Cendawan Tiram : Khasiat, Nutrisi dan Resepi Ringkas Untuk Dicuba

Cendawan tiram merupakan salah satu cendawan yang sangat popular. Rasanya yang enak membuatkan ia sesuai untuk diolah menjadi hidangan celup tepung, sayur goreng kilas dan sebagainya.

Ia juga boleh dijumpai dalam pelbagai warna iaitu kelabu, perang dan warna krim.

Cendawan ini juga merupakan jenis cendawan ketiga yang paling banyak ditanam di dunia. Negara yang paling banyak mengusahakan tanaman cendawan ini adalah China.

Cendawan tiram boleh dikenalpasti dengan bentuk topi seakan tiram dan ‘insang’ berwarna putih.

Mempunyai batang yang pendek, cendawan ini boleh membesar sehingga 9 inci.

cendawan tiram

Kandungan Nutrisi

Secawan (86 gram) cendawan tiram mampu memiliki kandungan nutrisi seperti berikut :

NutrisiJumlah
Karbohidrat5 g
Protein3 g
Serat2 g
Niacin4.27 mg
Vitamin B51.3 mg
Folat38 mcg
Kalium8% daripada keperluan harian
Zat besi6% daripada keperluan harian
Fosforus8% daripada keperluan harian
Zink6% daripada keperluan harian

Khasiat Cendawan Tiram Untuk Kesihatan

Berpotensi Untuk Tingkatkan Kesihatan Jantung

Cendawan ini juga didapati berpotensi untuk tingkatkan kesihatan jantung kerana kandungan sejenis serat iaitu beta glucan.

Ketika dihadam di dalam usus, serat ini akan menghasilkan asid lemak yang berperanan dalam mengurangkan penghasilan kolesterol dalam tubuh.

Sebuah kajian juga mendapati pesakit diabetes yang mengamalkan pengambilan cendawan ini bukan sahaja dapat menurunkan paras gula dalam darah, malah ia tahap kolesterol, trigliserida dan tekanan darah juga didapati terkawal.

Berpotensi Mengawal Paras Gula Dalam Darah

Beberapa kajian menunjukkan pengambilan cendawan ini secara kerap boleh memberikan kesan positif bagi pesakit diabetes.

Satu kajian yang dijalankan terhadap pesakit diabetes mendapati pengambilan 150 gram cendawan tiram tiga kali sehari selama 7 hari mampu mengurangkan paras gula dalam darah ketika berpuasa sehingga 22%.

Sumber Antioksidan Yang Baik

Cendawan ini kaya dengan kompaun antioksidan khususnya flavonoid dan phenolic.

Diet yang kaya dengan antioksidan dapat melindungi tubuh daripada kerosakan sel serta melawan radikal bebas yang menyebabkan jangkitan termasuk kanser.

Saintis juga mendapati cendawan tiram mempunyai kandungan antioksidan yang lebih tinggi berbanding jenis cendawan lain di pasaran.

Ini mungkin menjadi sebab mengapa cendawan ini turut diolah menjadi suppkemen kesihatan.

Contoh Resepi Ringkas Cendawan Tiram

Lemak Cili Api Cendawan Tiram

cendawan tiram
Sumber : Facebook Rasa

Bahan-bahan :

  • Cendawan tiram
  • 1 kiub ikan bilis
  • ½ kotak santan
  • Garam
  • 3 batang serai
  • Perasa
  • Garam
  • Daun kunyit

Bahan Kisar :

  • 3 biji bawang merah
  • 15 biji cili api
  • 1 inci kunyit hidup

Cara-cara :

  • Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan masukkan bahan kisar, serai yang sudah diketuk dan daun kunyit.
  • Bila sudah naik bau, masukkan santan dan biarkan masak sehingga mendidih.
  • Seterusnya, masukkan 1 kiub ikan bilis dan sedikit garam.
  • Kemudian, masukkan cendawan tiram yang sudah disiat kasar.
  • Gaul hingga sebati dan biarkan sehingga cendawan masak.
  • Sedia untuk dihidang.

Sup Sayur Campur Cendawan

cendawan tiram
Sumber : Facebook Aringbubu Othman

Bahan-bahan :

  • Minyak masak untuk menumis
  • 6 biji bawang besar (ditumbuk kasar)
  • 5 biji bawang putih (ditumbuk kasar)
  • 5 biji ubi kentang
  • 1 batang lobak merah
  • Cendawan hitam
  • Cendawan tiram
  • Fucuk suun kering
  • Daun bawang
  • 6 biji cili padi merah untuk hiasan
  • Sedikit sos tiram
  • Serbuk perasa
  • Garam secukup rasa

Cara-cara :

  • Tumiskan bahan yang ditumbuk sehingga kekuningan dan masukkan fucuk kering dan suun. Kacau sebati dan masukkan air.
  • Seterusnya, masukkan ubi kentang biarkan seketika agar ubi kentang empuk.
  • Setelah ubi kentang empuk masukkan lobak merah dan cendawan hitam. Biar masak seketika.
  • Selepas itu masukkan sedikit sos tiram, serbuk perasa dan garam secukup rasa. Kacau sebati.
  • Akhir sekali masukkan cendawan tiram, cili padi dan daun bawang.
  • Kacau biar semua bahan hingga sebati dan dan terus tutup api.
  • Juadah sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih untuk makan tengahari.

Cendawan Goreng Crispy

cendawan tiram
Sumber : Facebook Rasa

Bahan-Bahan :

  • 1 kg cendawan tiram (disiat)
  • Sedikit garam
  • Minyak untuk menggoreng

Bahan salutan :

  • 250 gram tepung tempura
  • 1 biji telur
  • Sedikit air
  • 5 sudu besar minyak masak

Cara-cara :

  • Masukkan cendawan tiram yang telah disiat ke dalam mangkuk dan taburkan sedikit garam. Gaulkan sebati untuk keluarkan air dalam cendawan. Perah airnya dan ketepikan.
  • Dalam mangkuk lain, masukkan tepung tempura, sedikit air dan 1 biji telur. Masukkan juga minyak masak dan gaulkan sebati.
  • Tuangkan adunan ke dalam cendawan dan gaulkan sehingga rata.
  • Panaskan minyak dan goreng cendawan yang telah disalut dengan adunan
  • Gorengkan sehingga cendawan berwarna keemasan.
  • Angkat dan sedia untuk dinikmati.

Dengan rasa yang enak serta padat dengan nutrisi, memang rugi jika tak amalkan cendawan tiram dalam diet harian.

Ia kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral serta mempunyai potensi yang tinggi untuk tingkatkan kesihatan.

Sumber : WebMD, Healthline, Facebook Rasa (1), (2), Facebook Aringbubu Othman

Baca Juga : Cendawan Butang : Khasiat, Nutrisi dan Contoh Resepi Ringkas

Bantu kami share artikel ini: