Buah Dabai Borneo: Khasiat, Kandungan Nutrisi & Cara Makan

Buah dabai dikenali sebagai “Sarawak Olive” kerana ia merupakan sejenis buah bermusim di Sarawak.

Buah ini banyak dihasilkan dikawasan Kapit, Sibu, Oya, Song, Mukah, Bintangor, Sarikei iaitu di Bahagian Tengah Sarawak.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan khasiat buah dabai dan cara menyediakan pes dabai untuk kegunaan masakan harian di rumah.

Baca juga:

Apa itu buah dabai

buah dabai
Malaysia Aktif

Buah dabai (Canarium odontophyllum) adalah merupakan buah yang sangat popular dan hanya boleh dijumpai di kepulauan Borneo terutamanya di daerah Kapit dan Sibu, Sarawak. 

Ia sejenis buah bermusim asli yang tumbuh secara semula jadi dan dikenali sebagai “Sarawak Olive” kerana persamaannya dengan buah zaitun.

Pokok dabai tumbuh tegak (sehingga 20 m), bersaiz sederhana dan mempunyai daun menyirip (bentuk tulang daunnya seperti sirip ikan).

Dengan jangka hayat kira-kira 40 tahun, pokok dabai boleh mengeluarkan sehingga 300 kg buah dabai setiap musim, iaitu Mei-Jun dan Disember-Januari bergantung kepada corak cuaca.

Buah dabai mempunyai bujur 3-4 cm panjang, 2.5 cm lebar, dan mempunyai kulit berwarna ungu tua, dan mempunyai kulit berwarna hitam berkilt, isinya berwarna kuning dengan bijinya yang berbentuk bujur.

Ia mempunyai rasa berlemak dan agak tawar. Buah ini biasanya dimakan bersama kicap atau gula setelah direndam selama 15 minit untuk melembutkan isinya sebagai sebahagian daripada snek yang sihat.

Fakta kandungan nutrisi

Buah dabai mempunyai kandungan nutrisi seperti berikut:

  • Tenaga:n339 kcal
  • Protein: 3.8%
  • Lemak: 26.2%
  • Kalium: 810 mg
  • Fosforus: 65 mg
  • Vitamin E: 257 ppm
  • Asid palmatik: 42%
  • Asid linoleik: 35%
  • Asid linolenik: 11%

Komposisi asid lemak mempunyai nisbah tinggi asid lemak tak tepu kepada asid lemak tepu (PUFA:SFA), lebih tinggi daripada nisbah pencegahan penyakit kardiovaskular standard, iaitu 1.0.

Nilai pemakanan dabai yang tinggi, ditambah dengan kandungan asid lemak yang tinggi menunjukkan bahawa buah itu sangat sesuai untuk dipromosikan untuk kegunaan lebih meluas.

Khasiat dan manfaat

Antara khasianya dalam kesihatan adalah seperti berikut:

1. Kaya dengan kandungan antioksidan

Buah dabai kaya dengan kandungan antioksidan seperti antosianin, asid vanilik, asid elagik, apigenin katekin, epikatekin dan sebagainya.

Ini adalah merupakan antara khasiat utama buah dabai. Untuk pengetahuan anda, kulit buah ini mengandungi antioksidan lebih tinggi daripada isinya. 

2. Melancarkan penghadaman

Kandungan serat yang terdapat dalam buah ini sangat bermanfaat untuk kesihatan usus serta membantu melancarkan penghadaman.

Pengambilan buah yang kaya dengan serat tidak larut air akan memudahkan anda untuk membuang air besar (menyebabkan najis lembut) sekaligus mencegah sembelit. 

3. Mengawal paras gula dalam darah

Daun daripada pokok buah ini juga didapati menyumbang kepada paras gula yang lebih rendah apabila diambil secara konsisten.

Individu yang menghidapi diabetes disarankan untuk mengamalkan ekstrak daun pokok dabai agar bacaan gula lebih terkawal.

Walaubagaimanapun, kajian lebih lanjut masih perlu dijalankan bagi mengetahui sejauh mana keberkesanannya. 

4. Kaya dengan pelbagai nutrisi penting

Buah dabai juga mengandungi kalsium, kalium dan magnesium yang tinggi. Kesemua nutrisi ini mempunyai bermanfaat untuk kesihatan tubuh. 

5. Melawan penyakit dan mengurangkan risiko kanser

Kandungan antioksidan tertentu seperti asid elagik berupaya mengurangkan risiko terkena kanser.

Selain itu, ia juga membantu untuk melawan radikal bebas yang menjadi punca pelbagai penyakit.

6. Mencegah penyakit kardiovaskular

Kandungan antosianin yang terdapat dalam buah ini sangat bermanfaat untuk mengekalkan kesihatan jantung. 

7. Menurunkan kolesterol

Minyak yang diekstrak daripada buah ini didapati boleh membantu untuk menurunkan paras kolesterol jahat (LDL) dan trigliserida serta meningkatkan paras kolesterol baik.

Secara tidak langsung, ia mampu mencegah hiperkolesterolemia, penyakit jantung dan juga strok. 

8. Mencegah penyakit berkaitan hati

Kandungan kolesterol yang tinggi boleh memberi kesan kepada organ hati.

Kandungan antioksidan buah ini berupaya menurunkan kadar kolesterol untuk mencegah sebarang penyakit hati. Selain itu, kandungan asid syiringik juga membantu melindungi fungsi hati. 

Produk buah dabai

buah dabai

Dua produk asas dabai yang dikomersialkan adalah jeruk dabai dan pulpa buah sejuk beku. Acar dabai yang diawet dalam garam boleh disimpan selama setahun pada suhu bilik.

Sos pencicah dabai dan pes perasa pula dihasilkan menggunakan jeruk dabai sebagai bahan utama. Sos pencicah adalah penambah rasa yang digunakan sama seperti sos cili, sos tomato, atau sos-sos yang lain.

Pes perencah dabai merupakan perencah pekat sedia digunakan yang boleh digunakan untuk penyediaan pelbagai hidangan seperti nasi goreng dabai yang sangat popular di Sarawak.

Uniknya, ada juga diprodukkan mayonis dabai dan jus dabai sebagai alternatif menarik bagi penggemar mayonis dan minuman buah-buahan.

Cara makan dan masak dabai

Buah dabai sama seperti buah-buahan lain. Ia boleh dimakan begitu sahaja secara mentah. Tetapi sebelum makan, buah in perlu direndam dengan air panas sehingga lembut.

Bila buah sudah lembut, bolehlah dimakan dengan apa-apa hidangan sebagai lauk seperti kari, masak lemak, nasi aruk dan sebagainya.

Bagi anda yang ingin belajar menyediakan pes dabai, berikut kami kongsikan caranya:

  1. Masak sedikit dabai dan keluarkan bijinya.
  2. Seterusnya, panaskan sedikit minyak dalam kuali sehingga panas dan masukkan isi dabai.
  3. Kecilkan api dan hancurkan isi dabai semasa ia masak.
  4. Tambahkan minyak mengikut keperluan untuk elak dabai yang dilenyak dari hangus dan melekat pada kuali.
  5. Lenyekkan dan gaul dabai secara berterusan sehingga menjadi ketulan pes dan berubah warna menjadi merah pekat.
  6. Perasakan dengan garam dan sedikit kicap pekat hitam secukup rasa.
  7. Masak selama 5 minit lagi dan keluarkan dari kuali
  8. Masukkan pes dabai ini dalam balang dan simpan dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama.
  9. Sisa minyak goreng dabai boleh disimpan untuk menggoreng nasi atau sebagainya.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan khasiat buah dabai ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Dabai, Speciality Fruits of Sarawak. MARDI
  2. Canarium odontophyllum Miq. Flora & Fauna Web
Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!