Taman Botani Putrajaya: Waktu Operasi, Kemudahan & Tarikan Utama
Taman Botani Putrajaya adalah salah satu taman botani terbesar dan tercantik di Malaysia. Memang lawa sangat pemandangan di taman ini. Bak kata gen Z, estetik dan instagrammable!
Terletak di tengah-tengah bandar raya pintar Putrajaya, taman ini sering menjadi destinasi pilihan untuk aktiviti riadah, aktiviti santai, lawatan pendidikan, dan semestinya untuk sesi fotografi.
Jom terokai lebih lanjut apa yang menarik di Taman Botani Putrajaya ini beserta info penting yang lain seperti lokasi, waktu beroperasi, kemudahan dan tips penting apabila berkunjung ke taman ini.
BACA JUGA: Taman Saujana Hijau – Kemudahan & Aktiviti Boleh Dilakukan
Taman Botani Putrajaya
Taman Botani Putrajaya merupakan salah satu daripada lapan taman utama yang membentuk konsep ‘Bandar Dalam Taman’ di Putrajaya.
Dibuka secara rasmi pada 4 Februari 2003 oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, taman ini telah menjadi ikon hijau Putrajaya selama lebih dua dekad.
Dibangunkan di atas tanah seluas 230 ekar, Taman Botani Putrajaya bukan sekadar taman biasa. Ia merupakan hasil daripada visi untuk mewujudkan sebuah pusat botani yang bukan sahaja indah, tetapi juga berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pemuliharaan tumbuhan.
Sejak penubuhannya, taman ini telah mengalami pelbagai penambahbaikan dan pengembangan. Pada tahun 2008, Taman Botani Putrajaya mencapai pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan sebagai salah satu ‘Taman Paling Menakjubkan di Asia’ oleh Royal Chelsea Foundation di London semasa Royal Chelsea Flower Show.
Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat nama Taman Botani Putrajaya di persada antarabangsa, tetapi juga menjadi bukti kejayaan Malaysia dalam membangunkan dan mengekalkan taman botani bertaraf dunia.
Taman Botani Putrajaya ini menampilkan lebih daripada 750 spesies tumbuhan dari seluruh dunia dan digelar “mother of all gardens”. Setiap pengunjung berpeluang mempelajari tentang pelbagai spesies tumbuhan dan ekosistemnya apabila berkunjung ke taman ini.
Lokasi dan Waktu Beroperasi
Taman Botani Putrajaya terletak di Lebuh Perdana Barat, Presint 1, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya. Lokasinya yang strategik menjadikannya mudah diakses oleh pengunjung dari kawasan Putrajaya dan sekitarnya.
Berikut ialah waktu taman botani ini beroperasi:
- Isnin hingga Ahad: 9:00 pagi – 12:00 tengah hari, 2:00 petang – 5:00 petang
- Jumaat: 9:00 pagi – 11:00 pagi, 3:00 petang – 5:00 petang
- Ditutup pada setiap hari Selasa
NOTA: Waktu operasi ini mungkin berubah pada hari cuti umum atau semasa acara khas. Pengunjung dinasihatkan untuk menyemak laman web rasmi Taman Botani Putrajaya atau menghubungi pihak pengurusan di talian +603 8887 7770 untuk maklumat terkini sebelum membuat kunjungan.
Tarikan Utama di Taman Botani Putrajaya
Berikut adalah beberapa tarikan utama di Taman Botani Putrajaya yang menjadikan taman botani ini sangat menarik dan pilihan yang ideal untuk dikunjungi bersama anak-anak, rakan-rakan mahupun secara solo. Antaranya ialah:
1. Pavillion Morocco (Astaka Morocco)
Astaka Morocco merupakan salah satu ikon utama di Taman Botani Putrajaya. Dengan seni bina Maghribi yang kompleks, dihiasi dengan ukiran kaligrafi Islam yang indah, mozek berwarna-warni, ia menjadi salah satu ‘spot’ yang popular di taman ini.
Di dalamnya terdapat ruang pameran yang memaparkan artifak dan maklumat mengenai sejarah dan budaya Morocco.
Taman dalamannya direka mengikut gaya taman Islam tradisional, lengkap dengan air pancuran. Pengunjung perlu membeli tiket khas untuk memasuki Astaka Morocco ini, dengan harga RM3 untuk dewasa dan RM1 untuk pelajar.
2. Palm Hill
Bukit Palma terletak di kawasan berbukit taman ini dan menawarkan pemandangan panoramik yang memukau ke seluruh Taman Botani Putrajaya dan tasik di sekelilingnya.Kawasan ini merupakan ‘rumah’ kepada lebih daripada 100 koleksi pokok palma dan lebih 50 spesies palma dari seluruh dunia.
‘Laluan Palma’ di Bukit Palma membolehkan pengunjung berjalan di antara pokok-pokok palma yang tinggi, memberikan pengalaman seolah-olah berada di dalam hutan palma tropika. Ini menjadi kawasan kegemaran ramai untuk mengambil gambar.
3. Taman Bunga (Floral Gardens)
Bagi pencinta bunga dan penggemar fotografi, ini adalah kawasan yang anda tidak boleh lepaskan. Kawasan ini dibahagikan kepada beberapa bahagian bertema yang mewakili flora dari benua yang berbeza. Memang cantik sangat pemandangan di kawasan ini!
Salah satu tarikan utama di kawasan ini adalah koleksi orkid yang terdiri lebih daripada 50 spesies orkid termasuk beberapa spesies yang langka dan endemik tau. Selain orkid, taman ini juga mempamerkan koleksi bunga-bunga tropika seperti bunga raya dan sebagainya.
4. Laluan Penjelajah (Explorer’s Trail)
Laluan Penjelajah menawarkan pengalaman interaktif yang membolehkan pengunjung meneroka kepelbagaian flora di taman ini.
Laluan ini bermula dari Pusat Pelawat (Visitor Centre) dan di sepanjang laluan ini, pengunjung akan menemui pelbagai spesies tumbuhan unik, termasuk yang endemik kepada Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Salah satu tarikan utama di Laluan Penjelajah adalah Jambatan Kanopi (Canopy Bridge). Jambatan sepanjang 170 meter ini membolehkan pengunjung melihat pemandangan “tree top” dan menikmati panorama taman botani ini daripada sudut yang berbeza.
Laluan ini juga merangkumi beberapa zon bertema seperti kawasan tumbuhan ubatan, koleksi pokok buah-buahan, dan kawasan tumbuhan akuatik.
Terdapat juga ‘stesen cabaran’ di mana pengunjung boleh menguji pengetahuan mereka tentang tumbuhan atau mencuba aktiviti hands-on.
5. Taman Matahari (Sun Garden)
Taman Matahari juga salah satu tarikan di Taman Botani Putrajaya yang cukup popular. Taman ini direka khas untuk mempamerkan tumbuhan yang berkembang subur di bawah cahaya matahari yang terik.
Di kawasan ini terdapat pelbagai spesies tumbuhan gurun dan semi-gurun dari seluruh dunia, termasuk koleksi kaktus dan sukulen.
Salah satu tarikannya ialah ‘Jam Matahari’ yang besar. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai alat untuk mengukur masa berdasarkan posisi matahari, tetapi juga menjadi ‘spot’ tumpuan yang menarik untuk fotografi.
BACA JUGA: Secret Garden Putrajaya: Tarikan Utama & Cara ke Sana
Harga Tiket Masuk ke Taman Botani Putrajaya
Untuk makluman, kemasukan ke Taman Botani Putrajaya adalah PERCUMA. Tiada tiket masuk dan bayaran diperlukan. Namun, caj berasingan dikenakan untuk kemasukan ke Astaka Morocco (Pavilion Maghribi) dan untuk aktiviti termasuk menaiki trem dan penyewaan basikal.
Rujuk jadual di bawah:
Sila semak laman web rasmi atau hubungi pihak pengurusan Taman Botani Putrajaya untuk maklumat terkini dan terperinci mengenai sebarang bayaran yang mungkin dikenakan.
Tempah Pakej Lawatan Bersama Klook
Walaubagaimanapun, anda boleh menempah pakej lawatan ke sekitar Putrajaya dan menaiki kapal cruise untuk menikmati keindahan sekitar bandaraya ini melalui laman sesawang KLOOK.
