Tarian Zapin – Sejarah, Jenis, Busana & Keunikan
Tarian Zapin adalah salah satu seni tari tradisional Melayu yang terkenal di Malaysia, khususnya di negeri Johor.
Keindahan gerakannya serta iringan muzik tradisional menjadikan tarian ini sebuah warisan seni yang terus dipelihara hingga ke hari ini.
Jom baca info lebih lanjut mengenai tarian zapin di bawah.
BACA JUGA: Tarian Inang – Sejarah, Keunikan dan Busana
Sejarah Tarian Zapin
Tarian Zapin berasal dari Hadramaut, Yaman, dan diperkenalkan oleh pedagang Arab sekitar abad ke-15 hingga ke-16.
Di dalam dialek Yaman, tarian ini dikenali sebagai Zaffana (Zafn) yang membawa maksud bermaksud pergerakan kaki pantas mengikut rentak.
Tarian ini kemudian berkembang pesat di Johor, yang pada masa itu merupakan pusat perdagangan antarabangsa selepas kejatuhan Melaka. Dari Johor, ia tersebar ke negeri-negeri lain seperti Riau, Singapura, dan Brunei.
Asalnya, hanya golongan lelaki yang menyertai tarian ini. Tapi kini, tarian ini telah dimodifikasi dengan adanya penyertaan daripada golongan wanita juga.
Struktur & Gerakan Tarian
Tarian Zapin mempunyai tiga bahagian utama:
- Taksim – pembukaan.
- Ragam – variasi gerakan.
- Kopak – penutup.
Gerakannya sederhana tetapi penuh makna, melibatkan unsur-unsur Islam seperti kesopanan dan kerjasama. Versi paling asas tarian ini ialah gerakan mengikut alunan muzik dan kiraan 1 2 3 dan 4.
Pada kiraan ke-4 kaki dilunjurkan ke belah kiraan terakhir dibuat. Ia boleh dilakukan setempat atau gerakan ke depan atau ke belakang. Semasa melakukan gerakan, kondisi tubuh penari biasanya dalam keadaan tegak dan agak mendada.
Dalam Zapin tiada peraturan yang tetap dalam menentukan berapa orang penari yang diperlukan untuk membuat persembahan. Namun, oleh kerana penari perlu berinteraksi antara satu sama lain, tarian Zapin digalakkan untuk dilakukan secara berpasangan dalam gandaan 2.
Penari-penari kemudian boleh berinteraksi dengan pasangan masing-masing dengan bergurau,
mencabar atau menikmati alunan muzik dan lenggok tarian pasangan masing-masing.
BACA JUGA: Mandi Bunga – Khasiat Tradisional, Pantang Larang, Hukum Dalam Islam
Alat Muzik & Lagu
Zapin biasanya diiringi oleh beberapa instrumen muzik tradisional dan genre lagunya biasanya genre Samrah.
Terdapat beberapa alat muzik wajib bagi tarian zapin iaitu bedok, gambus, rebana, maruas dan akordion. Alatan muzik yang lain pada masa kini turut digunakan bagi menambah nilai komersial lagu zapin itu sendiri.
Pada asalnya, lagu-lagu yang digunakan sebagai iringan tarian zapin mengandungi unsur keagamaan, terutamanya puji-pujian terhadap Nabi Muhammad S.A.W dan tema-tema berkaitan dengan agama Islam.
Lagu-lagu ini berperanan dalam mengingatkan penonton tentang nilai-nilai murni dan ajaran Islam melalui lirik yang penuh makna dan mendalam.
Namun, seiring dengan perkembangan zaman dan pengaruh budaya luar, lirik-lirik iringan zapin mula beradaptasi dengan tema-tema yang lebih luas, termasuk kisah percintaan, kehidupan seharian masyarakat Melayu, serta elemen-elemen lain yang relevan dengan kehidupan moden.
Penyusunan lirik ini turut dipengaruhi oleh perubahan sosial dan budaya, di mana penari zapin kini lebih bebas untuk mengekspresikan emosi dan pengalaman dalam bentuk yang lebih kontemporari.
Beberapa lagu iringan zapin masa kini juga menggambarkan perjalanan hidup, cerita percintaan, dan kegembiraan atau kesedihan masyarakat Melayu, menjadikannya lebih mudah diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Perubahan ini tidak mengurangkan nilai seni zapin, malah menambah variasi dan keunikan dalam penampilan tarian ini di pentas kebudayaan hari ini.
Jenis-Jenis Zapin di Malaysia
Terdapat banyak bentuk tarian Zapin dan semuanya telah berevoulusi daripada ragam yang asal. Berikut ialah antara jenis-jenis zapin yang ada di Malaysia:
Zapin Johor
Johor merupakan negeri yang paling sinonim dengan Zapin, dengan lebih daripada 16 jenis yang tersebar di seluruh daerah. Berikut ialah beberapa jenis Zapin Johor yang terkenal:
- Zapin Melayu Johor: Zapin ini merupakan versi yang lebih halus dan lembut, menekankan pergerakan kaki yang teratur dan elegan. Ia sering dianggap sebagai bentuk zapin tradisional Johor.
- Zapin Pekajang: Berasal dari Johor Bahru, Zapin Pekajang memiliki gerakan yang rancak tetapi masih mengekalkan elemen tradisional.
- Zapin Tenglu: Ditemui di daerah Mersing, Zapin Tenglu dikenali dengan gerakan yang lebih santai dan melambangkan kehidupan masyarakat pantai.
- Zapin Pulau: Popular di Mersing, Zapin ini menggambarkan elemen kehidupan di pulau dengan pergerakan yang menyerupai aktiviti tradisional seperti memancing dan melayari laut.
- Zapin Kores: Terkenal di Batu Pahat, Zapin Kores menonjolkan rentak muzik yang lebih bertenaga, sesuai untuk majlis keraian.
- Zapin Lapis Batu Putih: Juga berasal dari Batu Pahat, variasi ini memiliki corak pergerakan yang unik dan kerap ditarikan dalam formasi berlapis.
- Zapin Parit Mastar: Zapin ini sering dipersembahkan di daerah Pontian dan terkenal dengan muzik gambus yang rancak.
- Zapin Lenga: Salah satu variasi dari Johor, Zapin Lenga menonjolkan keluwesan gerakan kaki dan tangan dalam rentak yang dinamik.
- Zapin Padang Sari: Variasi ini lebih tertumpu kepada gerakan yang menggambarkan suasana kebersamaan dan keharmonian.
- Zapin Putar Alam: Sebuah variasi yang unik dari Johor, dinamakan demikian kerana pergerakannya yang berpusing seperti menggambarkan putaran dunia.
Zapin di Negeri-Negeri Lain
Selain Johor, negeri-negeri lain di Malaysia turut mempunyai variasi Zapin yang kaya dengan elemen budaya tempatan:
- Zapin Padang Changkat (Perak): Variasi ini berasal dari Padang Changkat, Perak. Gerakannya lebih santai dan sering diiringi alat muzik seperti seruling dan gambus.
- Zapin Gambus (Perak): Zapin ini menonjolkan alat muzik gambus sebagai elemen utama, memberikan suasana muzik yang lebih dominan.
- Zapin Salor (Kelantan): Zapin ini berasal dari Kelantan dan memadukan unsur-unsur tarian Melayu dan pengaruh Timur Tengah, sesuai dengan identiti negeri itu sebagai pusat budaya Islam.
- Zapin Sebat (Sarawak): Di Sarawak, Zapin Sebat mencerminkan gaya hidup masyarakat Melayu tempatan dengan gerakan yang lebih ekspresif dan bertenaga.
- Zapin Ghalit (Kedah): Zapin Ghalit berasal dari Kedah dan memiliki tema koreografi yang lebih bermakna. Ia bercerita mengenai manusia yang sering leka atau “ghalit” dalam kehidupan, dengan gerakan yang menggambarkan keceriaan dan kealpaan.
Busana Penari Zapin
Busana penari Zapin merupakan elemen penting yang mencerminkan identiti budaya Melayu dalam persembahan tarian ini. Pakaian yang digunakan berbeza antara penari lelaki dan wanita:
Penari Lelaki
Busana tarian zapin yang paling sesuai bagi penari lelaki ialah baju Melayu sedondon dan memakai kain samping ikatan berdagang dalam dan memakai songkok.
Dari segi bahan pula, yang paling sesuai digunakan untuk menghasilkan busana ini ialah kain satin, sutera Thai dan kain-kain dengan tekstur atau corak jalur berdiri.
Kain samping digunakan ialah tenunan corak Muar corak melintang atau lain-lain kain songket bertabur atau corak bunga penuh.
Penari Wanita
Busana penari wanita pula ialah Baju Kurung Telok Belanga bercorak atau kosong yang dipadankan dengan kain songket corak tapak catur atau bunga penuh.
Selain itu, kelengkapan lain yang digunakan juga ialah kain songket diikat berdagang luar dan diperkemas dengan bengkong atau tali pinggang.
Aksesori lain yang dipakai ialah rantai atau dukuh, subang dan perhiasan kepala cucuk sanggul serta bunga-bunga kecil.
Keunikan Tarian Zapin
Tarian Zapin memiliki beberapa keunikan yang menjadikannya istimewa dalam khazanah seni tari tradisional Malaysia. Antara keunikannya adalah:
1. Perpaduan Budaya Arab dan Melayu
Tarian Zapin merupakan hasil perpaduan unik antara budaya Arab dan Melayu. Ia berasal dari Hadramaut, Yaman dan dibawa ke Nusantara oleh pedagang Arab pada abad ke-19.
Perpaduan ini melahirkan tarian yang menggabungkan unsur-unsur kesenian Arab dengan kehalusan budaya Melayu, menciptakan identiti tersendiri yang berbeza daripada tarian-tarian lain.
2. Gerakan Kaki yang Khas
Zapin berasal dari perkataan Arab “Zafn” yang bermaksud pergerakan kaki yang cepat. Keunikan utama tarian ini terletak pada gerakan kaki penari yang cepat dan rancak, mengikuti irama pukulan gendang yang disebut marwas.
Gerakan ini bukan sahaja memerlukan ketangkasan, tetapi juga keseimbangan dan koordinasi yang tinggi antara penari.
3. Muzik Iringan yang Istimewa
Tarian Zapin diiringi oleh alat muzik tradisional yang khas, terutamanya gambus dan maruas. Keunikan muzik iringan Zapin Johor terletak pada alunan maruas yang digunakan khusus untuk tarian ini.
Selain itu, terdapat elemen “telingkah kopak”, iaitu paluan maruas di akhir pantun yang menambah keceriaan dalam persembahan. Petikan gambus yang seolah-olah seperti zikir juga menambah dimensi spiritual kepada tarian ini.
4. Kepelbagaian Jenis dan Variasi
Tarian Zapin mempunyai pelbagai jenis dan variasi mengikut daerah dan negeri. Sebagai contoh, di Johor sahaja terdapat lebih daripada 16 jenis Zapin yang tersebar di seluruh daerah.
Setiap jenis Zapin mempunyai ciri-ciri tersendiri yang mencerminkan identiti dan warisan tempatan. Kepelbagaian ini menjadikan Zapin suatu bentuk seni yang kaya dan dinamik.
5. Nilai Sosial dan Budaya
Tarian Zapin bukan sekadar hiburan, tetapi juga membawa nilai-nilai sosial dan budaya yang penting. Ia mewujudkan rasa persaudaraan antara penari dan pemuzik, serta memupuk semangat kerjasama.
Tarian ini juga berperanan dalam menghapuskan rasa malu penari apabila menari di khalayak ramai, sekaligus membantu dalam pembentukan keyakinan diri.
Secara simbolik, gerak tari Zapin menampakkan kepentingan usaha bersama dan bukannya usaha individu, mencerminkan nilai-nilai kemasyarakatan yang penting dalam budaya Melayu.
Penutup
Zapin adalah seni tarian yang kaya dengan nilai budaya, sejarah, dan tradisi. Walaupun berasal dari tradisi istana, tarian Zapin kini dipersembahkan dalam pelbagai acara seperti perkahwinan dan festival kebudayaan. Tarian ini masih relevan dengan adaptasi moden tanpa kehilangan identiti tradisionalnya.
Rujukan:
- TARIAN ZAPIN GHALIT – JKKN
- Wikipedia
- Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara, Kelantan
- Media Digital Johor
- ZAPIN WARISAN JOHOR