Kes Pertama Varian Baharu Omicron Dikesan Di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan kes pertama varian yang dibimbangi (VOC) Omicron di negara ini, melibatkan seorang pelajar warga asing berusia 19 tahun, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, individu tersebut merupakan seorang pelajar universiti swasta di Ipoh, Perak, dan telah didapati positif COVID-19 pada 19 November lepas, dan telah selesai menjalani kuarantin kendiri pada 29 November lepas.

Beliau berkata, kes itu didapati daripada ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan terhadap 74 sampel positif COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA, antara 11 November hingga 28 November, 2021.

“Hasil daripada ujian PCR Genotyping Assay, satu daripada sampel telah dikesan berkemungkinan besar adalah VOC Omicron. Jujukan genom seterusnya dilaksanakan mendapati keputusan positif bagi varian Omicron pada 2 Disember 2021.

“Kes telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh. Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (Institute for Medical Research – IMR) telah mengesahkan sampel ujian saringan tersebut positif COVID-19 dengan CT Value 26.68, pada 20 November 2021, sebelum jujukan genom mengesahkan ia VOC Omicron pada 2 Disember.

Pengesanan kontak rapat, ujian saringan dan kuarantin wajib, katanya lagi, telah dijalankan ke atas semua penumpang bas dan pemandu iaitu seramai lima orang, dan saringan awal mendapati mereka kesemua negatif.

Dalam pada itu, Khairy berkata, langkah pengesanan awal Omicron dilakukan lebih awal, sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan ia sebagai varian yang dibimbangi (VOC) pada 24 November lagi.

KKM akan terus mempergiatkan usaha untuk meningkatkan jumlah peratusan dos lengkap bagi populasi keseluruhan negara, serta mensasarkan sehingga 75 peratus untuk dos penggalak.

Varian omicron

Baca juga: Cara Pendaftaran Vaksin Dos Penggalak (Booster) Melalui MySejahtera / Walk-In

Apakah Varian Omicron?

Varian Omicron (B.1.1.529) telah diklasifasikan sebagai “varian yang perlu diperhatikan” (VOC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 26 November 2021.

Kajian lanjut masih sedang dijalankan untuk mengetahui perbezaan varian Omicron berbanding varian-varian yang lain.

Menurut BERNAMA, antara ciri varian Omicron yang diketahui setakat ini termasuklah:

  1. Disyaki berkembang semasa jangkitan kronik dalam individu dengan sistem imun rendah
  2. Mempunyai banyak mutasi termasuk 26 hingga 32 mutasi di spike protein
  3. Terdapat 10 mutasi di protein yang melekat kepada ACE2 receptor, membolehkan virus masuk ke dalam sel badan.
  4. Sebagai perbandingan, varian Beta mempunyai 3 mutasi & varian Delta 2 mutasi.
  5. Varian Omicron menular pada kadar lebih pantas.
  6. Berkemungkinan lebih mudah merebak.
  7. Berdasarkan bukti awal, boleh menyebabkan risiko lebih tinggi jangkitan semula (re-infection) berbanding VOC lain.

Sebelum ini juga pengumuman Peralihan dari fasa Pandemik kepada Endemik di Malaysia belum dapat dilakukan ketika ini susulan penemuan varian baharu Omicron di beberapa negara, kata Dato’ Seri Hishammuddin Hussien.

Antara langkah-langkah pencegahan yang disarankan WHO adalah:

  • Mendapatkan vaksin
  • Memakai pelitup muka
  • Sentiasa sanitasi dan basuh tangan
  • Elak tempat sesak
  • Kekalkan penjarakan fizikal
  • Menambah baik pengaliran udara

Baca juga: Tarikh Buka Sekolah KPM Sesi 2022 / 2023

*Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Astro Awani

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!