Tepung pelita merupakan sejenis manisan yang sangat popular di Malaysia, terutamanya pada bulan puasa. Rasanya yang manis berlemak menyebabkan ia disukai pelbagai golong umur, tidak kira tua atau muda.
Jika anda merupakan penggemar kuih ini dan ingin mempelajari cara membuatnya, pastikan anda terus bersama kami sehingga ke penghujung artikel ini. Kami akan kongsikan kepada anda resipi tepung pelita yang pasti jadi.
Apa itu Tepung Pelita?
Tepung pelita atau kuih pelita merupakan sejenis kuih tradisional yang berasal dari negara kita, Malaysia. Kuih ini merupakan kuih yang sangat digemari masyarakat di Malaysia dan selalunya menjadi hidangan utama di bulan Ramadan.
Tepung pelita ini pada asasnya ia dibuat daripada santan dan tepung beras dan dimasak dalam bekas yang diperbuat dari daun pisang. Ditengah-tengahnya pula diisi dengan air gula yang menjadikannya rasa lemak manis.
Kuih ini berwarna putih dan hijau. Warna putih diperoleh daripada warna santan, manakala warna hijau pula adalah dari daun pandan. Secara tradisionalnya ia disediakan menggunakan daun pisang. Namun, kebanyakkan peniaga sekarang lebih memilih untuk menggunakan bekas plastik kerana ia lebih mudah untuk dihasilkan.
Resipi Kuih Pelita
Bagi anda yang ingin belajar membuat kuih tepung pelita ini, berikut adalah resipi ringkas yang pasti jadi, yang boleh anda ikuti sebagai panduan anda:
Bahan-bahan:
Berikut adalah bahan-bahan yang perlu anda sediakan bagi membuat kuih pelita ini:
Lapisan Bawah (Hijau)
- 1 cawan tepung beras
- 1 sudu besar air kapur makan
- 4 cawan air daun pandan
- Sedikit pewarna hijau
Lapisan Atas (Putih)
- 2 ½ cawan santan segar
- ½ cawan tepung beras
- ½ sudu kecil garam
Cara-cara Masak:
Berikut merupakan cara masak Tepung Pelita ini:
- Kisar 4-5 helai daun pandan untuk dijadikan air daun pandan secukupnya.
- Satukan kesemua bahan untuk Lapisan Bawah dan masak atas api sehingga sedikit pekat.
- Panaskan periuk pengukus sehingga airnya mendidih.
- Masukkan bekas daun pisang yang telah dibentuk ke dalam pengukus.
- Isikan 1-2 sudu besar gula di atas daun pisang.
- Kemudian tuangkan lapisan hijau yang telah dimasak atas api tadi.
- Kukus selama 15 minit.
- Satukan semua bahan Lapisan Atas dan masak atas dapur sambil dikacau sehingga kelihatan sedikit pekat.
- Tuang ke atas lapisan hijau yang telah dikukus tadi dan kukus lagi selama 10 minit.
- Setelah dikukuskan sejukkan kuih pelita anda. Setelah itu kuih anda sudah pun siap untuk dimakan.
Sumber: AzieKitchen
Tips Penyediaan
Berikut merupakan beberapa tips penyediaan tepung pelita yang boleh anda lakukan sewaktu mencuba resipi di atas nanti:
- Untuk membuat bekas daripada daun pisang anda boleh menggunakan tape atau lidi untuk membantu membentuk daun pisang tersebut.
- Anda boleh membentuk acuan dengan bantuan kotak mancis atau kotak santan saiz kecil bagi memastikan isi kuih tidak akan terkeluar nanti.
- Kalau anda tidak mempunyai daun pisang anda boleh menggunakan bekas plastik sebagai acuan anda.
- Jika anda menggunakan santan kotak campur dengan air
Tepung Pelita vs Kuih Tako vs Kuih Limas
Untuk pengetahuan anda, Tepung Pelita dengan kuih tako dan kuih limas ini tidak banyak bezanya. Ketiga-tiganya mempunyai warna yang sama iaitu putih di bahagian atas dan hijau di bahagian bawah. Ketiga-tiga kuih ini juga akan diletakkan dalam daun pisang.
Namun masih terdapat sedikit perbezaan, dan perbezaan tersebut boleh anda lihat dalam jadual yang kami sediakan di bawah:
Jenis | Tepung yang digunakan | Tekstur | Cara Masak |
Tepung Pelita | Tepung Beras | Lembut dan cair dimulut | Di masak atas api dan dimasukkan dalam bekas daun pisang. |
Kuih Tako | Tepung Jagung | Agar-agar lembut | Di masak atas api dan dimasukkan dalam bekas daun pisang. |
Kuih Limas | Tepung Gandum | Lembut dan cair dimulut | Di kukus dalam balutan daun pisang |
Baca juga: Tepung Kanji: Asal Usul, Khasiat dan Jenama Tepung