing dan SDGs
- Menyokong dasar di bawah KPWKM seperti Dasar Sosial Negara dan Dasar Keluarga Negara
Pendekatan Whole-of-Nation
- Penglibatan kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan dan komuniti
- Jabatan Pembangunan Wanita sebagai peneraju utama dalam pelaksanaan DWN.
Sebagai kesimpulan, Dasar Wanita Negara 2025-2030 merupakan langkah strategik kerajaan untuk memperkasa wanita dalam semua aspek kehidupan, selaras dengan matlamat pembangunan negara dan agenda global.
Kejayaan pelaksanaan dasar ini memerlukan komitmen semua pihak – kerajaan, swasta, masyarakat sivil dan individu – demi memastikan wanita Malaysia dapat menyumbang secara maksimum kepada pembangunan negara.
Dengan memberi penekanan kepada keseimbangan gender, penglibatan wanita dalam kepimpinan, dan perlindungan hak asasi mereka, dasar ini berpotensi membentuk masyarakat yang lebih adil, inklusif dan progresif.
Sumber : Facebook Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat KPWKM, kpwkm.gov.my
Baca Juga : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025)