Berita baik! Negeri Melaka mengumumkan cuti kelepasan sempena Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari 2025.
Jom kami kongsikan lebih lanjut tentang sambutan hari istimewa ini.
Pengenalan : Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
Pada 20 Februari 1956, Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diumumkan di Padang Bandar Hilir, Melaka. Pada detik bersejarah ini YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu mengumumkan bahawa menurut Perjanjian Kemerdekaan yang ditandatangani pada 8 Februari 1956, Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan secara rasminya pada 31 Ogos 1957.
Serentak dengan pengumuman kemerdekaan itu pekikan ‘Merdeka’ bergemuruh di angkasa raya Padang Bandar Hilir yang dibanjiri oleh lebih daripada 100,000 orang yang datang dari seluruh pelosok Persekutuan Tanah Melayu. Pengumuman Kemerdekaan ini dibuat sejurus selepas rombongan rundingan Kemerdekaan, diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang memeterai Perjanjian Kemerdekaan pada 8 Februari 1956 kembali dari London. Kepulangan Rombongan Kemerdekaan YTM Tunku Abdul Rahman Putra ini disambut dengan meriah, rombongan ini diarak dengan diiringi oleh sepasukan pemuda bermotosikal dan berpuluh-puluh buah kereta dari Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka ke Padang Banda Hilir, Melaka.
Tarikh Cuti Umum
Cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Malaysia diwartakan bagi mengingatkan generasi muda mengenai tarikh dan sejarah penting Malaysia khususnya berkaitan kemerdekaan daripada penjajahan British.
Cuti umum selama sehari itu sudah diluluskan kerajaan negeri dan akan berkuat kuasa bagi negeri Melaka mulai tahun 2024 sempena memperingati hari pengisytiharan kemerdekaan negara yang berlaku di Bandar Hilir di negeri itu.
Acara & Sambutan
Biasanya pelbagai aktiviti akan dirangka bagi memeriahkan dan mengimbas kembali peristiwa ketibaan rombongan diketuai Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Banda Hilir pada 20 Februari 1956, bagi pengumuman tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sama seperti tahun lepas, beberapa tempat pelancongan akan menawarkan kemasukan percuma kepada rakyat Melaka dan pelancong pada 20 Februari ini.
Selain itu, sebuah perarakan berkisarkan sejarah sebenar ketika peristiwa Pengumuman Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, sekembalinya rombongan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman dengan menggunakan kenderaan sama dinaiki beliau juga telah dijayakan.
Rombongan yang pulang dari London ini mendapat sambutan meriah rakyat dan diarak dengan diiringi kumpulan pemuda bermotosikal serta kereta ke Padang Banda Hilir dan peristiwa itu akan dilakon semula sama seperti yang berlaku pada perarakan asal.
Menarik kan?
Jangan lepaskan peluang jalan-jalan di Melaka pada 20 Februari ni ok!
Baca juga:
- BUDI Madani 2025 – Tarikh Bayaran Subsidi Diesel RM200
- PADU: Sistem Pangkalan Data Utama 2025 – Daftar & Kemaskini
Rujukan : Pejabat TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka