10 Ayat Surah Al Kahfi – Kelebihan Menghafal & Membacanya

10 Ayat Surah Al Kahfi - Kelebihan Menghafal & Membacanya
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Surah Al-Kahfi adalah salah satu surah di dalam Al Quran yang mempunyai banyak fadhilat. Terdapat banyak kelebihan mengamalkan surah ini khususnya pada hari Jumaat. 

Dalam kalangan umat Islam, surah ini sangat dikenali kerana kisah-kisahnya yang penuh pengajaran. 

Surah Al-Kahfi merupakan surah ke-18 di dalam Al Quran. Surah ini mengandungi 110 ayat dan diklasifikasikan sebagai Surah Makkiyah, bermaksud ia diwahyukan pada awal pengisytiharan kenabian Nabi Muhammad di Mekah.

Berdasarkan sebuah hadis riwayat Muslim, umat Islam digalakkan untuk menghafal 10 ayat pertama Surah Al Kahfi. 

Daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal. – Hadis Riwayat Muslim (1342)

BACA JUGA: Surah Al Kahfi (Teks Rumi, Audio & Terjemahan)

10 Ayat Surah Al Kahfi & Terjemahan Bahasa Melayu

10 Ayat Surah Al Kahfi & Terjemahan Bahasa Melayu
Sumber: JAKIM

AYAT 1:

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ ٱلْكِتَـٰبَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُۥ عِوَجَاۜ١

Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong):

AYAT 2:

قَيِّمًۭا لِّيُنذِرَ بَأْسًۭا شَدِيدًۭا مِّن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًۭا 

(Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.

AYAT 3:

مَّـٰكِثِينَ فِيهِ أَبَدًۭا 

Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.

AYAT 4:

وَيُنذِرَ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱللَّهُ وَلَدًۭا 

Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:” Allah mempunyai anak”.

AYAT 5:

مَّا لَهُم بِهِۦ مِنْ عِلْمٍۢ وَلَا لِـَٔابَآئِهِمْ ۚ كَبُرَتْ كَلِمَةًۭ تَخْرُجُ مِنْ أَفْوَٰهِهِمْ ۚ إِن يَقُولُونَ إِلَّا كَذِبًۭا 

(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.

AYAT 6

فَلَعَلَّكَ بَـٰخِعٌۭ نَّفْسَكَ عَلَىٰٓ ءَاثَـٰرِهِمْ إِن لَّمْ يُؤْمِنُوا۟ بِهَـٰذَا ٱلْحَدِيثِ أَسَفًا 

Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.

AYAT 7

إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى ٱلْأَرْضِ زِينَةًۭ لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا 

Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

AYAT 8

وَإِنَّا لَجَـٰعِلُونَ مَا عَلَيْهَا صَعِيدًۭا جُرُزًا 

Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.

AYAT 9

أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَـٰبَ ٱلْكَهْفِ وَٱلرَّقِيمِ كَانُوا۟ مِنْ ءَايَـٰتِنَا عَجَبًا 

Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?

AYAT 10

إِذْ أَوَى ٱلْفِتْيَةُ إِلَى ٱلْكَهْفِ فَقَالُوا۟ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةًۭ وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًۭا 

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.

Sumber: JAKIM

Bila Perlu Baca Surah Al Kahf?

Membaca surah al-Kahfi pada hari dan juga malam jumaat adalah sunat sebagaimana yang disebutkan oleh imam al-Munawi dalam menukilkan pandangan imam al-Syafi’e.

 Imam al-Munawi menyebutkan,”Hal ini menunjukkan bahawa sunat untuk membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, begitu juga pada malamnya, sebagaimana telah ditunjukkan oleh al-Imam al-Syafi’e.” (Lihat al-Faidh al-Qadir, 6/198)

Kelebihan Hafal 10 Ayat Surah Al Kahfi

Dilindungi daripada fitnah dajjal

Menghafal 10 ayat Surah Al Kahfi memiliki keutamaan yang sangat besar dalam Islam, terutama sebagai perlindungan daripada fitnah Dajjal.

Daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal. – Hadis Riwayat Muslim (1342)

Imam Nawawi juga ada menjelaskan, keistimewaan ayat-ayat ini kerana di dalamnya terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah yang menakjubkan. 

Sesiapa yang merenungi dan menghafalnya dengan ikhlas, tidak akan mudah terpengaruh dengan fitnah dan ujian besar, termasuk fitnah Dajjal. 

Apa itu Fitnah Dajjal?

Fitnah Dajjal merujuk kepada ujian dan penyesatan terbesar yang akan berlaku kepada umat manusia menjelang Hari Kiamat. 

Dajjal atau Al-Masih ad-Dajjal ialah seorang manusia yang akan muncul sebagai pendusta dan nabi palsu. Ia mengaku dirinya sebagai al-Masih dan akhirnya sebagai tuhan dengan tujuan untuk menyesatkan manusia daripada jalan kebenaran.

Menurut hadis sahih, fitnah Dajjal adalah fitnah terbesar sejak penciptaan Nabi Adam AS hingga hari kiamat dan tiada makhluk lain yang fitnahnya lebih dahsyat daripada Dajjal. 

Dajjal akan menampilkan pelbagai keajaiban seperti menurunkan hujan, menghidupkan orang mati dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Ini semua semata-mata untuk memperdaya manusia sehingga ramai yang terpedaya dengan kepalsuannya. 

Untuk mendapatkan perlindungan daripada fitnah dajjal ini, kita bukan sekadar perlu menghafal surah al Kahfi tetapi juga benar-benar menghayati maknanya sebagaimana ditekankan dalam beberapa riwayat. 

Kelebihan Membaca Surah Al Kahfi pada Hari Jumaat

Selain menghafal 10 ayat pertama Surah Al-Kahfi, amalan membaca keseluruhan Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat juga sangat-sangat dianjurkan dalam Islam. 

Amalan ini boleh dijadikan rutin mingguan tetapi yang penuh keberkatan dan limpahan ganjaran daripada Allah SWT.

1. Dipancarkan Cahaya Antara Dua Jumaat

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ

“Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.” –  (HR. Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

10 Ayat Surah Al Kahfi & Terjemahan Bahasa Melayu

2. Cahaya Malam Jumaat Hingga Ke Baitul ‘Atiq

Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa Nabi SAW bersabda:

 مَنْ َقَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ فِيْمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيْقِ

Maksudnya “Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.” – Riwayat al-Darimi (3273). Hadith ini dinilai sahih dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (736)

3. Dilindungi Daripada Fitnah Dajjal

Seperti yang sudah dinyatakan di atas, kelebihan lain bagi sesiapa yang membaca surah al-Kahfi adalah dilindungi daripada fitnah Dajjal. 

Ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Darda’, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-kahfi, dia akan dipelihara daripada Dajjal.”

Riwayat Muslim (809), Abu Dawud (4323), dan Ahmad (27540)

Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam syarahnya, “Dikhususkan awal surah ini kerana terdapat keajaiban dan tanda-tanda, maka sesiapa yang mentadabbur ayatnya maka dia tidak akan terkena fitnah dajjal”. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/93)

4. Cahaya Hari Kiamat Bagi Yang Membaca Keseluruhan Surah

Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من قَرَأَ الْكَهْف كَمَا أنزلت كَانَت لَهُ نورا يَوْم الْقِيَامَة من مقَامه إِلَى مَكَّة وَمن قَرَأَ عشر آيَات من آخرهَا ثمَّ خرج الدَّجَّال لم يَضُرَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi sebagaimana ia diturunkan, maka ia akan menjadi cahaya baginya pada Hari Kiamat – dari tempat berdirinya hingga ke Makkah. Dan sesiapa yang membaca sepuluh ayat terakhirnya, lalu muncul Dajjal, maka Dajjal itu tidak akan mampu memudaratkannya.”

Disebut oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah, dan beliau berkata: Sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim. (Lihat La Tansa fi Yaum al-Jumu’ah, hlm. 13)

Hadis-hadis di atas ini bukan sekadar memberi galakan, tetapi menunjukkan betapa besar ganjaran yang disediakan Allah bagi orang-orang yang beramal dengan surah ini secara konsisten.

Sumber: 

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut