Bunga Kantan : Jenis dan Potensinya Untuk Kesihatan Tubuh

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Bunga kantan merupakan salah satu herba semulajadi yang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Mempunyai aroma yang wangi dan rasa yang unik, herba yang dikenali sebagai Torch Ginger dalam Bahasa Inggeris ini mampu membangkitkan keenakan pelbagai hidangan tradisional.

Antara juadah yang menggunakan bunga kantan adalah laksa, asam pedas dan kerabu.

Ia juga mudah dikenali dengan tangkai berwarna hijau kekuningan yang agak pucat dan bunga berwarna merah jambu terang.

Jenis Bunga Kantan

Mungkin ramai yang menganggap terdapat cuma satu jenis bunga kantan iaitu yang berwarna merah jambu.

Berdasarkan perkongsian daripada FAMA Negeri Johor, terdapat tiga jenis bunga kantan yang popular di Malaysia iaitu yang berwarna putih, merah jambu dan merah.

bunga kantan
Sumber : House Digest

Bunga kantan berwarna merah biasanya digunakan untuk seni gubahan kerana warnanya yang menyerlah.

Yang berwarna putih dan merah pula sering dijadikan ramuan dalam masakan.

bunga kantan
Sumber : Polynesian Produce Stand

Namun, atas permintaan yang tinggi, bunga kantan berwarna merah jambu sering ditanam berbanding jenis yang lain.

Sumber : gardenia.net

Khasiat Bunga Kantan

Di sebalik rasanya yang segar dan enak, herba dengan nama saintifik Etlingera elatior ini mengandungi pelbagai khasiat untuk kesihatan.

Bukan sahaja bunga, malah setiap bahagian daripada tumbuhan ini telah digunakan dalam rawatan tradisional bagi merawat pelbagai penyakit.

Sebagai contoh, bunganya digunakan untuk merawat masalah mulut berbau dan bau badan.

Daunnya pula bermanfaat untuk merawat luka, cirit-birit dan hilang selera makan.

Beberapa kajian turut menemukan beberapa potensi unik yang dimiliki oleh herba beraroroma harum ini.

bunga kantan
Sumber : Facebook FAMA Negeri Johor

Berpotensi Merawat Kencing Manis

Sebuah kajian terhadap tikus makmal mendapati paras gula dalam darah boleh menurun sehingga 70% dengan penggunaan ekstrak daun bunga kantan.

Kajian lain pula menunjukkan bahawa estrak daun tumbuhan ini bukan sahaja dapat membantu mengawal paras gula dalam darah tikus makmal, malah ia turut berpotensi dalam mengawal kekurangan berat badan akibat komplikasi diabetis.

Sumber Antioksidan Yang Baik

Kandungan antioksida yang tinggi dalam tumbuhan ini menjadikan ia sangat baik untuk diamalkan bagi mencegah kerosakan sel.

Di samping itu, diet tinggi antioksida juga dapat membantu menguatkan sistem pertahanan badan dan mencegah tubuh daripada jangkitan yang tidak diingini.

Berpotensi Mengawal Darah Tinggi

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa herba ini mempunyai mineral kalium yang tinggi.

seperti yang kita tahu, kalium merupakan mineral yang memainkan peranan penting dalam mengawal tekanan darah dan sekaligus mencegah masalah tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Tinggi Kandungan Serat

Bunga ini juga dilihat mempunyai kandungan serat yang agak tinggi berbanding tumbuhan liar lain.

Ini membuatkan ia sesuai untuk diamalkan bagi mencegah pelbagai masalah kesihatan seperti sembelit, kolesterol, masalah jantung dan darah tinggi.

Berpotensi Sebagai Antikanser

Berdasarkan sebuah kajian, ekstrak bunga kantan dilihat berpotensi untuk mencegah kanser kulit dan kanser perut.

Lebih menarik lagi, ekstrak bunga ini didapati tidak menjejaskan sel normal yang sihat.

Baik Untuk Kesihatan Kulit

Di samping itu, bunga kantan juga didapati berpotensi untuk merawat pelbagai masalah kulit. sebuah kajian mendedahkan bahawa herba ini mampu bertindak sebagai anti-penuaan dan mencerahkan kulit.

Ditambah pula dengan kebaikan yang dimiliki oleh herba ini, ia didapati mampu mencegah kulit daripada kedutan dan kepekatan melanin yang mengakibatkan kulit menjadi kusam dan gelap.

Dengan pelbagai potensi yang dimiliki oleh tumbuhan ini, memang wajar untuk kita sama-sama amalkan penggunaan bunga kantan sebagai ramuan semulajadi dalam hidangan.

Rasanya juga sangat enak dan mampu meningkatkan seri masakan.

Sumber : researchgate.net, FAMA Negeri Johor, gardeningsg.nparks.gov.sg

Baca Juga : Bunga Cengkih : Khasiat, Petua Batuk, Sakit Gigi & Banyak Lagi

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut