Mengucapkan salam (Assalamualaikum) adalah satu sunnah dalam Islam. Ia satu ucapan yang ringkas, namun penuh makna.
Ungkapan ini bukan sahaja sekadar salam biasa, tetapi membawa maksud yang mendalam sebagai doa dan harapan kesejahteraan serta rahmat Allah SWT kepada penerimanya.
Berikut dikongsikan mengenai ucapan salam (Assalamualaikum) dengan lebih mendalam.
Maksud Assalamualaikum (ٱلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ)
Dalam Bahasa Arab, Assalamualaikum ditulis sebagai “ٱلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ“.
Ia bermaksud “Salam sejahtera ke atas kamu” atau lebih ringkasnya, “Semoga keselamatan ke atas kamu”.
Ia adalah doa dan harapan agar penerima salam sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Dalam konteks masyarakat Melayu-Islam, penggunaan salam ini menzahirkan adab dan nilai murni dalam pergaulan seharian.
Lafaz Salam Di Dalam Al-Quran
Merujuk perkongsian dalam laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan, antara lafaz “Salam” yang terdapat di dalam al-Quran:
- السلام عليكم
- السلام عليكم ورحمة الله
- السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
BACA JUGA: Dengan Siapa Saya Boleh Bersalam? – JAKIM
Tulisan Assalamualaikum Dalam Jawi
Bahasa Jawi ialah tulisan berasaskan huruf Arab yang digunakan untuk menulis dalam bahasa Melayu. Ia telah wujud sejak abad ke-14 lagi dan memainkan peranan besar dalam perkembangan ilmu dan dakwah di Nusantara.
Dalam tulisan Jawi, Assalamualaikum ditulis sebagai:
السلام عليكم
Tulisan Khat Assalamualaikum
Cara Memberi Salam Dalam Islam
Dalam Islam, memberi salam adalah sunnah yang diajar secara langsung oleh Rasulullah SAW. Kita hendaklah memberi salam dengan adab yang mencerminkan kehalusan akhlak seorang Muslim.
Terdapat satu hadith sahih yang menerangkan susunan atau urutan siapa yang sepatutnya memulakan salam dalam situasi tertentu.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
يُسَلِّمُ الرَّاكِبُ عَلَى الْمَاشِي ، وَالْمَاشِي عَلَى الْقَاعِدِ ، وَالْقَلِيلُ عَلَى الْكَثِيرِ
Maksudnya: “Hendaklah orang yang menaiki kenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan, orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk, dan orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang ramai.” – [Riwayat al-Bukhari: 5765, Muslim: 4019]
Hadith ini menjelaskan bahawa memberi salam adalah satu amalan terpuji yang dianjurkan untuk dimulakan oleh pihak yang dalam keadaan lebih aktif atau lebih sedikit jumlahnya.
Walau bagaimanapun, jika pihak yang sepatutnya memberi salam tidak melakukannya, maka tidak menjadi kesalahan bagi pihak lain untuk memulakan.
Apa yang penting, sunnah ini terus dihidupkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
Cara Menjawab Salam
Berdasarkan firman Allah SWT:
وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا
Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. [al-Nisa’:86]
Merujuk kepada firman Allah SWT ini, jelaslah menunjukkan bahawa kita dituntut untuk menjawab penghormatan atau salam yang diberikan dengan lebih baik atau membalasnya (jawab) sama seperti yang diucapkan itu.
Hukum Mengucapkan dan Menjawab Salam Dalam Islam
Hukum mengucapkan salam adalah sunat muakkad (سُنَّة مُؤَكَّدة), iaitu sunnah yang sangat dituntut oleh Rasulullah SAW.
Walaupun terdapat arahan daripada Baginda SAW untuk menyebarkan dan mengamalkan salam, namun arahan tersebut tidak membawa kepada kewajipan secara mutlak.
Sebaliknya, menjawab salam adalah wajib, sebagaimana yang ditegaskan dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 86:
وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا
Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).” – [Surah al-Nisa’: 86]
Kelebihan dan Perintah Untuk Menyebarkan Salam
HADIS 1:
Salah satu hadith yang sangat jelas tentang kelebihan menyebarkan salam diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-‘As RA, bahawa:
“Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik?”
Baginda menjawab: “Kamu memberi makan, dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan kepada orang yang kamu tidak kenal.” – [Riwayat al-Bukhari: 11, 27, 5767 | Muslim: 56]
Hadith ini membawa mesej yang sangat penting, bahawa salam seharusnya menjadi budaya hidup sesama Muslim, tanpa mengira sama ada kita mengenali individu tersebut atau tidak.
Ini melatih hati untuk bersangka baik dan menyebarkan doa kebaikan kepada semua orang Islam.
HADIS 2:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda bahawa ketika Nabi Adam AS diciptakan, Allah memerintahkannya memberi salam kepada para malaikat:
“Ucapkanlah salam kepada mereka dan dengarlah apa jawapan mereka, kerana ia akan menjadi ucapan salammu dan anak cucumu.”
Nabi Adam mengucapkan: “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ”, lalu para malaikat menjawab: “السَّلَامُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” – [Riwayat al-Bukhari: 5759 | Muslim: 5075]
Ini menunjukkan bahawa salam adalah warisan pertama umat manusia yang menjadi tanda penghormatan sesama makhluk Allah.
HADIS 3:
Hadith berikutnya menunjukkan bahawa menyebarkan salam termasuk dalam tujuh perkara utama yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk mengukuhkan hubungan kemanusiaan:
“Rasulullah SAW memerintahkan kami dengan tujuh perkara: melawat orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang bersin, menolong yang lemah, membantu orang dizalimi, menyebarkan salam, dan menunaikan sumpah.” – [Riwayat al-Bukhari: 5766 | Muslim: 3848]
Daripada tujuh perintah ini, menyebarkan salam termasuk sebagai salah satu amalan yang membina masyarakat yang saling menyokong dan penuh kasih sayang.
HADIS 4:
terdapat satu hadith yang sangat menyentuh hati berkenaan hubungan antara iman, kasih sayang dan salam, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
“Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak akan benar-benar beriman sehingga kamu saling mengasihi. Mahukah aku tunjukkan sesuatu yang jika kamu lakukan, kamu akan saling mengasihi?
“Sebarkanlah salam di antara kalian.” – [Riwayat Muslim: 81]
Hadith ini menegaskan bahawa salam adalah asas kepada hubungan kasih sayang, dan kasih sayang pula adalah syarat penting untuk melayakkan seseorang ke syurga.
BACA JUGA: Salam Jumaat: Contoh Ucapan & Poster Hari Jumaat
–
Wallahu’alam bissawab. Marilah kita sebarkan salam!
Rujukan: Irsyad al-Hadith Siri ke-53: Ucapan Salam : Hadith dan Feqahnya – MUFTI WP