Kerajaan negeri Sarawak telah memperkenalkan syarikat penerbangan baharunya, AirBorneo, menjadikan Sarawak sebagai negeri pertama di Malaysia yang memiliki syarikat penerbangan sendiri, seperti yang diumumkan pada hari Rabu yang lalu.
Pengumuman ini dibuat susulan perjanjian jual beli yang dimeterai antara kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) bagi menyempurnakan proses pengambilalihan MASwings, yang merupakan anak syarikat Malaysia Airlines.
Baca juga: iPayment – Daftar, Login & Cara Buat Bayaran Online
Sarawak Ambil Alih MASwings
Syarikat penerbangan baharu milik Sarawak, yang diambil alih daripada Maswings Sdn Bhd, akan dikenali sebagai AirBorneo.
Jenama baharu ini diumumkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ketika menyaksikan proses pemindahan syarikat tersebut daripada Malaysia Airlines Group sebentar tadi.
Perjanjian jual beli tersebut telah dimeterai oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki, bagi pihak Kerajaan Sarawak, dan Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, serta Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin.
Dalam ucapannya, Abang Johari menegaskan bahawa kerjasama dengan MAG akan diteruskan selepas pembelian ini bagi memastikan proses peralihan berjalan dengan lancar. Selain itu, kepakaran dan pengalaman mereka akan dimanfaatkan untuk mengurangkan gangguan serta mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi.
Model Hibrid Pastikan Kelangsungan AirBorneo
AirBorneo disarankan mengadaptasi model perniagaan hibrid bagi memastikan kelangsungan jangka panjang dan mengekalkan harga tiket yang berpatutan. Menurut Profesor Dr Evan Lau dari UNIMAS, model ini mampu menyeimbangkan keuntungan dan tambang kompetitif.
Beliau mencadangkan AirBorneo bekerjasama dengan agensi pelancongan, syarikat penerbangan lain, dan kerajaan serantau untuk merancakkan pelancongan Sarawak serta memperkukuh hubungan udara. Selain itu, pembinaan jenama yang kukuh penting untuk meningkatkan daya saing AirBorneo dalam pasaran penerbangan serantau.
Fakta Menarik Tentang AirBorneo
Berikut adalah 4 fakta menarik mengenai AirBorneo:
1. Peralihan Selama 18 Bulan Sebelum Penjenamaan Semula
Selepas termeterainya perjanjian pengambilalihan, AirBorneo akan menjalani tempoh peralihan selama 18 bulan sebelum beroperasi secara rasmi dengan jenama baharu.
Sepanjang tempoh ini, semua aset MASwings, termasuk pesawat dan kakitangan di Sabah, akan dipindahkan ke AirBorneo. Selain itu, syarikat ini juga merancang untuk memperkenalkan pesawat ATR baharu dengan konfigurasi kabin yang lebih moden.
2. Pengembangan Armada Dengan Pesawat Lebih Besar
AirBorneo kini menggunakan pesawat ATR, tetapi kerajaan Sarawak mempunyai kebebasan untuk merundingkan pemerolehan pesawat baharu.
Perancangan sedang dibuat untuk memperkenalkan pesawat jet bagi laluan yang lebih jauh. Selain itu, reka bentuk luar (livery) pesawat akan diubah daripada skema hijau MASwings kepada identiti baharu yang melambangkan Sarawak.
3. Laluan Antarabangsa Akan Ditambah Pada Masa Depan
Walaupun AirBorneo akan terus menyediakan perkhidmatan udara luar bandar (RAS), syarikat ini turut merancang untuk mengembangkan laluan ke peringkat antarabangsa.
Antara destinasi utama yang dikenal pasti ialah Kuala Lumpur, Singapura, dan Jakarta. Khususnya, Jakarta menjadi keutamaan bagi menarik lebih ramai pelancong serta memperkukuhkan potensi pelancongan perubatan di rantau ini.
4. Fokus Laluan Untuk Pertumbuhan Pelancongan dan Ekonomi
Strategi utama AirBorneo adalah untuk meningkatkan pelancongan dan keterhubungan perniagaan di Sarawak.
Premier Sarawak menekankan bahawa syarikat penerbangan ini boleh membantu pertumbuhan ekonomi negeri kerana sambungan udara yang stabil adalah kunci untuk menarik pelaburan, menyokong logistik, dan memperkasa perniagaan tempatan. Dengan adanya syarikat penerbangan sendiri, industri seperti kraf tangan dan e-dagang boleh berkembang ke pasaran antarabangsa dengan lebih efisien.
Baca juga: MyAirline : Notis Terkini, Saluran Aduan Pengguna & Sejarah
Senarai Destinasi Penerbangan AirBorneo
Terdapat 21 destinasi penerbangan AirBorneo yang akan berjalan buat masa ini. Berikut adalah senarai lengkapnya:
- Bakalalan
- Bario
- Bintulu
- Kota Kinabalu
- Kuching
- Labuan
- Lahad Datu
- Lawas
- Limbang
- Long Akah
- Long Banga
- Long Lellang
- Long Seridan
- Marudi
- Miri
- Mukah
- Mulu
- Sandakan
- Sibu
- Tanjung Manis
- Tawau
12 Perkara Perlu Tahu Tentang AirBorneo
1. Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli antara Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG)
2. Kerajaan Sarawak ambil alih MASwings
3. MASwings kini dijenama semula sebagai AirBorneo
4. AirBorneo milik 100% Kerajaan Sarawak
5. AirBorneo akan ambil alih sepenuhnya aset, pesawat dan tenaga kerja MASwings di Sabah dan Sarawak
6. Peralihan sepenuhnya dijangka selesai menjelang akhir tahun 2025
7. Sepanjang tempoh peralihan, MASwings terus beroperasi seperti biasa (dalam Sarawak & Sabah) di bawah bidang kuasa MAG, tanpa gangguan kepada jadual penerbangan
8. Perkhidmatan udara luar bandar (RAS – Rural Air Services) masih jadi keutamaan
9. Subsidi RAS masih diteruskan Kerajaan Persekutuan – RM209 juta diperuntukkan untuk Sabah & Sarawak tahun ini
10. Ada cadangan mengembangkan lagi operasi dan destinasi pada masa depan
11. Perancangan tenaga kerja – keutamaan akan diberikan kepada rakyat Sarawak, namun kepakaran luar akan diambil sekiranya perlu
12. Tahniah anda berjaya baca sampai habis
Sumber:
- Facebook Vanessa Mering
- Sarawak Unveils Full-Service Carrier AirBorneo After Completing MASwings Takeover. The Edge Malaysia
- Model perniagaan hibrid kunci kepada kelangsungan AirBorneo. TV Sarawak