Telur Puyuh : Perbezaan Nutrisi Dengan Telur Ayam, Manfaat dan Kesan Sampingan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Telur puyuh adalah adalah alternatif kepada telur ayam yang agak popular. Ia boleh dikenali dengan mudah melalui saiznya yang kecil dan tompokan berwarna hitam pada kulitnya.

Jika diikutkan, saiz kuning telur burung puyuh adalah agak besar. Oleh itu, mungkin anda akan dapati rasanya lebih berlemak berbanding telur ayam.

Disebabkan saiznya yang kecil, ia juga lebih cepat dimasak. Ayuh kita semak beberapa manfaat serta nutrisinya.

Sumber : Backyard Poultry

Manfaat

Sumber Lemak Sihat

Telur puyuh juga sesuai untuk dijadikan sumber lemak sihat.

Bermanfaat untuk kesihatan jantung, telur ini mengandungi sehingga 60% lemak tidak tepu dan boleh memberi kesan positif pada tahap kolesterol tubuh.

Menguatkan Sistem Pertahanan Badan

Walaupun kecil, telur ini mengandungi kandungan vitamin A yang tinggi bagi melawan kerosakan sel, jangkitan dan penuaan.

Berpotensi Merawat Alahan

Telur burung juga diperkaya dengan protein ovomucoid yang mempunyai sifat anti-alahan semulajadi.

Ia dilihat berpotensi dalam melawan keradangan, jangkitan serta simptom alahan.

Meningkatkan Metabolisma

Khasiat vitamin B yang tinggi dalam telur ini dapat meningkatkan metabolisma tubuh. Ini seterusnya dapat membantu dalam mengekalkan fungsi organ dan kesihatan tubuh secara menyeluruh.

Baik Untuk Kesihatan Mata

Selain vitamin B, telur kecil ini juga mempunyai khasiat vitamin A yang baik untuk kesihatan mata. Ia juga berperanan dalam mencegah masalah penglihatan termasuk katarak.

Perbezaan Nutrisi Telur Puyuh Dengan Telur Ayam

Walaupun ia sukar dicari, telur yang dikenali sebagai Quail Eggs dalam bahasa Inggeris ini mempunyai ramai penggemarnya.

Segelintir orang turut percaya bahawa telur ini mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding telur ayam.

Adakah dakwaan ini benar?

Selain saiz yang sebesar hanya 1/3 daripada telur ayam, terdapat beberapa perbezaan nutrisi yang boleh dikenalpasti.

Berikut dikongsikan beberapa nutrisi penting yang boleh dibandingkan antara 100 gram telur ayam dan 100 gram telur burung puyuh.

NutrisiTelur Burung Puyuh (kira-kira 10 biji telur)Telur ayam (kira-kira 2 biji telur bersaiz besar)
Kalori158148
Lemak11 gram10 gram
Protein13 gram12 gram
Choline48% daripada keperluan harian61% daripada keperluan harian
Riboflavin61% daripada keperluan harian32% daripada keperluan harian
Vitamin B1266% daripada keperluan harian43% daripada keperluan harian
Zat Besi20% daripada keperluan harian9% daripada keperluan harian
Sumber : Know Your Chickens

Telur puyuh mengandungi kandungan lemak dan protein yang lebih tinggi, dua kali ganda kandungan zat besi dan riboflavin dan kira-kira 1/3 lebih tinggi kandungan vitamin B12 berbanding telur ayam.

Sementara itu, telur ayam mengandungi lebih kandungan choline.

Secara keseluruhan telur bersaiz kecil ini mempunyai khasiat yang tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan telur ayam.

Namun, anda tidak semestinya perlu bergantung kepada telur kecil ini kerana nutrisinya adalah hampir sama.

Tambahan pula harganya lebih mahal dan sukar untuk dicari.

Jadi, tidak salah untuk anda terus mengambil telur ayam sebagai sumber protein harian.  

Kesan Sampingan

Mungkin ramai yang tak tahu sebenarnya telur burung puyuh kebanyakannya tidak melalui proses pempasteuran.

Ini bermakna telur-telur kecil ini tidak dipanaskan untuk membunuh bakteria seperti salmonolla.

Oleh itu, wanita mengandung atau individu dengan masalah sistem imuniti lemah perlulah mengelak daripada makan telur burung puyuh yang mentah atau tidak dimasak sempurna.

Walaupun saiznya kecil, tak sangka rupanya telur burung puyuh mengandungi pelbagai vitamin dan mineral yang penting untuk tubuh.

Ia juga sesuai untuk dijadikan alternatif kepada telur ayam dan protein harian lain.

Sumber : Healthline, WebMD

Baca Juga : Cara Buat Telur Masin dan Tips Penting Yang Anda Perlu Tahu

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut