Bagi yang baru berumah tangga, anda dan pasangan pasti tidak sabar untuk menyambut kehadiran cahaya mata. Adakah anda masih ragu selepas jalani ujian kehamilan? Bagaimana ingin tahu sama ada anda mengandung atau tidak?
Ayuh semak beberapa tanda tanda hamil yang sering dialami oleh bakal ibu.
12 Tanda Tanda Hamil Yang Biasa Dialami Bakal Ibu
1. Haid Lewat
Sekiranya anda tidak mempunyai masalah kitaran haid namun dapati yang anda sudah lewat selama seminggu daripada tarikh sepatutnya, kemungkinan anda sedang hamil.
Ini adalah antara tanda tanda hamil yang paling ketara bagi bakal ibu.
2. Pening Kepala
Pada awal fasa kehamilan, sesetengah wanita mungkin akan alami pening kepala dan sesetengahnya boleh menyebabkan pitam.
Ini disebabkan oleh tekanan darah yang rendah atau perubahan hormon dalam badan.
Bagi mengatasi masalah ini, bakal ibu perlulah makan dengan lebih banyak dan kerap dalam masa satu hari.
3. Payudara Bengkak dan Sensitif
Wanita yang mengandung akan alami perubahan hormon bagi menyokong proses kehamilan.
Disebabkan itu, anda mungkin akan dapati buah dada akan menjadi lebih sensitif dan sedikit bengkak.
4. Rasa Mula
Tanda tanda hamil lain yang biasa dilalui oleh para wanita adalah rasa mual khususnya pada waktu pagi atau ketika berjaga.
Simptom ini juga sering dikenali sebagai morning sickness. Meskipun begitu, sesetengah wanita turut alami rasa mual pada waktu malam.
Walaupun ada bakal ibu yang sering muntah, namun ada juga yang hanya rasa mual semata-mata tanpa rasa ingin muntah.
5. Kerap Membuang Air Kecil
Ibu mengandung juga akan dapati mereka mula kerap ke tandas untuk membuang air kecil. Ini disebabkan oleh perubahan fizikal ibu yang mengalami peningkatan kandungan darah dalam badan ketika hamil.
Akibatnya, buah pinggang akan cenderung untuk menapis lebih banyak darah dan badan pun akan hasilkan lebih banyak air kencing.
6. Selera Makan Berubah
Kebanyakan wanita akan dapati deria bau mereka berubah ketika hamil. Pada trimester pertama, ada juga wanita yang mula mengidam sesuatu yang pelik.
Untuk memastikan kesihatan ibu dan bayi terjaga, anda juga disarankan untuk mengambil vitamin pranatal agar dapat mencapai keperluan nutrien harian yang optimum.
7. Kelesuan dan Mudah Rasa Letih
Tanda ini pula dikatakan berpunca daripada peningkatan kadar hormon progesteron yang tinggi pada fasa awal kehamilan. Hormon ini boleh membuatkan wanita berasa mudah mengantuk dan cepat letih.
8. Mood atau Emosi Terganggu
Perubahan hormon yang berlaku pada trimester pertama juga bakal memberi kesan kepada emosi si ibu. Disebabkan itu, pasangan anda mungkin akan dapati anda mudah sensitif dan mood sering berubah pada tempoh tersebut.
9. Perut Kembung
Kembung perut ini dikatakan mirip dengan rasa kembung ketika wanita datang haid. Ini juga disebabkan oleh perubahan hormon.
10. Sembelit
Perubahan hormon yang berlaku pada tubuh wanita hamil juga boleh mengakibatkan sembelit. Ini akan menyebabkan pergerakan sistem penghadaman tidak berjalan dengan lancar seperti biasa.
11. Muncul Tompokan Darah
Bakal ibu jangan panik apabila ternampak tompokan darah. Ini merupakan satu fenomena normal yang dikenali sebagai implantation bleeding.
Proses ini sering berlaku dalam tempoh 10 hingga 14 hari setelah persenyawaan berlaku dan ia penting bagi pembentukan bekalan salur darah supaya nutrien penting dapat sampai kepada janin semasa tempoh kehamilan.
12. Kekejangan Pada Abdomen
Rasa kejang ini sebenarnya merujuk kepada kekejangan pada bahagian rahim. Sesetengah wanita mungkin akan mengalami rasa kejang ini.
Sekiranya anda alami kebanyakan daripada tanda di atas, kemungkinan besar anda sedang hamil.
Jangan lupa untuk mendapatkan pemeriksaan doktor bagi mendapatkan pengesahan kehamilan dan rawatan susulan agar kesihatan anda dan kandungan terjaga.
Sumber : Hellodoktor