Bengkak prostat, atau lebih dikenali sebagai ‘Benign prostate enlargement’, adalah keadaan di mana kelenjar prostat membesar secara tidak normal.
Keadaan ini sering berlaku dalam kalangan lelaki berusia 40 tahun ke atas dan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan berkaitan sistem urinari.
Walaupun bukan penyakit berbahaya, bengkak prostat boleh menjejaskan kualiti hidup jika tidak dirawat dengan baik.
Dapatkan rawatan kerana BPE boleh dirawat. Pakar kesihatan akan menentukan kaedah rawatan yang perlu mengikut keterukan gejala, komplikasi, umur dan corak hidup pesakit.
Punca Bengkak Prostat
Terdapat beberapa faktor yang dikaitkan dengan pembengkakan prostat, antaranya:
- Penuaan – Semakin meningkat usia, risiko prostat membesar juga meningkat akibat perubahan hormon dalam badan.
- Perubahan Hormon – Ketidakseimbangan hormon seperti testosteron dan estrogen boleh menyebabkan pertumbuhan sel prostat yang tidak terkawal.
- Faktor Genetik – Jika ahli keluarga pernah mengalami BPH, seseorang lelaki mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat keadaan ini.
- Gaya Hidup – Pemakanan tidak sihat, kurang bersenam, dan obesiti boleh menyumbang kepada pertumbuhan prostat yang berlebihan.
Selain itu, prostat yang membesar boleh menyebabkan penyempitan saluran kencing, menghalang aliran air kencing dan menyebabkan pundi kencing bekerja lebih keras untuk menolak air kencing keluar.
Lama-kelamaan, ini boleh menyebabkan kelemahan dinding pundi kencing dan kesukaran mengosongkannya sepenuhnya.
Gejala Bengkak Prostat
Individu yang mengalami bengkak prostat biasanya mengalami beberapa gejala, termasuk:
- Kerap membuang air kecil, terutama pada waktu malam (nokturia).
- Aliran air kencing lemah atau tersekat-sekat.
- Kesukaran memulakan kencing.
- Rasa tidak puas selepas membuang air kecil.
- Kencing tidak lawas atau mengalami kebocoran air kencing.
- Kesakitan atau ketidakselesaan semasa membuang air kecil.
- Dalam kes tertentu, pesakit mungkin mengalami darah dalam air kencing atau jangkitan saluran kencing akibat air kencing yang tertahan dalam pundi kencing.
Jika gejala ini berlarutan, rawatan segera diperlukan untuk mengelakkan komplikasi yang lebih serius seperti jangkitan saluran kencing, kerosakan buah pinggang, atau kegagalan pundi kencing.
Diagnosis Bengkak Prostat
Untuk mengenal pasti sama ada seseorang mengalami bengkak prostat, doktor akan menjalankan beberapa ujian seperti:
- Pemeriksaan Digital Rektal (DRE) – Doktor akan memeriksa saiz dan tekstur prostat melalui rektum.
- Ujian Air Kencing – Untuk mengenal pasti sebarang jangkitan atau masalah lain dalam sistem urinari.
- Ujian PSA (Prostate-Specific Antigen) – Digunakan untuk mengesan kehadiran protein yang dihasilkan oleh prostat, yang boleh membantu dalam diagnosis kanser prostat.
- Ultrasound atau Imbasan MRI – Digunakan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai saiz prostat dan keadaan sekitarnya.
Artikel berkaitan: 10 Khasiat Tongkat Ali : Herba Semula Jadi untuk Kesihatan Optimum
Rawatan Bengkak Prostat
Rawatan bagi bengkak prostat bergantung kepada tahap keterukan gejala dan keadaan kesihatan individu.
Antara pilihan rawatan yang tersedia termasuk:
1. Perubahan Gaya Hidup
- Mengurangkan pengambilan kafein dan alkohol.
- Mengamalkan diet seimbang dengan lebih banyak serat dan makanan yang kaya dengan zink.
- Mengelakkan minum air dalam jumlah banyak sebelum tidur.
- Kerap bersenam untuk meningkatkan kesihatan keseluruhan.
- Melakukan teknik “double voiding” – membuang air kecil dua kali dengan selang beberapa minit untuk memastikan pundi kencing dikosongkan sepenuhnya.
- Mengelakkan sembelit dengan mengambil makanan tinggi serat kerana sembelit boleh memberi tekanan kepada pundi kencing dan prostat.
2. Ubat-Ubatan
Doktor mungkin akan menetapkan ubat seperti:
- Alpha-blockers – Membantu merehatkan otot dalam prostat dan pundi kencing untuk melancarkan aliran kencing.
- 5-alpha reductase inhibitors – Mengurangkan saiz prostat dengan memperlahankan pertumbuhan sel prostat.
- PDE5-inhibitors – Kadangkala digunakan bersama ubat lain untuk membantu mengurangkan gejala BPH.
- Antikolinergik – Digunakan bagi pesakit yang mengalami pundi kencing terlalu aktif akibat BPH.
3. Prosedur Perubatan
Jika rawatan ubat tidak berkesan, beberapa prosedur perubatan boleh dilakukan, termasuk:
- TURP (Transurethral Resection of the Prostate) – Pembedahan untuk membuang sebahagian daripada prostat yang membesar.
- Laser Therapy – Menggunakan tenaga laser untuk mengurangkan saiz prostat.
- Embolisasi Prostat – Prosedur yang menghalang bekalan darah ke bahagian tertentu prostat bagi mengecilkannya.
- Pembedahan Prostat Terbuka – Digunakan dalam kes yang lebih serius di mana saiz prostat terlalu besar dan kaedah lain tidak berkesan.
Bengkak prostat adalah masalah kesihatan yang biasa dialami oleh lelaki yang semakin berusia.
Walaupun tidak membawa maut, ia boleh menyebabkan ketidakselesaan dan mengganggu kualiti hidup.
Oleh itu, penting bagi lelaki untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko pembengkakan prostat.
Jika mengalami sebarang gejala, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan yang sesuai.
Sumber:
- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Pembengkakan Kelenjar Prostat yang Bukan Merupakan Kanser.” https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/photos/pembengkakan-kelenjar-prostat-yang-bukan-merupakan-kanser-atau-turut-dikenali-se/793532166142122/
- Mayo Clinic. “Benign Prostatic Hyperplasia (BPH).”
- National Health Service (NHS). “Prostate Enlargement.“