Dengan Klook, anda boleh menikmati diskaun dan tawaran istimewa yang menjadikan lawatan anda lebih berbaloi!
Klook.comFasiliti dan Kemudahan
Berikut adalah beberapa kemudahan yang disediakan di Taman Botani Putrajaya:
1. Tempat Letak Kereta
Taman Botani Putrajaya menyediakan kawasan parkir yang luas dan mudah diakses. Lokasi tempat kereta yang strategik berhampiran pintu masuk utama memudahkan akses terus ke taman.
2. Tandas
Terdapat beberapa tandas yang disediakan di lokasi strategik di sekitar taman. Jadi pengunjung tidak perlu berjalan jauh untuk mencari kemudahan tandas apabila memerlukan. Selain itu, tandas-tandas yang ada juga dilengkapi dengan kemudahan asas seperti sabun dan tisu.
3. Penyewaan Basikal dan Trem
Untuk menambah keseronokan lawatan, pengunjung boleh menyewa basikal untuk menjelajah taman botani ini dengan lebih bebas dan santai.
Bagi mereka yang ingin menikmati pemandangan tanpa terlalu banyak berjalan, perkhidmatan trem turut disediakan. Trem ini akan membawa pengunjung mengelilingi taman sambil memberikan penerangan mengenai pelbagai tarikan yang ada.
4. Surau
Taman ini juga menyediakan surau yang bersih dan selesa untuk kemudahan pengunjung Muslim menunaikan solat. Surau ini dilengkapi dengan tempat wuduk dan sejadah bagi memastikan pengunjung dapat beribadah dengan tenang dan selesa semasa berada di taman.
5. Tempat Rehat
Di seluruh taman, terdapat banyak kerusi dan tempat rehat yang disediakan untuk pengunjung berehat selepas penat berjalan-jalan.
Ia biasanya terletak di bawah pokok-pokok rendang atau berdekatan dengan pemandangan indah seperti tasik atau taman bunga, sekaligus menjadikannya lokasi ideal untuk bersantai sambil menikmati keindahan alam.
Tips Berkunjung ke Taman Botani Putrajaya
1. Datang Awal Pagi atau Lewat Petang
Untuk pengalaman yang lebih selesa, datanglah pada awal pagi atau lewat petang untuk mengelakkan cuaca panas. Waktu ini juga sesuai untuk fotografi kerana pencahayaan pada waktu ini lebih baik berbanding tengah hari.
2. Pakai Pakaian dan Kasut yang Selesa
Taman Botani Putrajaya in memang sangat luas. Jadi pilihlah pakaian dan kasut yang sesuai untuk berjalan kaki terutamanya sekiranya anda merancang untuk meneroka keseluruhan kawasan taman ini.
3. Bawa Air dan Snek Ringan
Pastikan anda membawa air minuman dan snek ringan secukupnya untuk mengisi perut atau jika merancang untuk berkelah di taman ini.
4. Jangan Lupa Kamera!
Taman ini penuh dengan pemandangan indah, jadi bawalah kamera atau telefon pintar untuk merakam kenangan anda berkunjung ke sini bersama insan tersayang.
5. Rujuk Media Sosial Rasmi Taman Botani Putrajaya
Taman Botani sering menganjurkan program-program menarik dan aktiviti khas seperti lawatan berpandu atau bengkel tertentu. Jadi, pastikan anda sentiasa rujuk media sosial rasmi Taman Botani Putrajaya untuk mengetahui info terkini agar tidak terlepas aktiviti menarik yang diadakan.
BACA JUGA: Sky Mirror Kuala Selangor – Waktu Operasi, Harga Tiket & Tips Sebelum Pergi!
Penutup
Taman Botani Putrajaya adalah destinasi menarik di Putrajaya yang kaya dengan keindahan alam semula jadinya. Ia bukan sahaja tempat rekreasi tetapi juga pusat pendidikan yang penting untuk kesedaran biodiversiti dan pemuliharaan alam sekitar.
Bagi mereka yang mencari lokasi rekreasi di Putrajaya dan destinasi menarik yang menawarkan pengalaman unik, berkunjung ke Taman Botani Putrajaya adalah pilihan yang tepat!