10 Resepi Makanan Pantang Bersalin dan Tips Pemakanan

Sudah menjadi amalan turun temurun bagi kebanyakan kaum ibu di Malaysia untuk mengamalkan makanan pantang bersalin.

Biasanya, para ibu akan dinasihatkan untuk patuhi pantang-larang pemakanan dalam satu tempoh yang dipanggil tempoh berpantang.

Kebanyakan budaya juga mendakwa bahawa tubuh wanita yang ‘rosak’ selepas bersalin perlu dipulihkan semula agar tubuh dapat kembali kepada keadaan asal.

Selain rehat yang mencukupi, pemakanan berkhasiat juga penting agar para ibu dapat kekal sihat dan bertenaga selepas melahirkan anak.

Walau bagaimanapun, tiada kajian saintifik yang membuktikan bahawa makanan tertentu boleh memberikan kemudaratan kepada ibu selepas bersalin.

Para ibu juga perlu tahu yang sebenarnya tiada diet atau makanan pantang bersalin yang khusus.

Yang penting, makanan yang diambil mestilah sihat dan dapat melengkapi nutrisi harian.

Berikut kami ingin kongsikan 10 resepi makanan pantang bersalin untuk dijadikan panduan untuk para ibu.

10 Resepi Makanan Pantang Bersalin

1. Ikan Tenggiri Masak Singgang

makanan pantang bersalin
Sumber : missmurai.my

Bahan-bahan :

  • 1 ½ ulas bawang putih
  • ½ cm kunyit hidup
  • 1 keping isi ikan tenggiri
  • 1 sudu besar air asam jawa atau 1 keping asam gelugur
  • 1 batang serai

Cara Memasak :

  • Cincang halus bawang putih, halia serta lengkuas dan ketukkan serai.
  • Panaskan 1 cawan air di dalam periuk dan masukkan semua bahan.
  • Setelah mendidih, masukkan isi ikan dan perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam.

2. Sup Ayam Lobak Putih

makanan pantang bersalin
Sumber : cookpad.com

Bahan-bahan :

  • ½ ekor ayam
  • 1 batang lobak putih
  • 2-3 ulas bawang putih
  • ½ inci halia
  • 1 paket perencah sup sayur
  • 1 kiub pati ayam

Cara Memasak :

  • Hiriskan bawang putih, bawang merah dan halia.
  • Tumiskan dengan sedikit minyak.
  • Masukkan 3 cawan air, isi ayam dan perencah sup.
  • Setelah air mendidih, masukkan pula kiub ayam dan perasakan hidangan dengan garam dan serbuk lada hitam.
  • Akhir sekali, masukkan lobak putih yang dihiris bulat.

3. Ikan Merah Tumis Bawang

Bahan-bahan :

  • 1 keping isi ikan merah
  • 1 cm halia muda
  • 1-2 ulas bawang putih
  • Serbuk lada hitam

Cara Memasak :

  • Gaulkan isi ikan dengan serbuk lada hiam dan garam dan biarkan ia terperap seketika.
  • Goreng ikan dengan sedikit minyak dan ketepikan.
  • Seterusnya, tumis bawang putih dan halia yang dihiris nipis.
  • Bila sudah naik bau, masukkan isi ikan tadi.
  • Sedia untuk dihidang

4. Kerabu Pegaga

Sumber : freemalaysiatoday.com

Bahan-bahan :

  • 1 mangkuk ulam pegaga (dihiris nipis)
  • 2 biji bawang merah (dihiris nipis)
  • 1 ekor ikan (rebus dan ambil isinya)
  • 1 sudu kecil serbuk lada hitam
  • 2 sudu kecil kerisik
  • 1 biji limau kasturi

Cara Penyediaan :

  • Gaulkan kesemua bahan dan perahkan sebiji limau kasturi.
  • Perasakan dengan sedikit garam dan gula.
  • Sedia untuk dihidang.

5. Daging Rebus Masak Asam

makanan pantang bersalin
Sumber : Elena’s Kitchen
  • 1 mangkuk daging yang dipotong
  • ½ inci halia
  • ½ inci lengkuas
  • 2 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • Sekeping asam keping
  • 1 sudu kecil ketumbar – ditumbuk kasar
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • 2 mangkuk air

Cara Memasak :

  • Tumbuk halia, lengkuas, bawang merah dan bawang putih sehingga lumat.
  • Isikan air di dalam periuk dan rebus daging bersama bahan-bahan yang telah ditumbuk.
  • Seterusnya, masukkan ketumbar dan asam keping.
  • Masak sehingga daging empuk dan perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam.
  • Sedia untuk dihidang.

6. Kari Ikan Tanpa Santan

Sumber : Azian Hasan

Bahan-bahan :

  • 2 keping isi ikan merah/jenahak
  • 2 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • ½ inci halia
  • Kayu manis, bunga lawang dan pelaga
  • 2 sudu besar serbuk kari ikan
  • Air asam jawa
  • Halba
  • Daun kari
  • Air

Cara Penyediaan :

  • Tumbuk bawang putih, halia dan bawang merah sehingga lumat.
  • Tumiskan bahan-bahan yang telah ditumbuk bersama kayu manis, pelaga, halba, bunga lawang dan daun kari.
  • Kemudian, masukkan serbuk kari ikan dan masak sehingga pecah minyak.
  • Masukkan pula air, isi ikan dan air asam jawa.
  • Perasakan dengan garam dan sedia untuk dihidang.

7. Serunding Halia

Sumber : Pa & Ma

Bahan-bahan :

  • Halia
  • Lada hitam yang ditumbuk halus
  • Ikan bilis segenggam (digoreng)
  • Bawang putih (digoreng)
  • Garam

Cara Penyediaan :

  • Sagat halia, perah dan tapis airnya.
  • Goreng halia dengan api sederhana sehingga garing. Kemudian toskan minyak.
  • Gaulkan halia goreng tadi dengan ikan bilis goreng, bawang goreng, lada hitam dan perasakannya dengan garam.
  • Serunding halia boleh dinikmati atau disimpan dalam bekas kedap udara.

8. Sup Tauhu Sawi

Sumber : Sajian Sedap

Bahan-bahan :

  • 2 ikat sayur sawi
  • 2 biji bawang merah
  • 1 biji bawang putih
  • 2 cawan air
  • 2 ketul tauhu

Cara Penyediaan :

  • Tumiskan bawang merah dan bawang putih dengan sedikit minyak
  • Masukkan air dan tauhu dan biarkan tauhu masak sehingga api mendidih.
  • Kemudian, masukkan sawi dan perasakan dengan serbuk lada hitam dan garam.

9. Lempeng Oat

Sumber : allrecipes.com

Bahan-bahan :

  • 1 cawan oat dikisar halus
  • 1 cawan tepung gandum
  • Air

Cara Penyediaan :

  • Campurkan oat dengan tepung gandum dan sebatikannya dengan air sedikit demi sedikit.
  • Pastikan adunan tidak terlalu pekat atau terlalu cair
  • Panaskan non-stick pan dan letak sedikit mentega.
  • Sendukkan adunan ke dalam non-stick pan dan masak hingga kekuningan.
  • Lempeng sedia dihidang bersama madu dan buah-buahan seperti strawberi atau epal.

10. Cencaru Bakar Berempah

makanan pantang bersalin
Sumber : Instagram @cook.n.plate

Bahan-bahan :

  • 1 ekor ikan cencaru
  • 2 biji bawang putih
  • 2 biji bawang merah
  • ½ inci halia
  • ½ inci kunyit
  • 2 sudu besar serbuk kari

Cara Penyediaan :

  • Tumbuk bawang putih, bawang merah, halia dan kunyit sehingga lumat.
  • Campurkan kesemua bahan yang ditumbuk bersama serbuk kari dan lumurkannya pada ikan.
  • Bakar ikan sehingga masak dan sedia untuk dihidang.

Tips Pemakanan Untuk Ibu Berpantang

Cari Alternatif Lain

Mengikut cara pantang orang lama, para ibu mungkin akan memilih untuk mengelak makanan yang dipercayai boleh menyebabkan gatal-gatal terutamanya bagi yang bersalin secara pembedahan.

Antara makanan yang dimaksudkan adalah telur, ikan tongkol, terubuk, keli dan sembilang.

Pada masa yang sama, para ibu tidak boleh bergantung kepada ikan bilis goreng atau ikan kering sahaja semasa berpantang.  

Para ibu boleh gantikannya dengan sumber protein lain seperti ikan merah, selar atau tenggiri.

Sumber : Facebook Resepi Makanan Pantang

Pengambilan protein yang mencukupi setiap hari adalah penting untuk memulihkan luka akibat bersalin.

Selain itu, protein juga dapat membantu pembentukan tisu-tisu badan serta sel darah merah.

Sama juga dengan ubi-ubian seperti keledek, keladi dan ibu kayu yang dikatakan boleh menggangu perut dan menyebabkan perut kembung.

Sebenarnya, ubi-ubian adalah sumber karbohidrat yang mampu membekalkan tenaga.

Namun, jika para ibu tidak boleh mengambil ubi-ubian semasa pantang, gantikannya dengan sumber karbohidrat lain seperti nasi dan oat.

makanan pantang bersalin
Sumber : Facebook Resepi Makanan Pantang

Minum Air Secukupnya

Kepercayaan ibu berpantang untuk mengehadkan pengambilan air perlu dihentikan.

Air yang mencukupi adalah penting untuk memulihkan kecergasan tubuh, mengawal suhu badan dan mengimbangkan elektolit dalam tubuh.

Selain itu, pengambilan air juga penting bagi ibu yang menyusukan bagi menggantikan air yang digunakan untuk menghasilkan susu ibu.

Oleh itu, ibu berpantang disarankan untuk minum air secukupnya iaitu 6 hingga 8 gelas sehari.

Secara umumnya, makanan pantang bersalin boleh diambil selagi ia tidak memudaratkan ibu dan bayi.

Namun, para ibu dinasihatkan supaya tidak mengamalkan makanan pantang bersalin yang keterlaluan sehingga mengehadkan jumlah pengambilan makanan atau air.

Yang penting, para ibu mestilah amalkan pemakanan berkhasiat dan seimbang agar sentiasa cergas dan sihat semasa berpantang.

Ketika berpantang, ibu juga perlulah peka terhadap perubahan yang berlaku kepada bayi seperti tidak mahu menyusu, tidur tidak normal atau jaundis.

Rujuklah kepada doktor segera bagi mengenalpasti sebarang masalah atau alahan akibat pemakanan yang tidak sesuai ketika berpantang.

Sumber : Pantang Plus, myhealth.gov.my

Baca Juga : 13 Senarai Barang Persediaan Berpantang Untuk Ibu Baru Bersalin

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!