Surah Yusuf Ayat 4 – Doa Penyeri Wajah, Doa Pemanis Wajah / Naik Seri / Jodoh?
Memiliki wajah yang tenang dipandang adalah impian setiap orang. Selain menjaga kebersihan dan kesihatan kulit, terdapat juga doa yang boleh diamalkan untuk menyerikan wajah.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya.
BACA JUGA: Ayat Ruqyah – Penawar Penyakit, Sihir, ‘Ain & Gangguan Makhluk Halus
Surah Yusuf Ayat 4
Ayat ke-4 daripada Surah Yusuf ini seringkali dicanangkan sebagai doa penyeri wajah atau pemanis wajah. Benarkah demikian?
Jom kita lihat maksud dan makna ayat ini beserta huraiannya.
إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَا أَبَتِ إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِي سَاجِدِينَ
Maksudnya:
“(Ingatlah) ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: ‘Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari, dan bulan. Aku melihat semuanya itu sujud kepadaku.”
Huraian
Permulaan kisah Nabi Yusuf bermula dengan mimpi baginda.
Baginda memberitahu kepada ayahnya, bahawa baginda telah bermimpi yang sebelas (11) bintang, matahari dan bulan, sujud kepada baginda.
Apakah maksud bintang, matahari dan bulan itu?
- 11 bintang itu adalah adik beradik baginda.
- Matahari itu adalah ayahnya. (ada yang kata matahari itu emak baginda kerana matahari dalam Arab berjantina perempuan.)
- Bulan itu adalah emaknya. (kalau ambil pendapat yang mengatakan matahari itu emak, maka bulan adalah ayahnya (Nabi Ya’qub).
Dari mimpi ini, Nabi Ya’qub (bapa nabi Yusuf) tahu yang Nabi Yusuf عليه السلام akan menjadi seorang Nabi.
Takwil mimpi Nabi Yusuf ini terjadi selepas empat puluh tahun. Ada juga pendapat lain mengatakan sesudah lapan puluh (80) tahun.
Ia terjadi ketika Nabi Yusuf عليه السلام mempersilakan kedua orang tuanya untuk menduduki kursi singgahsananya, sedangkan semua saudaranya berada di hadapannya dan ini disebut dalam ayat 100:
{وَخَرُّوا لَهُ سُجَّدًا وَقَالَ يَا أَبَتِ هَذَا تَأْوِيلُ رُؤْيَايَ مِنْ قَبْلُ قَدْ جَعَلَهَا رَبِّي حَقًّا}
Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf. Dan berkata Yusuf “Wahai ayahku, inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan.”
NOTA: Berdasarkan huraian di atas, jelaslah ayat ini bukanlah ayat pengasih atau doa penyeri wajah.
Doa Penyeri Wajah, Doa Pemanis Wajah / Naik Seri / Jodoh
Anda boleh amalkan doa di bawah, walaupun tiada dalil/hadis mengenainya. Namun ia mempunyai makna yang baik.
الَّلهُمَّ جَئَلْنِى نُوْرُ يُوْسُفَ عَلَى وَجْهِي فَمَنْ رَ اَنِى يُحِبُّنِي مَحَبَّتَنْي
Maksud: “Ya Allah, jadikanlah Nur cahaya Nabi Yusuf pada wajahku, dan bagi siapa yang melihat akan menjadi kagum serta memiliki cinta kasih kepadaku.”
Selain itu anda juga boleh amalkan doa melihat cermin seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW ketika melihat cermin.
اَللَّهُمَّ حَسَّنْتَ خَلْقِي فَحَسِّنْ خُلُقِي
Maksudnya: Ya Allah, sebagaimana Engkau telah cantikkan kejadianku (rupaku) maka cantikkanlah juga akhlakku.
Tips Agar Wajah Sentiasa Berseri
Tidak dinafikan, untuk memiliki wajah yang indah berseri kita perlu menggunakan pelbagai jenis produk kulit yang sesuai seperti pencuci muka dan sebagainya.
Namun, terdapat beberapa tips agar wajah anda kelihatan sentiasa berseri tanpa modal seperti di bawah:
1. Rajin mengambil wudhu
Apabila kita berwudhu, membasuh wajah adalah rukun wudhu yang wajib dilakukan. Bayangkan dalam sehari, kita akan membasuh wajah sekurang-kurangnya 5 kali sehari. Ini membantu menjaga kebersihan kulit dan mencegah timbulnya masalah kulit yang dapat membuat wajah terlihat kusam.
2. Senyum
Senyuman akan membuatkan seri di wajah anda lebih terpancar berbanding muka yang masam. Oleh itu, sentiasalah tersenyum.
3. Mengamalkan Akhlak Mulia
Mengamalkan akhlak yang mulia akan membuat seseorang dicintai oleh Allah SWT dan manusia, sehingga wajahnya akan berseri.
4. Menjaga Kesihatan Jasmani
Menjaga kesihatan tubuh dengan bersenam, tidur yang cukup dan makan makanan yang sihat juga dapat mempengaruhi penampilan wajah.
5. Memperbanyak Amal Kebaikan
Melakukan amal kebaikan adalah salah satu cara untuk mendapatkan keberkatan dalam hidup. Amalan yang baik akan membuat hati menjadi lapang dan dari situlah terpancar seri wajah seseorang.
Akhir kata, semoga Allah SWT mengurniakan kita rupa paras yang menenangkan setiap hari yang memandangnya dan memperindahkan akhlak & hati kita. Amin.
RUJUKAN:
- https://celiktafsir.net/2017/01/10/yusuf-ayat-1-4/
- Facebook JAKIM