Air Mazi – Perbezaannya Dengan Air Mani & Keperluan Mandi Wajib
Apabila terdapat cecair yang keluar daripada bahagian kemaluan, ramai yang keliru apakah sebenarnya cecair tersebut.
Mengetahui jenis-jenis cecair yang keluar daripada kemaluan adalah sangat penting bagi memastikan kesahihan ibadah yang dilakukan. Salah satu cecair yang perlu kita ambil tahu mengenainya ialah air mazi.
BACA JUGA: Air Selusuh Bahayakan Bayi? 5 Fakta Anda Perlu Tahu
Apa Itu Air Mazi?
Air mazi ialah air yang berwarna putih, halus dan melekit. Air mazi lelaki dan wanita adalah sama. Ciri-cirinya hampir sama seperti air mani.
Mazi keluar semasa bangkitnya permulaan syahwat. Ia keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar. Bahkan, kadang-kadang ia keluar tanpa disedari.
Fungsi
Satu fungsi utama cecair mazi adalah untuk memberikan pelincir semulajadi semasa hubungan seksual.
Ini membantu mengurangkan geseran antara saluran reproduktif lelaki dan wanita, meningkatkan keselesaan, dan mengurangkan kecederaan atau iritasi. Selain itu, ia juga dapat membantu membersihkan saluran kencing daripada sisa-sisa urin sebelum ejakulasi berlaku.
Salah satu peranan pentingnya adalah untuk meningkatkan peluang sperma untuk bertahan dan bergerak ke arah rahim semasa hubungan seksual.
Walaupun cecair mazi tidak mengandungi sperma, ia memainkan peranan yang penting dalam proses fertilisasi dengan menyediakan persekitaran yang sesuai untuk sperma untuk bergerak dengan lancar.
Perlukah Mandi Wajib Apabila Keluar Air Mazi?
Air mazi dikategorikan sebagai najis. Hukumnya membatalkan wudhu. Sekiranya sedang melakukan solat dan pada ketika itu dapat dirasai keluarnya cecair tersebut serta kelihatan tanda-tandanya walaupun sedikit, maka batal solat.
Namun, anda tidak perlu mandi wajib. Ia berbeza dengan air mani.
Berdasarkan hadis riwayat Saidina Ali RA di mana beliau berkata:
كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِى فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ (ص) أَوْ ذُكِرَ لَهُ – فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ (ص) لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ
[Hadis ini adalah sahih diriwayatkan oleh Abu Daud: 1/47, Al-Nasaie: 1/93, Imam Al-Bukhari meriwayatkan maknanya seumpama hadis di atas: 1/105 (no 266), Muslim: 3/212 (no 303)]
Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang sentiasa keluar mazi, aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu lakukan seperti itu, jika kamu melihat mazi maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. Jika kamu mencurahkan air (mani) maka hendaklah kamu mandi.”
Perbezaan Air Mazi dan Air Mani
Dalam bahasa Arab, air mani berasal daripada perkataan ( أمْنَى – يُمْنِيْ), yang bermaksud terpancut.
Air mani dinamakan kerana keadaannya yang keluar dengan cara memancut, warnanya putih dan pekat.
Berdasarkan firman Allah SWT:
خُلِقَ مِنْ مَاءٍ دَافِقٍ
Maksudnya: “Diciptakan manusia dari air mani yang terpancar.
(Surah Al-Tariq: 6)
Cara Mengetahui Keluar Air Mani
1. Merasa kepuasan selepas keluarnya cecair tersebut.
2. Keluarnya cecair itu dengan cara memancut.
3. Cecair ini mempunyai bau seperti tepung yang diuli apabila ia basah atau berbau hanyir seperti bau putih telur jika ia kering.
Perbezaan keduanya adalah seperti berikut:
AIR MAZI | AIR MANI |
Cecair pra-ejakulasi yang keluar sebelum mencapai orgasme. | Cecair yang keluar semasa ejakulasi atau orgasme, |
Jernih | Berwarna keruh |
Licin | Kesat |
Kesimpulan
Kesimpulannya, keperluan mandi wajib atau mandi junub dalam Islam adalah wajib dilakukan apabila seseorang mengeluarkan air mani sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Mandi wajib tidak diperlukan apabila keluar cecair mazi.
RUJUKAN: