Air Ketum : Kesan Salah Guna dan Gejala Ketagihan

Air ketum sering dikatakan sebagai penawar tradisional yang mampu memberi kesegaran serta merta pada tubuh.

Ia juga dikatakan boleh merawat pelbagai penyakit.

Benarkah ketum mampu dijadikan ubat dan boleh memberi kecergasan seperti yang orang war-warkan? Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Sumber : Free Malaysia Today (FMT)

Apa Itu Daun Ketum?

Pokok ketum atau nama saintifiknya Mitragyna speciosa tumbuh dengan banyak di Thailand, negeri-negeri utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia.

Kebanyakan pokok ini ditemui tumbuh secara liar di kawasan hutan serta sekitar kampung. Ia juga hidup subur di kawasan bertanah lembap yang mempunyai kandungan humus yang tinggi.

Pokok ini boleh mencapai ketinggian sehingga 25 meter.

Batangnya berkayu keras dan bercabang dan bahagian yang digunakan daripada pokok ini adalah daunnya.

Kegunaan

Daun ketum sering digunakan secara tradisional bagi mengeluarkan angin dalam badan dan meningkatkan tenaga bagi melakukan kerja berat.

Daun rebusan daun ketum pula dikatakan baik untuk merawat penyakit tertentu seperti sakit belakang, demam, batuk dan penyakit cacing serta penawar bagi diabetes, darah tinggi dan sebagainya.

Namun penggunaan daun ketum ini telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia.

air ketum
Sumber : Berita Harian

Salah Guna Air Ketum dan Kesannya

Air daun ketum sering disalahgunakan oleh segelintir masyarakat terutama penagih dadah kerana bahan psikoaktif mitragynine yang memberi kesan stimulan, sedatif dan euphoria (khayal).

Ini seterusnya menyebabkan ketagihan. Oleh sebab itulah penggunaan ketum di negara kita perlu dikawal.

Kesan Penggunaan Ketum

Pada dos yang rendah, daun ini mungkin boleh memberi kesan rangsangan sehingga seseorang berasa lebih bertenaga.

Namun, apabila daun ketum diambil secara berlebihan, seseorang boleh alami beberapa gejala seperti :

  • Khayal
  • Pening
  • Mengantuk
  • Rasa loya

Sekiranya diambil secara berterusan, ia bukan sahaja boleh mengakibatkan ketagihan, malah ia boleh menyebabkan :

  • Bibir dan kulit kehitaman seperti kesan lebam dan terbakar
  • Kulit menjadi kering
  • Kerap sembelit
  • Berat badan menyusut
  • Hilang selera makan
  • Sukar untuk tidur (insomnia)
  • Hipotiroidosme
  • Kerosakan hati

Gejala Ketagihan

Individu yang mengalami ketagihan akan menunjukkan beberapa gejala seperti :

  • Sengal-sengal sendi
  • Mata dan hidung berair
  • Rasa lemah untuk bekerja
  • Mudah marah
air ketum
Sumber :KKM

Sekiranya diambil pada dos melebihi 15 gram, pengguna akan alami kesan sedatif yang melampau seperti mengantuk dan lali.

Ia juga boleh mengakibatkan ‘stupor’ atau hampir tidak sedarkan diri.

Terdapat juga laporan kejadian sawan selepas mengambil daun ketum sekiranya ia diambil secara melebihi 15 gram.

Disebabkan ia boleh memberi risiko ketagihan dan kemudaratan kepada kesihatan, penggunaan daun ketum telah diharamkan di negara kita.

Bagi anda yang ingin mencari alternatif perubatan bagi mengatasi masalah kesihatan yang dialami, sebaiknya anda dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.

Sumber : myhealth.moh.gov.my, Kementerian Kesihatan Malaysia, pharmacy.moh.gov.my

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!