Tahnik Bayi: Panduan ‘Step-by-Step’, Hukum & Manfaatnya

Tahnik Bayi: Panduan ‘Step-by-Step’, Hukum & Manfaatnya
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Tahnik Bayi: Panduan ‘Step-by-Step’, Hukum & Manfaatnya

Kelahiran permata hati adalah satu detik yang ditunggu-tunggu oleh setiap ibu bapa. Terdapat beberapa sunnah yang dianjurkan untuk dilakukan agar anak tersebut diberikan keberkatan dan kebaikan dalam hidup serta sebagai tanda kesyukuran dengan kelahiran tersebut. 

Salah satu sunnah yang dianjurkan ialah melakukan tahnik. Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya.

Apa Itu Tahnik Bayi?

Tahnik Bayi: Panduan ‘Step-by-Step’, Hukum & Manfaatnya

Tahnik bayi adalah salah satu sunnah yang dilakukan Nabi Muhammad SAW kepada bayi baru lahir. Ia merupakan perbuatan ‘menyuapkan’ (calit) buah tamar yang telah dikunyah oleh individu yang soleh ke bahagian lelangit bayi. 

Dalam kalangan masyarakat Melayu, perbuatan ini juga dikenali sebagai ‘membelah mulut bayi’. Sekiranya tiada buah tamar, boleh gunakan manisan.

Walaubagaimanapun, elakkan menggunakan madu kerana ia mengandungi bakteria yang sangat berbahaya kepada bayi. 

Bila Perlu Tahnikkan Bayi?

Bayi disunatkan untuk tahnik seawal usia kelahirannya. 

Hal ini berdasarkan kepada hadis daripada Anas bin Malik RA bahawa beliau membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari kepada Rasulullah SAW selepas Abdullah RA baru dilahirkan. Katanya:

ذَهَبْتُ بِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ الأَنْصَارِيِّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حِينَ وُلِدَ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي عَبَاءَةٍ يَهْنَأُ بَعِيرًا لَهُ فَقَالَ ‏”‏ هَلْ مَعَكَ تَمْرٌ ‏”‏ ‏.‏ فَقُلْتُ نَعَمْ ‏.‏ فَنَاوَلْتُهُ تَمَرَاتٍ فَأَلْقَاهُنَّ فِي فِيهِ فَلاَكَهُنَّ ثُمَّ فَغَرَ فَا الصَّبِيِّ فَمَجَّهُ فِي فِيهِ فَجَعَلَ الصَّبِيُّ يَتَلَمَّظُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ حُبُّ الأَنْصَارِ التَّمْرَ ‏”‏ ‏.‏ وَسَمَّاهُ عَبْدَ اللَّهِ

Maksudnya: “Aku membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari RA yang baru lahir menemui Rasulullah SAW pada ketika itu, baginda memakai aba’ah (العباءة) sedang melumurkan untanya dengan minyak. Baginda bertanya: “Adakah kamu membawa tamar?” Aku menjawab: “Ada,” lalu aku menyerahkan beberapa biji kepada Baginda. Baginda pun memasukkan beberapa itu ke dalam mulut dan mengunyah-ngunyahnya. Kemudian, baginda membuka mulut Abdullah dan memasukkan tamar tersebut. Bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambil menghisap manisnya. Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: “Kesukaan orang Ansar ialah buah tamar. Lalu Baginda menamakannya Abdullah.”

Hadis riwayat Muslim: (2144)

Jika bayi dilahirkan pada waktu pagi, maka seeloknya pada petang tersebut ditahnikkan dan diberikan nama tanpa perlu menunggu hari ketujuh. Ia perlu disegerakan jika tiada apa-apa sebab yang menghalangnya. 

Namun jika ada halangan dan kekangan untuk melakukan demikian, seperti bayi perlu dijaga dan mendapatkan rawatan di hospital, maka tidak mengapa untuk melewatkannya dalam tempoh masa tujuh hari atau lebih, selepas bayi sudah kembali sihat.

Hukum Tahnik Bayi

Hukum mentahnik bayi adalah sunnah. 

Adalah disunatkan untuk membawa anak yang baru lahir kepada orang yang soleh untuk ditahnikkan supaya bayi tersebut boleh didoakan dengan doa yang baik dan berkat.

Ia bukanlah wajib dilaksanakan, dan jika seseorang itu meninggalkan perkara tersebut tidaklah dikira berdosa.

Panduan ‘Step-by-Step’ Mentahnik Bayi

Berdasarkan perkongsian Ustaz Don:

1. Sediakan kurma dan air zamzam.

2. Mulakan dengan beristighfar.

3. Baca Al-Fatihah

4. Baca Ayat Kursi, Selawat Syifa, Selawat Kamilah.

5. Baca 3 Qul  (Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas)

6. Kemudian, ambil kurma. Kunyah sehingga hancur. 

7. Calitkan ke jari telunjuk atau guna jari kelingking pun boleh (Pastikan jari anda bersih).

8. Masukkan ke dalam mulut bayi.

9. Sambil jari dalam mulut, bacakan ayat 33-37 Surah Ali Imran.

10. Keluarkan jari, titiskan air zamzam sedikit sahaja. 

11. Bacakan doa khusus – Rujuk dalam video.

12. Atau, bacakan apa sahaja doa yang diinginkan/dihajatkan kepada si bayi. 

Sumber: https://www.facebook.com/watch/?v=3879722788746439 

Manfaat Mentahnik Bayi

Dari perspektif kesihatan, tahnik memberi manfaat untuk melindungi bayi daripada kekurangan glukosa, menguatkan otot mulut, mempunyai keupayaan untuk meningkatkan bilangan Platelet, Leukosit, Hematokrit dan Hemoglobin serta menghalang jangkitan E.Coli.

Selain itu, ia juga dapat mengikat hati bayi dengan syariat Islam.

RUJUKAN:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut