15+ Aktiviti Menarik di Da Nang & Tempat Wajib Dikunjungi + Tips

15+ Aktiviti Menarik di Da Nang, Vietnam
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

15+ Aktiviti Menarik di Da Nang & Tempat Wajib Dikunjungi + Tips

Da Nang adalah sebuah destinasi pelancongan di Vietnam yang cukup popular dalam kalangan pelancong. Ia bukan sekadar sebuah bandar biasa tetapi mempunyai keunikan dan tarikan yang tersendiri.

Da Nang juga merupakan pintu masuk utama ke tempat tarikan terkenal lain seperti Hoi An yang bersejarah dan Hue yang terkenal dengan warisan diraja. 

Dengan kemudahan pengangkutan moden, hotel yang selesa dan infrastruktur pelancongan yang baik, anda tidak perlu risau untuk menerokai Da Nang bersama keluarga mahupun anak-anak kecil.

Berikut dikongsikan senarai aktiviti menarik di Da Nang dan destinasi yang wajib dimasukkan dalam senarai anda.

Inilah masanya untuk mengisi jadual percutian anda dengan aktiviti menarik yang hanya boleh dinikmati di bandar ini. 

Aktiviti Menarik di Da Nang & Tempat Wajib Dikunjungi

1. Berkunjung ke Ba Na Hills

Ba Na Hills adalah salah satu tarikan utama di Da Nang yang tidak boleh dilepaskan. Di sini, anda boleh menerokai pemandangan panoramik pergunungan dengan menaiki kereta kabel yang terpanjang di dunia tau!

Sepanjang perjalanan, anda akan disajikan dengan pemandangan hutan yang menghijau dan udara segar yang menenangkan. Fuh.

Sumber: sun world

Satu lagi, tarikan utama di Ba Na Hills adalah sebuah jambatan pejalan kaki sepanjang 150 meter yang kelihatan seolah-olah disokong oleh dua tangan gergasi yang keluar dari bukit. Jambatan ini dikenali sebagai Jambatan Emas. 

Sumber: GetYourGuide

Selain itu, di sini juga anda boleh meneroka French Village iaitu sebuah replika perkampungan Perancis yang lengkap dengan bangunan-bangunan bergaya Eropah. Setiap sudut di sini sangat sesuai untuk menjadi latar belakang gambar. Nampak macam berada di Eropah!

Sumber: sun world

Untuk menambah lagi keseronokan di Ba Na Hills, anda boleh bermain bermacam-macam jenis permainan dan aktiviti di taman tema Sun World yang ada di sini. 

Jangan lupa juga untuk melawat Vườn Hoa Le Jardin D’Amour, sebuah taman bunga yang indah dengan sembilan taman yang berbeza tema. 

Sumber: Bà Nà Hills – sun world

Dalam satu tempat sahaja, hampir semua benda ada. Bestkan?!

Tips: Datang awal pagi untuk mengelakkan kesesakan dan pastikan anda membawa jaket kerana suhu di kawasan pergunungan memang sejuk.

2. Bersantai di Pantai My Khe

Orang putih kata, “hit the beach when you come to Da Nang!”

Betullah tu, rugi tau kalau tak singgah pantai bila berkunjung ke Da Nang. Bandar ini memang terkenal dengan pantai-pantainya yang memukau, pasir putih yang bersih, dan pemandangan laut biru yang menenangkan.

Sumber: Google Review (Pantai My Khe)

Da Nang adalah ‘syurga’ untuk sesiapa yang sukakan aktiviti air seperti berenang, bersantai di tepi pantai, mahupun mencuba sukan air seperti parasailing dan jet ski.

Antara pantai yang wajib anda kunjungi adalah Pantai My Khe. Pantai ini adalah salah satu pantai tercantik di dunia. Suasana matahari terbenam di sini memang luar biasa indahnya! 

Sumber: Google Review (Pantai My Khe)

Di sepanjang kawasan pantai ini juga terdapat banyak kedai makanan laut yang menawarkan hidangan segar seperti sotong bakar, kerang bakar, dan sup ikan panas yang sedap. Jangan lupa cuba ya!

Tips: Waktu terbaik untuk berkunjung ke pantai adalah pada awal pagi atau petang untuk menikmati cuaca yang nyaman dan pemandangan matahari terbenam.terbit. 

3. Berjalan-jalan di Dragon Bridge

Seterusnya, aktiviti menarik di Da Nang yang anda boleh lakukan adalah berjalan-jalan di Dragon Bridge. 

Dragon Bridge adalah jambatan ikonik Da Nang yang berbentuk naga dan melintasi Sungai Han. Rekaan jambatan ini bukan sahaja unik tetapi juga melambangkan kekuatan serta kemakmuran dalam budaya Vietnam.

Pada waktu malam, jambatan ini dihiasi dengan lampu LED berwarna-warni yang menambah keindahannya. 

Sumber: Vietnamtour.in

Jika anda berkunjung pada hujung minggu atau cuti umum, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan pertunjukan api dan air percuma di jambatan ini.

Setiap malam Sabtu dan Ahad, tepat jam 9 malam, “naga” di Dragon Bridge akan menghembuskan api diikuti semburan air yang memukau. Pertunjukan ini berlangsung selama kira-kira 15 minit. Memang meriah sangat suasana di sekitar jambatan ini pada hujung minggu. 

Jangan lupa bawa kamera dan datang awal terutamanya sekiranya anda hendak melihat pertunjukan tersebut dari dalam kafe atau spot terbaik. 

Tips: 

  • Datang awal sebelum pertunjukkan bermula. 
  • Anda juga boleh menggabungkan lawatan ke Dragon Bridge dengan berjalan-jalan di kawasan sekitarnya yang mempunyai banyak kafe dan restoran untuk menikmati makanan tempatan Vietnam.

5. Membeli-belah di Pasar Han (Han Market)

Pasar Han (Han Market) adalah spot yang memang wajib singgah bagi sesiapa yang ingin merasai suasana membeli-belah tempatan di Da Nang dan melihat budaya harian masyarakat tempatan Vietnam. 

Pasar ini  adalah salah satu pasar tertua dan paling popular di Da Nang. Ia sudah wujud sejak zaman penjajahan Perancis lagi tau dan menjadi salah satu tempat pilihan ramai untuk membeli barangan harian, cenderahati, dan makanan tempatan.

Sumber: VinWonders

Ada banyak jenis barangan menarik yang dijual di sini, seperti pakaian, kain sutera, beg tangan, kasut, dan barangan kraf tangan.

Anda boleh cari cenderahati di sini dengan mudah. Jangan lupa untuk gunakan kemahiran tawar-menawar anda sebaiknya. Inilah masanya untuk membuktikan kemahiran yang ada miliki. Gitu!

Selain itu, Pasar Han juga menawarkan makanan tempatan yang sedap dan murah. Bagi yang bukan Muslim, anda boleh mencuba hidangan seperti banh mi (roti Vietnam), pho (sup mi daging), serta kopi Vietnam yang terkenal dengan aroma yang pekat dan rasa yang unik. 

Untuk yang muslim, tidak semua makanan di pasar ini halal, jadi anda boleh membeli buah-buahan segar seperti mangga, jambu, dan durian Vietnam yang boleh didapati di pasar ini.

Tips: Adalah penting untuk sentiasa bertanya mengenai status halal sebelum memesan makanan di mana-mana tempat di Vietnam. 

>> Banh Mi: Roti Vietnam ini biasanya mengandungi daging babi, jadi jika anda mencari pilihan halal, pastikan untuk bertanya kepada penjual atau cari versi halal di restoran tertentu.

>> Pho: Sup mi ini juga sering menggunakan daging lembu atau ayam, tetapi versi tradisionalnya mungkin tidak halal. Pastikan untuk memesan dari restoran yang disahkan halal jika anda ingin mencuba hidangan ini.

6. Menjelajah Marble Mountains (Gunung Marmar)

Marble Mountains atau Gunung Marmar adalah salah satu tarikan semula jadi yang paling terkenal di Da Nang. 

Terletak kira-kira 9 kilometer dari pusat bandar, Marble Mountains terdiri daripada lima gunung batu kapur yang diberi nama berdasarkan unsur semula jadi iaitu Logam, Kayu, Air, Api, dan Tanah. 

Setiap gunung ini mempunyai gua-gua tersembunyi, kuil purba dan pemandangan yang menakjubkan.

Sumber: Vietnam Tourism

Salah satu aktiviti utama menarik untuk dilakukan di sini ialah meneroka gua-gua dan kuil lama yang terletak di dalam gunung. 

Contohnya, Gua Huyen Khong adalah antara gua yang paling terkenal dengan suasana ‘mistik’ dan cahaya matahari yang menerobos masuk ke gua ini mencipta pemandangan yang sangat memukau. 

Sumber: Vietgoing.com

Cantikkan?

Terdapat juga patung-patung Buddha serta altar sembahan di dalam gua ini yang menambahkan lagi keunikan dan nilai spiritual gua ini. 

Anda juga boleh mendaki ke puncak gunung melalui laluan tangga yang disediakan. Agak mencabar sedikit sejujurnya. 

Tetapi di puncaknya, anda akan dapat menikmati panorama bandar Da Nang, Laut China Selatan, dan kawasan sekeliling yang dipenuhi kehijauan.

Selain itu, kawasan sekitar Marble Mountains juga terkenal dengan kedai kraftangan marmar.

Anda boleh melihat sendiri bagaimana batu marmar diukir menjadi patung-patung seni yang cantik. Jangan lupa bawa pulang cenderahati marmar sebagai kenangan.

Tips: Pakai kasut yang selesa kerana ada banyak tangga untuk didaki.

7. Melawat Muzium Cham

Untuk melengkapkan lagi percutian anda di Vietnam, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Muzium Cham di Da Nang.

Muzium ini sudah lama dibuka, sejak dari tahun 1915 lagi dan mempunyai lebih daripada 3000 artifak yang dipamerkan. Antaranya patung, arca, dan barangan bersejarah yang menggambarkan kehebatan peradaban Champa. 

Sumber: Google Review (Da Nang Museum of Cham Sculpture)

Artifak-artifak yang ada di muzium ini diperoleh daripada pelbagai tapak arkeologi di sekitar Da Nang dan kawasan sekitarnya, terutamanya dari tapak Mỹ Sơn, kawasan kuil Hindu Champa yang terkenal.

Sumber: Google Review (Da Nang Museum of Cham Sculpture)

Bangunan muzium ini direka dengan gaya kolonial Perancis dan dikelilingi oleh taman yang menambahkan lagi ketenangan dan keindahan keseluruhan muzium ini. 

Tips: Muzium ini biasanya mengambil masa sekitar 1-2 jam untuk diterokai sepenuhnya, jadi rancang masa anda dengan baik supaya dapat mengunjungi tempat lain di Da Nang.

8. Mendaki Gunung Son Tra

Aktiviti menarik di Da Nang seterusnya yang tidak boleh anda lepaskan ialah berkunjung ke Gunung Son Tra. Gunung Son Tra, juga dikenali sebagai Monkey Mountain dan terletak hanya kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar. 

Gunung ini menawarkan laluan mendaki yang mencabar tetapi menyeronokkan. Selain itu, anda juga boleh meneroka gunung ini dengan menaiki motosikal atau basikal. 

Sepanjang perjalanan, terdapat banyak viewpoints di mana anda boleh berhenti untuk mengambil gambar pemandangan yang luar biasa.. 

Selain aktiviti pendakian, satu lagi tarikan utama di Gunung Son Tra ialah Pagoda Linh Ung. Pagoda ini terkenal dengan patung Lady Buddha setinggi 67 meter!

Sumber: Vietnam Discovery Travel

Dari pagoda ini, anda boleh menikmati pemandangan panorama bandar Da Nang dan Laut China Selatan.

Gunung Son Tra juga terkenal dengan pantai-pantainya yang cantik, seperti Pantai Bai But dan Pantai Bai Rang.

9. Meneroka Bandar Lama Hoi An

Aktiviti menarik di Da Nang yang anda boleh lakukan seterusnya adalah meneroka Bandar Lama Hoi. Bandar ini merupakan sebuah tapak Warisan Dunia UNESCO. 

Ia terkenal dengan seni bina klasiknya, lorong-lorong sempit yang dipenuhi kedai tradisional, dan suasana malam yang diterangi oleh lampu-lampu tanglung berwarna-warni. Untuk meneroka bandar ini, anda boleh berjalan kaki atau berbasikal. 

Sumber: Klook

Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk mencuba makanan tempatan atau mengikuti kelas membuat tanglung untuk mengisi kunjungan anda. 

Tips: 

  • Anda boleh saksikan pemandangan tanglung yang mempesonakan di sepanjang Sungai Thu Bon. 
  • Jika anda bercadang membeli cenderahati seperti pakaian atau kraftangan, pastikan anda menggunakan kemahiran tawar-menawar anda untuk mendapatkan harga terbaik. 
  • Jangan lupa juga untuk mencuba servis menjahit baju khas Hoi An, di mana pakaian boleh siap dalam masa satu atau dua hari!

10. Menikmati Pemandangan dari Hai Van Pass

Hai Van Pass adalah salah satu laluan gunung yang menawarkan pengalaman unik kepada setiap pengunjung. Destinasi ini memang sangat popular untuk mengambil gambar. Jadi pastikan anda singgah sini tau. 

Sumber: iStock

Terletak di antara Da Nang dan Hue, laluan sepanjang 21 kilometer ini menawarkan panorama luar biasa Laut China Selatan di satu sisi dan gunung-gunung hijau di sisi lain.

Hai Van Pass juga dikenali sebagai “Ocean Cloud Pass” kerana kabus yang sering menyelubungi kawasan ini, menambahkan lagi keindahannya. 

Tips: 

  • Jika anda ingin menaiki motosikal, pastikan anda mempunyai pengalaman memandu di kawasan berbukit kerana jalan di sini agak mencabar dengan selekoh tajam. 
  • Bagi yang kurang berani, anda boleh menyewa kereta atau mengambil pakej pelancongan dengan pemandu. 
  • Elakkan perjalanan semasa hujan untuk keselamatan, dan pilih waktu pagi untuk menikmati cuaca yang lebih baik dan pemandangan yang lebih jelas.

11. Merasai Makanan Jalanan di Con Market

Con Market di Da Nang adalah ‘lubuk’ terbaik yang menjual pelbagai jenis makanan di Da Nang. Bagi mereka yang ingin merasai makanan tempatan Vietnam, tempat ni memang wajib singgah. 

Dengan lebih 2,000 gerai makanan dan kedai, pasar ini menawarkan pelbagai hidangan autentik Vietnam seperti banh xeo (lempeng Vietnam), pho, banh mi, dan pencuci mulut tempatan seperti che. 

Sumber: Google Review (Con Market)

Kebanyakan menu di sini bukan makanan halal, tetapi antara makanan yang berpotensi halal ialah buah-buahan segar, jus segar, dan beberapa jenis pencuci mulut seperti kelapa panggang dengan isi manisan atau kerepek pisang. 

Gerai sayur-sayuran atau makanan laut panggang (tanpa sos yang mencurigakan) juga boleh menjadi pilihan.

Walaubagaimanapun, pastikan anda bertanya kepada penjual tentang bahan yang digunakan atau pilih makanan yang jelas tidak mengandungi daging atau alkohol. 

Tips: 

Untuk Muslim, pasar ini lebih sesuai untuk membeli cenderahati atau menikmati snek ringan seperti buah-buahan dan minuman segar.

12. Cafe Hopping

Di Da Nang, cafe hopping adalah salah satu aktiviti menarik yang tidak boleh dilepaskan, terutama bagi pencinta kopi dan mereka yang sukakan suasana kafe yang unik. 

Anda boleh memulakan hari di Cong Caphe, kafe berkonsep vintaj dengan kopi kelapa ais yang ikonik (wajib cuba!)

Sumber: Pelago

Jika anda pencinta kopi premium, 43 Factory Coffee Roaster adalah pilihan terbaik yang menyediakan biji kopi dari seluruh dunia dalam ruang kafe moden dan minimalis.

Sumber: Sprudge (43 Factory Coffee Roaster)

Untuk pilihan kafe yang santai, Danang Souvenirs & Coffee adalah gabungan kafe dan kedai cenderamata yang sesuai untuk anda lepak, berehat sambil memilih ole-ole untuk dibeli. 

Sementara itu, The Cups Coffee dan The Hideout Cafe pula menawarkan ruang yang selesa untuk bekerja atau bersantai. Terdapat pelbagai menu disediakan seperti kek, pastri, dan kopi Vietnam tradisional.

Kebanyakan kafe-kafe ini terletak di lokasi strategik sekitar bandar, menjadikannya mudah diakses selepas melawat tarikan utama Da Nang.

13. Bersiar-siar di Sekitar Bach Dang St.

Bach Dang Street terletak di sepanjang Sungai Han.  Ia menawarkan pemandangan indah jambatan-jambatan ikonik seperti Dragon Bridge dan Han River Bridge. 

Sepanjang jalan ini, terdapat banyak kafe dan restoran di mana anda boleh berhenti menikmati kopi Vietnam atau mencuba makanan tempatan. 

Sumber: You in Da Nang

Kalau nak pengalaman lain, anda juga boleh menaiki bot pelayaran (cruise) pada waktu malam di Sungai Han untuk menikmati pemandangan bandar ini dari sudut yang berbeza. 

Kadangkala, di sekitar kawasan ini ada persembahan muzik atau aktiviti jalanan yang diadakan bagi menambah lagi kemeriahan suasananya. 

Waktu terbaik untuk berkunjung ke sini bagi merasai suasana kemeriahannya ialah pada hujung minggu, lewat petang sehingga malam. 

14. Danang Cathedral – Pink church

Bagi sesiapa yang berminat dengan sejarah atau ingin melihat reka bentuk bangunan yang unik, anda boleh berkunjung ke Danang Cathedral atau, juga dikenali sebagai Pink Church. Gereja ini terkenal dengan warna merah jambu yang menonjol dan reka bentuk Perancis yang klasik. 

Sumber: Trip Advisor

Dibina pada abad ke-20, gereja ini memberi sentuhan bersejarah dan seni bina Eropah yang klasik di tengah bandar Da Nang.

Walaupun ia berfungsi sebagai tempat ibadat, Danang Cathedral terbuka kepada pengunjung yang ingin melihat keindahan seni bina bangunan ini. 

Dengan menara tinggi yang dapat dilihat dari jauh, gereja ini menjadi latar belakang yang popular untuk bergambar, terutama dengan warna merah jambu yang terang di luarnya.

15. Berseronok & Bermain di Asia Park

Satu lagi aktiviti menarik di Da Nang untuk seisi keluarga ialah, berseronok di Asia Park, sebuah taman tema yang menawarkan pelbagai aktiviti menyeronokkan untuk semua peringkat usia.

Salah satu tarikan utama di sini adalah Sun Wheel, roda Ferris terbesar di Vietnam. Bila naik ni anda boleh lihat pemandangan bandar Da Nang dan sekitarnya.

Sumber: Sun World

Selain itu, Asia Park juga mempunyai kawasan taman tema yang bertemakan budaya Asia, dengan replika bangunan ikonik dari pelbagai negara seperti China, India, dan Thailand.

Taman ini juga mempunyai beberapa kedai makan dan gerai cenderahati yang menjadikannya lokasi yang sesuai untuk bersantai selepas seharian bermain.

16. Kampung Kraf Non Nuoc

Berkunjung ke Kampung Kraf Non Nuoc adalah salah aktiviti yang cukup menarik di Da Nang terutamanya sekiranya anda ingin melihat dan membeli hasil seni serta kraf tangan tempatan. 

Sumber: Da Nang Private Car

Kampung Kraf Non Nuoc ini terletak di kaki pergunungan Gunung Marmar. Kampung ini terkenal dengan dengan seni ukiran batu marmar yang dihasilkan dengan teliti oleh pengukir tempatan.

Di sini, anda boleh melihat sendiri proses ukiran batu marmar yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis patung, hiasan rumah, dan peralatan sembahyang. Setiap hasil ukiran menggambarkan kehalusan seni Vietnam yang diwarisi turun-temurun.

Selain menyaksikan proses pembuatannya, anda juga boleh membeli barangan marmar sebagai cenderamata unik atau hiasan eksklusif untuk rumah anda di samping memberikan sokongan kepada pengusaha tempatan. 

Tempah penginapan, tiket masuk, kereta sewa dan sebagainya melalui KLOOK untuk dapatkan harga terbaik dan penjimatan berganda!

Klook.com

Penutup

Da Nang menawarkan pelbagai tarikan menarik untuk memenuhi minat semua jenis pelancong. Dengan kombinasi keindahan semula jadi, infrastruktur moden, dan budaya yang kaya, bandar ini adalah destinasi yang wajib dilawati sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Jadi, tunggu apa lagi? Masukkan Da Nang dalam senarai destinasi percutian anda yang seterusnya. Tidak kira sama ada anda melancong solo, bersama pasangan, atau keluarga, Da Nang pasti memberikan pengalaman yang luar biasa.

Selamat bercuti!

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut