Permohonan Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM 2026

permohonan Bantuan Kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Permohonan Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 2026 kini boleh dibuat menerusi sistem eBantuan JKM bagi membantu golongan yang memerlukan meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih sempurna.

Bantuan kewangan ini disediakan khusus untuk kumpulan sasar tertentu dan berfungsi sebagai sokongan dalam aspek pemulihan, pencegahan, pembangunan serta pengintegrasian masyarakat.

Selain itu, pemberian bantuan turut mengambil kira potensi penerima yang masih produktif agar mereka dapat hidup lebih berdikari dan meningkatkan taraf kehidupan pada masa hadapan.

Pengumuman Peruntukan Bantuan Kebajikan

Belanjawan 2026 memperlihatkan peningkatan peruntukan bantuan kebajikan kepada RM3.1 bilion berbanding RM2.9 bilion pada tahun lalu.

Pertambahan peruntukan ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 560,000 penerima bantuan sedia ada, termasuk golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang memerlukan bantuan berterusan demi memastikan kesejahteraan hidup serta sokongan sosial yang lebih baik.

Pengenalan Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (eBantuan JKM)

Perkhidmatan bantuan kewangan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat disediakan kepada kumpulan sasar yang memerlukan supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna.

Secara prinsipnya, di dalam melaksanakan pemberian bantuan kepada rakyat, Kerajaan Malaysia tidak sesekali mengamalkan konsep Negara Kebajikan (Welfare State).

Skim bantuan yang diwujudkan adalah sebagai alat dalam proses menolong klien ke arah pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian, yang merupakan satu kaedah dalam kerja sosial.

Proses pemberian bantuan kebajikan juga mengambil kira potensi yang ada pada setiap penerima bantuan yang masih produktif ke arah hidup berdikari.

Objek Pemberian Bantuan JKM

  • Memenuhi keperluan asas (basic needs) bagi meringankan beban penerima bantuan
  • Alat sokongan sosial (social support tools) untuk menilai kemampuan penerima bantuan ke arah berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan
  • Alat pemulihan (rehabilitation tools) agar penerima bantuan terus kekal tinggal bersama komuniti/masyarakat.
  • Sumber kewangan sementara penerima bantuan meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan hidup

Jenis Bantuan JKM 2026

Terdapat 8 jenis Skim eBantuan JKM yang boleh dimohon berdasarkan kategori kelayakan iaitu:

  1. Bantuan Kanak-Kanak (BKK);
  2. Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU)
  3. Bantuan Orang Kurang Upaya (BTB);
  4. Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar (BPT);
  5. Bantuan Warga Emas (BWE)
  6. Bantuan Am Persekutuan (BA);
  7. Bantuan Anak Pelihara (BAP);
  8. Bantuan Latihan Perantis (BLP);

Pelaksanaan bantuan kebajikan adalah selaras dengan Senarai Bersama (Concurrent List) antara Kerajaan persekutuan dengan Kerajaan Negeri, yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah senarai 3 – jadual kesembilan Senarai Perundangan.

Skim Bantuan Bulanan (eBantuan JKM)

Berikut diterangkan cara permohonan dan pautan untuk setiap bantuan di atas.

#1 Bantuan Kanak-kanak (BKK)

Kadar Bantuan

  • Minimum  sebanyak RM200 sebulan seorang sehingga maksimum sebanyak RM1000 sebulan  mengikut pecahan berikut :
    • RM250 seorang bagi anak berumur 6 tahun & ke bawah;
    • RM200 seorang bagi anak berumur 7 tahun hingga 18 tahun; dan
    • Kadar bantuan maksimum RM1000/keluarga sebulan

Syarat-syarat

  1. Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
  2. Keluarga/ penjaga yang memberi jagaan kepada kanak-kanak dan pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata  Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa;
  3. Kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun dan yang berumur 18 tahun ke atas boleh dipertimbangkan jika bersekolah sehingga tamat menengah atas; ATAU
  4. Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (KPKM).

Baca lagi: Permohonan Bantuan Kanak-kanak (BKK) JKM

#2 Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU)

Kadar Bantuan

  • RM450 sebulan seorang.

Syarat-syarat

  1. Warganegara, bermastautin dan bekerja di Malaysia;
  2. Berumur 16 tahun dan ke atas;
  3. Pemegang kad OKU JKM;
  4. Pendapatan bulanan RM 1,700.00  dan ke bawah; ATAU
  5. Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM

Maklumat lanjut tentang Bantuan Bulanan JKM : https://www.jkm.gov.my/main/article/bantuan-bulanan

#3 Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB)

Kadar Bantuan

RM300 seorang sebulan.

Syarat-syarat

  1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia.
  2. Berumur 16 tahun sehingga 59 tahun;
  3. Pemegang kad OKU yang berdaftar dengan JKM;
  4. Tidak berupaya bekerja berdasarkan faktor-faktor berikut:
    • Kefungsian yang terhad dari segi fizikal, mental, intelektual atau deria dalam melakukan sesuatu pekerjaan; atau
    • Persekitaran yang menghalang pemohon untuk akses kepada pekerjaan;
  5. Pemohon bukan penghuni / pelatih institusi kendalian JKM; atau Pusat Jagaan Harian / Berkediaman (yang menerima Geran Rangsum); dan menyediakan perkhidmatan / kemudahan secara percuma atau Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK);
  6. Pengesahan ketidakupayaan pemohon untuk bekerja perlu diperolehi daripada Pakar / Pegawai Perubatan / Pengesahan Pakar Psikiatri Kerajaan/ Swasta yang berdaftar bagi kes OKU Mental; atau dalam keadaan tertentu memadai dengan pengesahan Pegawai JKM dan direkodkan dalam laporan siasatan; (Contoh pengesahan kategori OKU Fizikal ketara seperti kudung dan lain-lain yang bersesuaian);
  7. Pendapatan bulanan individu OKU tidak melebihi kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa.

Maklumat lanjut tentang Bantuan Bulanan JKM : https://www.jkm.gov.my/main/article/bantuan-bulanan

#4 Bantuan Penjagaan OKU Terlantar / Pesakit Kronik Terlantar (BPT)

Kadar Bantuan

RM500 sebulan seorang.

Syarat-syarat

  1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
  2. Pemohon adalah penjaga yang memberikan penjagaan rapi kepada OKU terlantar/ Pesakit kronik terlantar; atau
  3. Pesakit kronik tidak terlantar yang memerlukan rawatan berterusan [tempoh minimum sekurang-kurangnya tiga (3) bulan] layak dipertimbangkan atas nama pesakit sendiri; atau
  4. Sekiranya OKU terlantar/ Pesakit kronik terlantar tidak mempunyai penjaga atau yang penjaganya bukan warganegara Malaysia, bantuan boleh diberikan ke atas nama pesakit sendiri; dan
  5. Pendapatan bulanan isi rumah tidak melebihi RM5,000.00 sebulan.

Maklumat lanjut tentang Bantuan Bulanan JKM : https://www.jkm.gov.my/main/article/bantuan-bulanan

#5 Bantuan Warga Emas (BWE)

Kadar Bantuan

  • RM600 sebulan seorang.

Syarat-syarat

  1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
  2. Berumur 60 tahun dan ke atas;
  3. Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa; atau
  4. Warga Emas yang tiada anak (sebatang kara) layak dipertimbangkan bantuan sekiranya tinggal bersama/ menumpang ahli keluarga lain/ penjaga yang mempunyai pendapatan melebihi PGK Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa/ PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa; dan
  5. Warga emas yang bukan tinggal di institusi kendalian JKM atau Pusat jagaan harian/ berkediaman (yang menerima Geran Rangsum) dan memberi kemudahan/ perkhidmatan secara percuma.

Baca lagi: Bantuan Warga Emas RM600 Sebulan (BWE JKM)

#5 Bantuan Persekutuan (BA)

Kadar Bantuan

  • Minimum RM150 sebulan seorang.  Maksimum RM500 sebulan sekeluarga.

Syarat-syarat

  1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Wilayah Persekutuan;
  2. Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Garis Kemiskinan (PGK) Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa;
  3. Golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain;
  4. Faktor-faktor lain yang difikirkan sesuai dengan mengambil kira keadaan ekonomi, kesihatan dan tanggungan pemohon; ATAU
  5. Kes-kes yang melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa atau lain-lain perkara yang munasabah dan berkeperluan, boleh dipertimbang dan diluluskan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/ Labuan (PKMWPKL/WPL).

Maklumat lanjut tentang Bantuan Bulanan JKM : https://www.jkm.gov.my/main/article/bantuan-bulanan

#7 Bantuan Anak Pelihara (BAP)

Kadar Bantuan

  • RM250 sebulan seorang kanak-kanak. Maksimum RM500 sebulan sekeluarga yang memelihara 2 orang kanak-kanak atau lebih.

Syarat-syarat

Keluarga yang sedang memberi jagaan kepada anak/kanak-kanak seperti berikut :- 

  1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
  2. Keluarga yang sedang memberi jagaan kepada kanak-kanak seperti berikut:
    1. Kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun;
    2. Kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu bapa;
    3. Kanak-kanak bukan diambil sebagai anak angkat menerusi Akta Pengangkatan 1952 [Akta 257] atau Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 [Akta 253] atau Ordinan Pengangkatan Sabah 1960 atau Native Adoption Regulations 1961 atau Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024; Ordinan Pengangkatan Sarawak [Cap.91] atau mana-mana undang-undang negeri yang berkaitan; 
    4. Kanak-kanak tinggal bersama dengan keluarga pelihara seperti berikut:
      1. Kanak-kanak yang diambil dari “Program Anak Pelihara” yang dikendalikan oleh JKM; atau
      2. Kanak-kanak yang dipelihara di bawah Perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) mengikut Akta Kanak-Kanak 2001; atau
      3. Kanak-kanak bertaraf warganegara Malaysia yang dijaga oleh waris atau keluarga ganti yang mempunyai pertalian saudara dan berkelayakan.
    5. Kanak-kanak yang tinggal di Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang menyediakan perkhidmatan dan kemudahan secara percuma adalah tidak layak; ATAU
  3. Bagi kes yang berkeperluan, boleh dipertimbangkan dengan kelulusan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri/ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/ Labuan (PKMN/WPKL/WPL) bersama dengan keluarga pelihara melalui:-
    • Kanak-kanak yang diambil dari “Program Anak Pelihara” yang dikendalikan oleh JKM; atau
    • Kanak-kanak yang dipelihara di bawah perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Maklumat lanjut tentang Bantuan Bulanan JKM : https://www.jkm.gov.my/main/article/bantuan-bulanan

#8 Bantuan Latihan Perantis (BLP)

Kadar Bantuan

RM200 sebulan seorang.

Syarat-syarat

  1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
  2. Berumur 16 tahun ke atas hingga 35 tahun mengikut kesesuaian;
  3. Anak-anak penerima bantuan; atau
  4. Bekas pelatih/ bekas penghuni dari institusi kebajikan; atau
  5. Kes-kes seliaan akhlak; atau
  6. Bekas Pelatih Perintah Khidmat Masyarakat; atau
  7. OKU berdaftar yang mempunyai kemampuan untuk mengikuti kemahiran dan latihan yang disediakan; ATAU
  8. Bagi kes yang berkeperluan, boleh dipertimbangkan dengan kelulusan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri/ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/ Labuan (PKMN/WPKL/WPL).

Nota:
Kelulusan berdasarkan tempoh latihan dan maksimum 24 bulan.

Maklumat lanjut tentang Bantuan Bulanan JKM : https://www.jkm.gov.my/main/article/bantuan-bulanan

Cara Permohonan Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Pengendalian permohonan bantuan kewangan dibuat di peringkat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian di seluruh negara.

Setiap permohonan yang didaftarkan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Urusan ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.

BORANG PERMOHONAN MANUAL (PDF)

Untuk memudahkan urusan pentadbiran, pemohon diminta membawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian seperti salinan Kad Pengenalan diri pemohon, salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada), dan lain-lain dokumen yang berkaitan.

Borang permohonan yang berkaitan:

  1. JKM 18 Borang Permohonan Bantuan 
  2. JKM 20 Borang Kaji Semula Bantuan
ebantuan jkm online 2021

BORANG PERMOHONAN ONLINE

Permohonan Bantuan JKM boleh dibuat secara online melalui Portal eBantuan JKM di pautan berikut:

http://ebantuanjkm.jkm.gov.my/

PERHATIAN : Sila hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat mengikut Daerah mana yang dipohon dalam tempoh 14 hari dari permohonan dibuat diatas talian. Kegagalan berbuat demikian sistem akan membatalkan permohonan tersebut secara automatik.

SILA BAWA DOKUMEN TERSEBUT SEMASA HADIR KE PEJABAT:

  1. Salinan MyKad/ Kad Pengenalan Pemohon;
  2. Salinan MyKad /Kad Pengenalan ahli keluarga yang tinggal bersama;
  3. Salinan Kad OKU/ slip pendaftaran sementara OKU;(Jika Kategori OKU)
  4. Salinan penyata pendapatan /surat akuan pendapatan;(jika bekerja sendiri)
  5. Salah satu Bil Utiliti (air/elektik/telefon/astro)
  6. Laporan pegawai perubatan dari hospital/klinik kesihatan kerajaan/swasta (bagi kes OKU tidak bekerja/ terlantar/kronik/alat tiruan)

Maklumat Lanjut Tentang Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk saluran bantuan berikut:

Jabatan Kebajikan Masyarakat
Aras 6, 9-18
No 55, Persiaran Perdana,
Presint 4,
62100 Putrajaya

Soalan Lazim (FAQ) Bantuan Kebajikan Masyarakat JKM 2026

Rujuk soalan lazim penuh Bantuan Kebajikan Masyarakat JKM 2026 di sini: https://www.jkm.gov.my/main/article/soalan-lazim-perkhidmatan-bantuan-kewangan

Adakah penggunaan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Semasa akan berubah sekiranya PGK baharu dikeluarkan oleh pihak Kementerian Ekonomi?

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Semasa akan berubah mengikut kadar PGK baharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi.

Adakah bantuan kewangan JKM layak dipertimbangkan kepada pemohon yang berstatus Pemastautin Tetap (PR)?

Bantuan kewangan JKM tidak layak dipertimbangkan kepada pemohon yang berstatus Pemastautin Tetap (PR). Bantuan kewangan JKM hanya untuk warganegara Malaysia yang bermastautin di Malaysia sahaja.

Adakah pemohon bantuan yang sebatang kara dan tinggal menumpang di rumah orang lain yang berpendapatan melebihi PGK Isi Rumah Semasa layak dipertimbangkan Bantuan JKM?

Layak dipertimbangkan berdasarkan siasatan dan justifikasi yang kukuh seperti menumpang di rumah orang lain bagi membolehkan pemohon tersebut terus tinggal dalam komuniti.

Adakah penyata pendapatan/ surat pengesahan pendapatan/ surat akuan pendapatan bagi setiap setiap ahli isi perlu dikemukakan bagi setiap permohonan bantuan?

Hanya skim bantuan BKK/ BWE/ BA/ BPT yang mengguna pakai Pendapatan Isi Rumah sebagai salah satu syarat kelayakan bantuan sahaja yang perlu mengemukakan penyata pendapatan/ surat pengesahan pendapatan/ surat akuan pendapatan bagi setiap ahli isi rumah manakala bagi skim bantuan yang mengguna pakai Pendapatan Perkapita sebagai salah satu syarat kelayakan (EPOKU/ BTB) hanya perlu mengemukakan maklumat pendapatan pemohon sahaja.

Adakah kanak-kanak berumur 18 tahun ke atas (mengikut tahun kelahiran) semasa permohonan layak diambil kira dalam kiraan kadar BKK?

Tidak layak diambil kira dalam pengiraan kadar BKK kerana melepasi syarat had umur yang ditetapkan.

Adakah kanak-kanak yang berumur dibawah 18 tahun tetapi tidak bersekolah boleh diambil kira dalam penentuan kadar BKK?

Boleh. Kanak-kanak berumur dibawah 18 tahun tetapi tidak bersekolah boleh diambil kira dalam penentuan kadar BKK kerana tujuan BKK adalah memastikan kanak-kanak untuk terus tinggal bersama keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup tanpa menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan kanak- kanak. Namun begitu, isu kanak-kanak tidak bersekolah perlu diselesaikan melalui intervensi kerja kes dan perkhidmatan kaunseling.

Adakah warga emas berumur 60 tahun (mengikut tahun kelahiran) semasa permohonan layak dipertimbangkan BWE?

Layak dipertimbangkan BWE sekiranya mematuhi syarat-syarat BWE yang ditetapkan.

Adakah warga emas yang tinggal di Pusat Jagaan Harian/ Berkediaman boleh dipertimbangkan BWE?

Warga emas yang tinggal di Pusat Jagaan Harian/ Berkediaman berbayar layak dipertimbangkan BWE sekiranya pusat tersebut tidak menerima geran rangsum daripada JKM dan menyediakan perkhidmatan/ kemudahan BERBAYAR.

Bagi warga emas yang tinggal di Pusat Jagaan Harian/ Berkediaman yang menyediakan perkhidmatan secara percuma, BWE tidak layak dipertimbangkan.

Adakah warga emas yang yang tinggal bersama anak kandung layak dipertimbangkan BWE?

Layak dipertimbangkan sekiranya pendapatan isi rumah anak tidak melebihi syarat PGK/ Perkapita semasa serta pendapatan anak tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan keluarga.

Adakah BPT di bawah kategori pesakit kronik tidak terlantar boleh dipertimbangkan atas nama penjaga?

Tidak boleh. BPT di bawah kategori ini perlu dipertimbangkan atas nama pesakit sendiri KECUALI bagi kes kanak-kanak/ OKU mental yang tidak boleh membuka akaun bank atas nama sendiri.

Adakah kadar bantuan BPT ditentukan berdasarkan perkiraan bilangan OKU terlantar atau pesakit kronik terlantar yang dijaga?

Kadar BPT ditentukan mengikut bilangan OKU terlantar atau pesakit kronik terlantar yang dijaga iaitu sebanyak RM500.00 seorang.

Adakah penerima BTB yang telah mencapai umur 60 tahun (mengikut tahun kelahiran) akan ditamatkan secara automatik di dalam Sistem eBantuanJKM?

Tidak. Pegawai kes perlu membuat penamatan semasa membuat pemantauan kes pada tahun berkenaan. Penerima tersebut boleh dipertimbangkan bantuan di bawah skim bantuan lain sekiranya berkelayakan mengikut syarat yang ditetapkan.

Adakah had pendapatan bulanan minimum dan maksimum penerima EPOKU ditetapkan?

Had pendapatan minimum bulanan bagi penerima EPOKU adalah RM100.00 sebulan dan had maksimum adalah berjumlah RM1,700.00 sebulan.

Apakah tujuan Bantuan Latihan Perantis (BLP)?

Tujuan BLP adalah untuk membantu klien Jabatan atau anak-anak penerima bantuan yang tercicir daripada persekolahan dan menganggur serta bekas pelatih atau bekas penghuni institusi kebajikan untuk mendapatkan latihan kemahiran atau latihan sambil bekerja di mana-mana agensi atau syarikat atau mengikuti latihan praktikal (internship) di JKM.

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut