20+ Tempat Menarik Di Ipoh, Sesuai Untuk Percutian Santai!
Ipoh adalah merupakan ibu negeri Perak yang dulunya terkenal sebagai bandar perlombongan bijih timah. Kini, ia merupakan salah satu destinasi pelancongan di Malaysia yang mempunyai keunikannya tersendiri.
Sekiranya anda mencari lokasi percutian yang menawarkan pelbagai tarikan, kaya dengan budaya dan sejarah, makanan tempatan yang sedap serta pemandangan indah, Ipoh adalah destinasi yang patut anda terokai. Memang recommended!
Berikut kami kongsikan lebih 20 tempat menarik di Ipoh yang pastinya akan membuat anda jatuh cinta dengan bandar ini.
BACA JUGA: 20+ Tempat Menarik Di Penang, Sesuai Untuk Percutian Keluarga!
20+ Tempat Menarik Di Ipoh, Perak
1. Kellie’s Castle
Kellie’s Castle adalah merupakan sebuah binaan istana yang tidak siap dibina oleh seorang peladang getah Scotland, William Kellie Smith untuk isterinya, Agnes. Dikatakan bahawa istana ini mempunyai cerita misterinya tersendiri. Betul ke tak, wallahualam.
Terletak di Batu Gajah, istana ini menyajikan pemandangan yang mempesonakan dengan seni bina unik yang menggabungkan elemen-elemen gaya Moorish, Indo-Saracenic, dan Romawi.
Ramai yang singgah ke sini untuk mengambil gambar sambil melihat sekeliling istana ini. Memang lawa tau kalau ambil gambar dekat sini. Bahkan, ramai pengantin yang turut menjadikan istana ini sebagai lokasi penggambaran.
Pengunjung juga boleh meneroka bilik-bilik yang belum siap dan menikmati pemandangan indah di sekitar bangunan istana ini.
2. Gua Tempurung
Sekiranya anda sukakan aktiviti mencabar, singgahlah ke Gua Tempurung. Ia merupakan salah satu gua batu kapur terbesar di Semenanjung Malaysia dan telahpun berusia 400 juta tahun!
Gua ini menawarkan pengalaman pengembaraan yang menarik dengan pelbagai laluan penerokaan yang mencabar. Usah risau, terdapat beberapa pakej disediakan yang anda boleh pilih untuk meneroka gua ini.
Anda boleh memilih pakej untuk mengikuti lawatan berpandu yang akan membawa anda menerokai stalaktit dan stalagmit yang menakjubkan serta sungai bawah tanah yang mengagumkan.
3. Taman Rekreasi Gunung Lang
Dengan hanya 15 minit dari bandar utama Ipoh, Taman Rekreasi Gunung Lang adalah pilihan tempat yang tepat untuk anda bersantai sambil berinteraksi dengan alam semula jadi.
Taman ini menyediakan pelbagai kemudahan rekreasi seperti bot pedal, taman permainan dan menara pandang yang menawarkan pemandangan indah seluruh kawasan ini.
Anda juga boleh menaiki bot untuk meronda-ronda di kawasan tasik yang tenang sambil memberi ikan makan.
Bawa anak-anak ke sini memang seronok sangat!
4. Lost World of Tambun
Lost World of Tambun adalah taman tema air dan lokasi hiburan yang sesuai untuk seisi keluarga.
Taman tema ini menawarkan pelbagai tarikan seperti taman air, zoo haiwan peliharaan, taman rekreasi panas, dan tarikan bersejarah yang mencerminkan warisan Tambun.
Tips penting bila datang sini; pakai baju dan kasut yang selesa, bawa baju lebih, pakai sunblock, bawa jajan/bekal makanan dan datang seawal yang mungkin!
Tempah tiket masuk melalui KLOOK di bawah ini untuk harga yang istimewa.
Klook.com5. Pasar Karat Ipoh
Pasar Karat Ipoh, Memory Lane atau lebih dikenali sebagai Pasar Karat Loken adalah syurga bagi penggemar barang antik dan koleksi.
Pasar ni macam ala-ala vibes pasar pagi, tetapi kebanyakan barang dijual ialah barangan klasik dan unik.
Contoh barangan unik yang dijual adalah perhiasan lama, perabot antik, pinggan mangkuk, pakaian vintaj dan sebagainya.
Terdapat juga gerai yang menjual binatang ternakan, pokok bunga, ubatan tradisional serta makanan dan minuman.
Pasar Karat Ipoh ini terletak di sepanjang Jalan Sultan Iskandar dan dibuka bermula pukul enam pagi sehingga satu petang, setiap hari Ahad.
6. Concubine Lane
Concubine Lane atau Lorong Panglima, adalah lorong yang penuh dengan sejarah dan pesona. Ia adalah salah satu tempat menarik di Ipoh yang wajib dikunjungi.
Lorong yang mempunyai ruang terhad ini terletak di tengah-tengah bandar Ipoh. Sekali pandang, macam tak ada apa yang menarik, tapi bila dah masuk tu susah nak keluar!
Lorong ini dipenuhi dengan bangunan warisan berusia lebih dari seratus tahun yang kini telah diubah suai menjadi kedai-kedai unik, kafe, dan gerai makanan.
Nikmati rasa Nasi Ganja yang terkenal , Kopi Putih Ipoh dan pelbagai snek meriah serta makanan jalanan yang boleh didapati di sepanjang Concubine Lane.
Tips penting; Concubine Lane biasanya lebih meriah semasa hujung minggu atau cuti umum dengan lebih banyak gerai dan aktiviti. Walau bagaimanapun, ini juga bermakna lebih ramai pengunjung, jadi datanglah awal untuk mengelakkan kesesakan okay!
7. Menara Jam Peringatan Birch
Untuk mengisi masa percutian anda dengan perkara ilmiah, berkunjunglah ke Menara Jam Peringatan Birch. Ia dibina untuk memperingati J.W.W. Birch, Residen British pertama di Perak.
Pengunjung boleh mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah Perak melalui pameran di sekitar menara.
Menara ini terletak berhampiran dengan Dewan Bandaran Ipoh dan mempunyai reka bentuk yang elegan serta nilai sejarah yang tinggi.
Ia juga terkenal dengan seni bina kolonialnya yang menawan. Jadi, selain menambah pengetahuan sejarah, anda juga boleh menambah koleksi gambar percutian anda di sini.
8. Kuil Sam Poh Tong
Kuil Sam Poh Tong adalah salah satu tempat menarik di Ipoh yang sering menjadi tumpuan ramai. Ia merupakan sebuah kuil gua tertua dan paling terkenal di Ipoh, Perak.
Terletak dalam kawasan perbukitan batu kapur, kuil ini menawarkan suasana yang tenang dan pemandangan yang menakjubkan.
Dibina pada tahun 1912, kuil ini merupakan tempat ibadat bagi penganut agama Buddha dan kini menjadi destinasi pelancongan yang popular di Ipoh.
Di dalam kawasan kuil terdapat taman Jepun yang indah dengan kolam ikan dan lanskap yang menenangkan.
Selain itu, terdapat tangga yang membawa anda ke puncak bukit di belakang kuil, di mana anda dapat menikmati pemandangan panoramik kawasan sekitar.
Sebagai pelawat, pastikan anda menghormati adat dan budaya setempat. Jangan bising atau mengganggu upacara keagamaan yang sedang berlangsung. Ingat ya!
9. Muzium Ho Yan Hor
Rasa macam tak lengkaplah percutian tanpa lawatan ke muzium. Di Ipoh, anda boleh melawat Muzium Ho Yan Hor yang terletak di Jalan Bijeh Timah, Ipoh.
Muzium ini memaparkan sejarah dan warisan teh herba Ho Yan Hor yang terkenal. Ia menyajikan pelbagai pameran mengenai perkembangan teh herba ini serta kisah kejayaan pengasasnya, Dr. Ho Kai Cheong.
Menariknya, di muzium ini, pengunjung boleh mencuba teh herba dan membeli produk-produk Ho Yan Hor sebagai kenang-kenangan.
10. Han Chin Pet Soo
Selain Muzium Ho Yan Hor, anda juga boleh berkunjung ke Muzium Han Chin Pet Soo. Muzium ini terletak di sebuah rumah lama yang dahulunya merupakan kelab eksklusif bagi pelombong bijih timah Hakka.
Muzium ini memaparkan kehidupan dan budaya masyarakat Hakka serta sejarah industri bijih timah di Perak.
Pengunjung boleh menyaksikan pameran-pameran menarik dan mengetahui lebih lanjut mengenai warisan masyarakat Hakka dan perkembangan sosial ekonomi masyarakat Cina di Perak.
Muzium Ho Yan Hor dan Muzium Han Chin Pet Soo ni sebenarnya terletak bersebelahan sahaja. Yang biru tu Muzium Ho Yan Hor, yang bangunan putih pula Muzium Han Chin Pet Soo.
11. Stesen Keretapi Ipoh
Stesen Keretapi Ipoh adalah salah satu bangunan bersejarah yang ikonik di Ipoh. Dibina pada tahun 1935, stesen ini menampilkan seni bina kolonial dengan elemen-elemen seni bina Moorish dan British.
Memang menarik sangat ambil gambar di kawasan stesen ini. Rasa macam berada di luar negara pun iya!
Stesen Keretapi Ipoh sebenarnya adalah sebuah stesen keretapi penting di Perak yang merupakan titik hub utama untuk perkhidmatan kereta api di kawasan tersebut.
Ia bukan sahaja berfungsi sebagai terminal penting bagi perkhidmatan keretapi, tetapi juga mempunyai nilai sejarah yang signifikan sebagai bangunan warisan.
12. Galeri Seni Yasmin Ahmad
Siapa yang tak kenal Yasmin Ahmad kan, seorang pengarah filem terkenal di Malaysia. Bagi memenuhi senarai tempat menarik di Ipoh yang anda ingin kunjungi, singgahlah ke Galeri Seni Yasmin Ahmad.
Galeri tersebut terletak di Jalan Sultan Yussuf dan memaparkan karya-karya seni yang menggambarkan kehidupan dan karya-karya Yasmin Ahmad.
Pengunjung boleh menyaksikan pameran seni, menonton filem-filem Yasmin, dan mengenali lebih lanjut mengenai kehidupannya yang penuh inspirasi. Peminat filem Yasmin Ahmad memang wajib hadirkan diri ke sini!
13. Art of OLDTOWN
Art of OLD TOWN adalah galeri seni luar yang cukup popular di Ipoh. Kewujudan galeri seni luar ini adalah untuk meraikan sejarah dan budaya negeri Perak.
Untuk pengetahuan anda, pihak pengeluar kopi OldTown dengan kerjasama artis jalanan terkenal, Ernest Zacharevic, berjaya menghasilkan lapan mural seni di dinding simen sekitar bandar Ipoh yang juga terletak berdekatan sahaja dengan Concubine Lane.
Selepas berjalan-jalan di Concubine Lane, bolehlah singgah bergambar dengan lukisan mural di dinding yang ada.
14. Kinta Riverfront Walk
Kinta Riverfront Walk adalah kawasan rekreasi yang menyeronokkan untuk seisi keluarga. Ia terletak di sepanjang Sungai Kinta.
Anda boleh menyewa pelbagai jenis basikal, seperti basikal keluarga, basikal 2 orang, basikal 3 orang dan sebagainya, untuk bersiar-siar di seluruh kawasan ini. Selain daripada aktiviti luar, terdapat juga aktiviti dalaman seperti simulator 3D yang baru dibuka.
Apabila malam hari, lampu- lampu LED akan menerangi pokok di sepanjang sungai. Memang lawa!
15. Movie Animation Park Studio
Sekiranya anda bercuti bersama anak-anak, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Movie Animation Park Studios (MAPS) di Ipoh, Perak. Ada Boboiboy, Smurf dan pelbagai lagi. Pasti anak-anak anda melompat kegirangan melihat watak animasi kegemaran mereka di sana!
Movie Animation Park Studio adalah taman tema yang menawarkan pelbagai tarikan yang berasaskan animasi dan filem. Terdapat enam zon bertema dan lebih daripada 40 tarikan di sini.
Anda kena peruntukkan masa seharian untuk berada di sini dan mencuba semua tarikan yang ada sampai puas!
16. Kek Lok Tong
Kek Lok Tong adalah sebuah gua dan kuil yang terletak di Gunung Rapat, Ipoh, Perak. Selain sebagai tempat ibadat, Kek Lok Tong juga lokasi popular dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.
Tempat ini terkenal dengan keindahan formasi batu kapur semula jadi, patung-patung Buddha dan semestinya suasana alam semulajadi yang tenang. Pengunjung juga bersiar-siar di taman yang terletak di luar gua. Taman ini mempunyai tasik kecil, laluan berjalan kaki, dan taman-taman bunga yang cantik.
17. Muzium Geologi
Terletak di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, muzium ini menawarkan pengalaman pembelajaran yang menarik mengenai sejarah geologi dan sumber-sumber mineral di Malaysia.
Terdapat pelbagai pameran yang berkaitan dengan batuan, mineral, fosil, dan pelbagai aspek geologi lain dari seluruh dunia ada di muzium ini. Pengunjung juga boleh menyaksikan pameran-pameran interaktif dan mengambil gambar di sekitar muzium.
Masuk adalah percuma.
18. Pasar Malam Gerbang Malam
Pasar malam yang dikenali sebagai Gerbang Malam adalah pasar malam yang terkenal di Ipoh. Pasar malam ini dibuka setiap malam. Memang happening!
Terdapat pelbagai barangan seperti pakaian, aksesori, makanan dan cenderamata di jual di sini. Kalau nak cari ole-ole, inilah tempatnya.
Jangan lupa ambil kesempatan untuk mencuba makanan tempatan seperti satay, char kway teow, apam balik dan banyak lagi.
BACA JUGA: Senarai Pasar Malam Selangor
19. D.R. Seenivasagam Park
Nak feel-feel macam berada dekat Jepun? Hah, singgahlah di taman ini.
D.R. Seenivasagam Park adalah taman rekreasi yang terletak di pusat bandar Ipoh. Salah satu tarikan utama di taman ini adalah Taman Jepun yang indah.
Luangkan masa untuk berjalan-jalan di sekitar taman ini dan nikmati suasana yang tenang dengan keindahan landskap Jepun.
Terdapat juga tasik buatan, taman permainan, dan trek jogging di taman ini. Adakalanya, terdapat acara khas seperti pasar tani, pameran, atau festival diadakan di taman ini.
20. Thean Chun Coffee Shop
Percutian ke Ipoh anda tidak sempurna tanpa merasai kopi dan teh tradisional di Ipoh. Thean Chun Coffee Shop atau dikenali sebagai Restoran Thean Chun terletak di Jalan Bandar Timah, Ipoh. Kafe ini sering menjadi tumpuan oleh penduduk tempatan dan pelancong.
NOTA: Kafe ini menyajikan makanan tidak halal ya.
21. Platform 9 1/2 Cafe
Kafe yang bertemakan Harry Potter ini terletak di lorong Panglima, atau Concubine Lane. Kafe ini dihias dengan elemen-elemen yang mengingatkan pengunjung kepada dunia sihir Harry Potter.
Ia turut menawarkan pelbagai hidangan seperti minuman, kuih, dan makanan ringan yang diberi nama-nama yang terinspirasi dari dunia Harry Potter.
Jika anda seorang peminat Harry Potter atau hanya ingin merasai suasana kafe yang unik di Ipoh, Platform 9 1/2 Cafe wajib anda kunjungi!
Nak tahu lebih banyak tempat menarik, atau dapatkan tiket masuk dengan harga yang rendah?
Anda boleh lakukan carian menggunakan Klook di bawah ini!
Klook.comPenutup
Ipoh adalah gabungan yang sempurna antara klasik dan moden. Dengan pelbagai tarikan yang menarik, ia merupakan destinasi ideal untuk percutian dalam negara. Setiap tempat menawarkan pengalaman unik yang pasti akan meninggalkan kenangan yang tidak terlupakan.
Tunggu apa lagi, moh lah ke Ipoh!