Adakah anda sering makan ulam raja sebagai hidangan sampingan? Sayuran ini merupakan salah satu ulam-ulaman yang cukup popular di Malaysia.
Ulam dengan nama saintifik Cosmos caudatus ini mempunyai aroma serta rasa yang wangi dan unik.
Ini menjadikan ia sesuai untuk dinikmati bersama nasi campur lebih-lebih lagi pada waktu tengah hari atau malam.
Ia juga sering dipadankan bersama sambal belacan, sambal kelapa atau budu untuk membangkitkan lagi rasanya.
Ulam ini turut menjadi salah satu komponen penting dalam hidangan seperti laksa, nasi ulam dan nasi kerabu.
Di sebalik kesegaran dan keenakan ulam ini, apakah khasiat yang terkandung padanya? Adakah cara lain untuk nikmati ulam ini selain dimakan mentah? Ayuh ikuti perkongsian daripada kami.
Kandungan Nutrisi
Berikut merupakan kandungan nutrisi bagi ulam ini bagi setiap 100 gram :
Kandungan | Jumlah |
Kalori | 18 kcal |
Protein | 2.9 g |
Serat | 1.6 g |
Kalsium | 270 mg |
Fosforus | 37 mg |
Kalium | 426 mg |
Karotena | 3,568 ug |
Zat besi | 4.6 mg |
Vitamin A | 595 ug |
Vitamin C | 64.6 mg |
Khasiat Ulam Raja Untuk Kesihatan
1. Meningkatkan Fungsi Otak dan Mencegah Demensia
Sebuah kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati bahawa individu yang mengambil kapsul ulam ini telah menunjukkan perubahan yang positif dalam fungsi kognitif otak dan berpotensi mencegah masalah demensia.
Para pengkaji berpendapat ini mungkin disebabkan oleh kandungan flavonoid yang tinggi di dalam ulam ini yang berpotensi untuk terlibat dalam laluan neuroprotektif serta melindungi sel-sel otak.
2. Tinggi Antioksida
Radikal bebas yang berlebihan dalam tubuh boleh mengakibatkan kerosakan sel badan dan mengganggu fungsi otak.
Pengambilan ulam raja yang padat dengan antioksidan khususnya gluthathione didapati mampu menurunkan tahap radikal bebas dan sekaligus membantu melindungi tubuh daripada pelbagai penyakit.
Sebuah kajian daripada Universiti Sains Malaysia juga mendapati ulam ini mempunyai khasiat antioksida yang paling tinggi sekiranya dibandingkan dengan ulam lain seperti daun pegaga, petai, daun selom dan daun kari.
Pada masa yang sama, antioksida juga penting untuk melindungi serta mengekalkan kesihatan mata, kulit dan rambut.
3. Berpotensi Membaiki Mood dan Mengurangkan Stres
Kandungan flavonoid dalam ulam ini juga didapati berpotensi untuk mengurangkan gangguan mood serta mempunyai kesan anti-depresi bagi mengurangkan rasa cemas.
Diet tinggi flavonoid juga dipercayai mampu mencegah depresi dan keradangan sel-sel otak.
4. Baik Untuk Kesihatan Tulang
Dengan kandungan kalsium dan fosforus yang tinggi, ulam ini sangat baik untuk diamalkan bagi mengekalkan ketumpatan serta kesihatan tulang di samping mencegah masalah osteoporosis (tulang reput).
Contoh Resepi Ringkas Ulam Raja Yang Mudah dan Wajib Dicuba
Adakah anda sudah bosan nikmati ulam ini dengan sambal belacan? Sebenarnya terdapat beberapa resepi ringkas yang boleh anda cuba menggunakan ulam raja.
Ayuh kita semak resepinya.
1. Kerabu Ulam Raja
Bahan-bahan :
- 1 ikat daun ulam raja (dihiris halus)
- ½ biji kelapa (ambil santannya)
- 1 inci halia-ditumbuk
- 3-4 batang serai (ditumbuk)
- 10 biji cili Melaka (ditumbuk)
- Udang direbus-ditumbuk sedikit
- 2-3 sudu air asam jawa
- 1 peket kerisik
- ½ inci belacan
- Bawang besar (dihiris nipis)
- Bunga kantan (dihiris)
- Garam, gula dan sedikit serbuk perasa
Cara-cara:
- Masukkan bahan yang sudah ditumbuk, belacan, kerisik dan gaulkannya bersama santan.
- Masukkan pula garam, gula, serbuk perasa dan air asam jawa. Perasakan mengikut citarasa masing-masing.
- Akhir sekali, masukkan daun ulam raja, bunga kantan dan bawang besar. Gaulkan sebati.
2. Urap Ulam Raja
Bahan-bahan :
- 3 ikat ulam raja
- ½ biji kelapa parut putih
- Bahan untuk dikisar halus :
- 1 biji bawang India
- 3 ulas bawang merah kecil
- 150 gram ikan bilis
- 100 gram udang kering
- 5 biji cili merah (boleh tambah jika suka pedas)
- Minyak dan garam
Cara Memasak :
- Panaskan kuali dan masukkan 3 sudu minyak
- Masukkan bahan kisar dan tumiskan sehingga garing.
- Seterusnya, masukkan kelapa parut.
- Gaulkan sampai rata dan taburkan pula 3 cubit garam halus.
- Kemudian, masukkan ulam raja yang telah disiang dan dibasuh.
- Gaulkan sampai rata semua bahan-bahan
- Hidangan sedia untuk dinikmati
Sumber : Facebook Rosmawati Mohamad
3. Ulam Raja Goreng Ikan Bilis
Bahan-bahan :
- 2 ikat ulam raja
- Sejemput ikan bilis
- Cili api (ikut citarasa dan kepedasan)
- 1 labu bawang besar
- 2 ulas bawang putih
- Sedikit kunyit serbuk
Cara-cara :
- Rebus ulam sehingga lembut kemudian perah airnya dan racik anggaran ½ inci.
- Tumbuk cili api, bawang merah dan bawang putih sehingga halus
- Seterusnya, masukkan ikan bilis yang telah dicuci dan tumbuk kasar.
- Tumis semua bahan yang telah ditumbuk sehingga garing dan gaulkan dengan sedikit serbuk kunyit
- Letakkan sedikit garam untuk seimbangkan rasa.
- Akhirnya, masukkan ulam yang telah direbus tadi dan gaulkan kesemua bahan sehingga rata dan sebati.
- Sedia untuk dinikmati.
Tak sangka ulam ini mempunyai pelbagai kandungan vitamin dan mineral yang penting untuk tubuh. Jika bosan nikmati ulam ini dengan nasi dan sambal belacan, sekali sekala anda boleh cuba resepi menarik yang kami kongsikan.
Jangan selalu pula ya, kerana ulam mentah adalah cara terbaik untuk anda dapatkan khasiat secara menyeluruh.
Sumber : Nutritionist KKM, Majalah Sains, MyFCD, Facebook Rosmawati Mohamad, dapurkakjee.com, rasa.my
Baca Juga : Kandungan Nutrisi Dalam Sayur dan Keistimewaannya Mengikut Warna