Bukaan Bersalin : Fasa 3cm, 8cm, 10cm dan Petua Yang Bakal Ibu Wajib Tahu

Adakah ini kehamilan pertama dan anda ingin tahu tentang bukaan bersalin? Bukaan serviks ketika hampir melahirkan anak akan dilalui oleh hampir semua wanita.

Mungkin ada juga bakal ibu yang berdebar untuk lalui proses pemeriksaan vagina yang melibatkan selukan jari oleh doktor atau jururawat.

Adalah penting untuk wanita hamil fahami proses ini dengan supaya lebih bersedia pada hari kelahiran kelak.

Oleh itu, di sini kami akan kongsikan tentang fasa bukaan rahim serta beberapa tips penting yang wajib bakal ibu ketahui.

bukaan bersalin

Apa Itu Bukaan Bersalin?

Para ibu khususnya yang pertama kali akan bersalin mungkin rasa ngeri mendengar cerita daripada orang sekeliling tentang pemeriksaan bukaan serviks.

Bukaan bersalin adalah fasa awal yang berlaku apabila sakit kontraksi bermula dan pintu rahim semakin nipis.

Bagi mengesahkannya, doktor atau jururawat perbidanan yang terlatih akan memasukkan jari ke dalam vagina bagi mengukur bukaan pintu rahim.

Prosedur yang dikenali sebagai vaginal examination ini juga boleh mengenalpasti sama ada pintu rahim masih keras atau bertambah lembut, kedudukan kepala bayi, status air ketuban, uri serta tali pusat.

Oleh itu, para ibu tidak perlu risau. Bertenang, tarik nafas dan hembus perlahan-lahan. Jangan keraskan badan atau kemut kerana ini boleh menyukarkan prosedur pemeriksaan dan ibu juga akan berasa sakit.

Fasa Bukaan Bersalin

Sekarang, para ibu perlu fahami fasa bukaan bersalin yang biasanya dilalui apabila mulanya contraction.

Pada peringkat awal kelahiran, serviks akan mula menipis dan terbuka akibat hormon yang dirembeskan.

Untuk melahirkan secara normal, serviks mestilah mencapai bukaan sepenuhnya iaitu kira-kira 10 cm agar kepala bayi dapat melepasi.

Fasa ini akan bermula sebaik sahaja contraction bermula sehingga serviks mencapai bukaan penuh.

bukaan bersalin
Sumber : Moms Junction

Fasa Awal

Fasa awal ini akan memakan masa tempoh yang paling lama dan boleh berlarutan sehingga 20 jam, lebih-lebih bagi wanita yang pertama kali melahirkan anak.

Pada tempoh ini, contraction yang dirasai adalah sederhana, pendek dan tidak konsisten.

Serviks pula akan terbuka kira-kira 3cm (1 inci) dan mukus berwarna merah jambu bercampur darah yang dinamakan ‘show’ mungkin akan muncul daripada vagina.

Air ketuban juga biasanya akan pecah pada waktu ini namun tidak menyebabkan sakit. Jika anda alami ketuban pecah dengan pendarahan vagina yang ketara, anda perlu berjumpa doktor segera.

Faksa Aktif

Para ibu akan alami contraction yang lebih sakit dan kerap pada fasa kedua iaitu fasa aktif.

Contraction yang dialami akan lebih kuat, lebih sakit dan berlaku setiap 2 hingga 3 minit.

Serviks juga akan membuka dengan lebih pantas sehingga kira-kira 8 cm (3 inci).

Pada waktu ini, kepala bayi juga telah mula menurun ke bawah menghampiri pelvis.

Ada juga para ibu yang pecah ketuban pada fasa ini dan turut disertai dengan tekanan pada bahagian bawah belakang.

Fasa Peralihan

Dalam fasa akhir sebelum bersalin ini, bukaan akan mencapai antara 8cm hingga 10 cm (3-4 inci) iaitu diameter yang diperlukan untuk laluan kepala bayi.

Contraction akan menjadi lebih kuat dan berlaku kira-kira 2 ke 3 minit sekali. Ia juga boleh berlarutan selama 60 saat atau lebih.

Pada tahap ini, kaki para ibu mungkin akan alami kekejangan. Ada juga akan menggigil rasa loya.

Sesetengah wanita juga akan memilih untuk gunakan ubat tahan sakit seperti tranquilizers atau epidural.

Kepala bayi juga akan semakin menurun ke bawah menandakan proses bersalin bakal berlaku.

Pada penghujung fasa ini, bukaan bersalin biasanya akan berada pada tahap maksima iaitu 10 cm.

Laluan kelahiran atau ‘birth canal’ juga akan terbentuk. Ia merupakan laluan bayi dari rahim, serviks dan terus ke vagina.

Seterusnya, para ibu akan lalui proses melahirkan anak dan pengeluaran plasenta sehingga selesai.

Nota : Proses serta tempoh bukaan bersalin mungkin berbeza bergantung kepada individu. Ada yang berlaku dengan pantas dan ada yang memakan masa yang lama.

Petua Untuk Lancarkan Bukaan Bersalin

Untuk lancarkan bukaan bersalin, di sini kami ingin kongsikan beberapa petua yang para ibu boleh ikuti :

Banyakkan Berdiri dan Berjalan

Aktiviti berdiri dan berjalan boleh membantu mempercepatkan proses bukaan serviks kerana semakin banyak anda bergerak, ia boleh menambah tekanan pada rahim akibat berat kandungan.

Anda juga boleh lakukannya dengan mudah di dalam rumah.

Lakukan Urutan Perineum

Sekitar minggu ke-34 hingga 35, para ibu disarankan untuk membuat urutan perlahan di bahagian perineum iaitu kawasan antara bukaan faraj dan dubur.

Dengan melakukannya sebanyak 10 minit sekali dalam sehari, petua ini dipercayai dapat memanjangkan dan melembutkan tisu perineum dengan berkesan.

Makan Kurma

Buah kurma juga sering disyorkan kepada para ibu hamil kerana ia dipercayai membantu dalam meningkatkan kematangan serviks dan mencegah kehilangan darah.

Lakukan Hubungan Seksual

Hubungan seks boleh merangsang rembesan hormon oksitoksin yang turut berperanan dalam kontraksi.

Sementara itu, orgasma ketika hamil boleh membantu mengecutkan rahim sekiranya tubuh sudah bersedia. Air mani juga dikatakan boleh menjadi sumber semula jadi prostaglandin untuk melembutkan serviks.

Meskipun tiada bukti kukuh mengenai petua ini, namun tiada salahnya untuk mencuba sebagai ikhtiar untuk melancarkan bukaan.

Anda juga boleh rujuk kepada doktor untuk mendapatkan nasihat mengenai keselamatan ketika melakukan hubungan seksual ketika hamil.

Amalkan Senaman Squat

Pergerakan mencangkung dalam squat dikatakan dapat membantu meluaskan otot pelvik dan boleh memberikan rasa tenang terhadap otot di kawasan tersebut.

Anda juga boleh gunakan bola angin (gym ball) dan lakukan pergerakan ke depan dan ke belakang sambil duduk secara berulang.

Sumber : emmasdiary.co.uk

Kesimpulannya, bukaan bersalin bukanlah perkara yang perlu ditakuti oleh para ibu. Sebaliknya, kekal tenang dan patuhi arahan doktor dan petugas perubatan.

Jangan lupa untuk turut amalkan petua yang kami kongsikan agar proses bukaan dapat berjalan dengan lebih lancar.

Sumber : Enfagrow, medicinenet.com

Bantu kami share artikel ini: