Aturan Kerja Fleksibel: Permohonan & Tanggungjawab Majikan

aturan kerja fleksibel
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah mengeluarkan kenyataan untuk menggalakkan majikan sektor swasta untuk melaksanakan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) di organisasi masing-masing.

Galakan ini dibuat susulan keadaan peningkatan kos tenaga akibat konflik di rantau Asia Barat yang sedang berlaku pada ketika ini.

Maksud Aturan Kerja Fleksibel

Aturan Kerja Fleksibel atau AKF merujuk kepada pengaturan kerja yang memberi keanjalan dari segi waktu kerja, hari bekerja atau tempat kerja.

AKF akan membolehkan seseorang pekerja memohon kepada majikannya untuk mengubah aturan kerja sedia ada yang telah dipersetujui dalam kontrak perkhidmatan atau perjanjian kolektif.

Menerusi aturan di bawah peruntukan Seksyen 60P & 60Q, Akta Kerja 1955 [Akta 265] berkuat kuasa 1 Januari 2023, pekerja dibolehkan:

  • Membuat permohonan AKF
  • Menyesuaikan waktu keria
  • Menukar hari bekeria
  • Menentukan lokasi keria (contoh: bekerja dari rumah)

Keperluan Aturan Kerja Fleksibel

Pada ketika ini, AKF diperlukan untuk:

  • Mengurangkan kebergantungan kepada perjalanan harian dan kos tenaga meningkat
  • Mengurangkan kos pengangkutan dan perbelanjaan harian akibat tekanan kos.
  • Pendekatan kerja yang lebih fleksibel dalam cabaran ekonomi global semasa.
  • Meningkatkan keseimbangan kehidupan bekerja (work life balance).
  • Meningkatkan produktiviti syarikat.
  • Meningkatkan kepuasan dan motivasi pekerja.
  • Menarik minat golongan wanita memasuki pasaran kerja.

Bentuk Aturan Kerja Fleksibel

Terdapat 4 bentuk AKF yang boleh dilakukan iaitu:

  1. Waktu Kerja Fleksibel
  2. Hari Bekerja Fleksibel
  3. Tempat Bekerja Fleksibel
  4. Gabungan mana-mana AKF

Contoh bentuk AKF ini adalah seperti berikut:

i- Waktu Kerja Fleksibel

Contoh 1: Pekerja dibenarkan masuk kerja antara jam 7.00 pagi hingga 10.00 pagi dan pulang antara jam 3.30 hingga 6.30 petang tetapi perlu memenuhi 7.5 jam bekerja sehari.

Contoh 2: Pekerja dibenarkan masuk kerja seawal jam 7.30 pagi dan pulang selewat jam 9.00 malam tetapi perlu memenuhi 45 jam waktu bekerja seminggu.

Contoh 3: Pekerja boleh memilih waktu rehat fleksibel antara 30 minit hingga 1 jam. Pekerja yang memilih waktu rehat yang pendek contohnya 30 minit boleh dibenarkan pulang 30 minit lebih awal.

ii- Hari Bekerja Fleksibel

Contoh 1: Waktu kerja asal adalah hari Isnin hingga Jumaat dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan hari Sabtu dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Majikan dan pekerja bersetuju memendekkan hari bekerja daripada 6 hari seminggu kepada 5 hari seminggu dengan memanjangkan waktu kerja harian daripada 8 jam sehari kepada 9 jam sehari.

Contoh 2: Hari bekerja asal adalah 6 hari seminggu iaitu Isnin hingga Sabtu. Menerusi AKF, majikan boleh membenarkan pekerja untuk memilih mana-mana hari bekerja dalam seminggu dengan syarat mematuhi jumlah waktu kerja mingguan iaitu 45 jam.

iii- Tempat Bekerja Fleksibel

Contoh 1: Majikan membenarkan pekerja bekerja dari rumah mulai hari Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

Contoh 2: Majikan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah selama sebulan bagi menjaga anak yang perlu dikuarantin akibat penyakit berjangkit (contoh: influenza, demam campak dan penyakit tangan,kaki dan mulut)

Contoh 3: Majikan membenarkan aturan kerja hibrid mengikut model 3+2 iaitu tiga hari bekerja di pejabat dan dua hari lagi bekerja dari rumah.

iv- Gabungan mana-mana AKF

Contoh 1: Majikan membenarkan pekerja bekerja dari rumah di mana pekerja dikehendaki bekerja 7.5 jam sehari dengan waktu kerja fleksibel dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 malam.

Contoh 2: Majikan membenarkan pekerja bekerja dari rumah mulai Isnin hingga Jumaat tertakluk tempoh waktu bekerja 45 jam seminggu.

Contoh 3: Majikan membenarkan pekerja bekerja dari rumah di mana pekerja bebas untuk memilih mana-mana hari bekerja dalam seminggu tertakluk kepada 45 jam bekerja seminggu.

Pekerjaan Yang Sesuai

Tidak semua jenis pekerjaan boleh mempraktikkan AKF dan tempat bekerja fleksibel hanya boleh dilaksanakan bagi pekerjaan yang tidak memerlukan kehadiran pekerja secara fizikal sepenuh masa di tempat kerja seperti pereka grafik, pegawai khidmat pelanggan (call centre), pelukis pelan dan pengatur cara komputer.

Untuk jenis pekerjaan yang memerlukan kehadiran sepenuh masa di tempat pekerjaan, ianya tidak sesuai mempraktikkan AKF seperti operator pengeluaran, pengawal keselamatan, pekerja pembersihan dan pencucian dan pemandu bas.

Cara Memohon

Pekeria sektor swasta boleh memohon kepada majikan untuk mengubah waktu, hari, atau lokasi bekerja.

Antara langkah untuk memohon AKF adalah seperti berikut:

  1. Hantar permohonan bertulis kepada majikan.
  2. Nyatakan fleksibiliti yang ingin dimohon.
  3. Majikan wajib beri jawapan bertulis dalam 60 hari.

Tanggungjawab Majikan

Selepas pekerja membuat permohonan, tanggungjawab majikan adalah seperti berikut:

  1. Mempertimbangkan permohonan secara adil.
  2. Menjaga keseimbangan operasi dan kesejahteraan pekerja.
  3. Menyokong budaya kerja progresif.

Soalan Lazim

Apakah yang dimaksudkan dengan Aturan Kerja Fleksibel?

Aturan Kerja Fleksibel atau AKF ialah pengaturan kerja yang memberi keanjalan dari segi waktu kerja, hari bekerja atau tempat kerja.

Apakah akta yang membenarkan AKF dilaksanakan?

Peruntukan Seksyen 60P & 60Q, Akta Kerja 1955 [Akta 265] berkuat kuasa 1 Januari 2023 membolehkan AKF dilaksanakan.

Apakah keperluan untuk melaksanakan AKF pada ketika ini?

– Mengurangkan kebergantungan kepada perjalanan harian dan kos tenaga meningkat
– Mengurangkan kos pengangkutan dan perbelanjaan harian akibat tekanan kos.
– Pendekatan kerja yang lebih fleksibel dalam cabaran ekonomi global semasa.

Apakah bentuk AKF yang boleh dilaksanakan?

1- Waktu Kerja Fleksibel
2- Hari Bekerja Fleksibel
3- Tempat Bekerja Fleksibel
4- Gabungan mana-mana AKF

Bagaimanakah cara untuk memohon AKF kepada majikan?

Permohonan boleh dibuat secara bertulis kepada majikan dengan menyatakan fleksibiliti yang ingin dimohon. Majikan kemudian wajib memberi jawapan bertulis dalam 60 hari.

Apakah tanggungjawab majikan sekiranya pekerja memohon AKF?

Majikan perlu mempertimbangkan permohonan secara adil, menjaga keseimbangan operasi dan kesejahteraan pekerja serta menyokong budaya kerja progresif.

Garis Panduan Aturan Kerja Fleksibel

Garis panduan ini boleh dirujuk menerusi file di bawah:

Info Lanjut

Info lanjut mengenai AKF, sila layari laman web KESUMA iaitu https://www.mohr.gov.my/.

Baca juga: Akta Pekerja Gig (AKTA 872) Malaysia

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut