Dalam Islam, konsep sunat haiat merujuk kepada amalan yang dianjurkan dalam pelaksanaan ibadah tetapi tidak membatalkan ibadah jika ditinggalkan.
Ia berbeza daripada sunat ab’adh, yang apabila ditinggalkan, digalakkan menggantikannya dengan sujud sahwi.
Ianya berfungsi untuk menyempurnakan ibadah, meningkatkan kekhusyukan, dan memperindah amalan seseorang dalam beribadah.
Ramai umat Islam yang masih keliru antara kedua-dua istilah ini.
Makna Sunat Haiat
Sunat haiat secara umum merujuk kepada perbuatan dalam ibadah yang jika diamalkan akan memberikan pahala tetapi jika ditinggalkan tidak menyebabkan ibadah terbatal atau perlu diperbaiki dengan sujud sahwi.
Contohnya dalam solat, banyak aspek yang dikategorikan sebagai sunat haiat kerana ia bertujuan memperindah tatacara solat tanpa mengganggu kesahihannya.
Perkataan “haiat” berasal dari bahasa Arab yang bermaksud bentuk atau keadaan. Maka, Sunat Haiat bertujuan menyempurnakan bentuk dan keindahan solat, menjadikannya lebih sempurna dari sudut tertib dan ketenangan.
Setiap gerakan dan bacaan dalam kategori sunat ini mempunyai hikmah dan manfaatnya yang tersendiri, yang membantu seseorang mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Senarai Sunat Haiat
Sumber: JAKIM
Berikut ialah antara amalan yang tergolong dalam Sunat Haiat:
- Mengangkat kedua-dua tangan ketika takbiratul-ihram, rukuk dan ketika bangkit dari rukuk.
- Meletakkan telapak tangan kanan di atas tangan kiri ketika berdiri.
- Menyaringkan bacaan dan memperlahankannya pada tempat-tempatnya (maksudnya, membaca secara kuat di tempat yang disunatkan kuat, dan perlahan di tempat yang disunatkan perlahan).
- Bacaan doa iftitah.
- Membaca isti’azah (ta’awudz) selepas doa iftitah.
- Memandang ke tempat sujud.
- Mengucapkan “Amin” ketika selesai bacaan Al-Fatihah.
- Membaca al-Quran setelah bacaan Al-Fatihah.
- Bertakbir ketika perpindahan rukun.
- Membaca selawat Ibrahimiyyah dan berdoa selepas tasyahud akhir.
- Meletakkan kedua-dua belah tangan di atas peha pada kedua-dua tasyahud (semasa duduk tahiyat).
- Duduk tawarruk tahiyat akhir dan duduk iftirasy pada duduk yang lainnya.
- Bertasbih ketika rukuk dan sujud (lebih dari sekali).
- Mengucap salam yang kedua.
- Sentiasa khusyuk sepanjang solat.
Artikkel berkaitan: Solat Sunat Aidiladha : Panduan, Lafaz Niat Berjemaah & Sendirian
Perbezaan Sunat Haiat dan Ab’adh
Ramai orang keliru antara Sunat Haiat dan Sunat Ab’adh, padahal kedua-duanya berbeza dari segi hukum jika ditinggalkan.
Perkara | Sunat Haiat | Sunat Ab’adh |
---|---|---|
Jika ditinggalkan | Tidak perlu sujud sahwi | Perlu sujud sahwi |
Hukum | Sunat | Sunat muakkad (sangat dituntut) |
Contoh | Mengangkat tangan ketika rukuk, membaca surah selepas al-Fatihah | Tasyahud awal, selawat atas Nabi dalam tahiyat akhir |
Hikmah dan Kelebihan
Melaksanakan sunat haiat dalam solat bukan sekadar menambah bilangan gerakan atau bacaan, tetapi ia membawa banyak hikmah dan keutamaan:
Mengisi Kekurangan Rukun: Ada pandangan ulama yang menyatakan bahawa amalan sunat ini akan menjadi penampal atau pelengkap kepada kekurangan-kekurangan yang mungkin berlaku pada rukun solat kita, sama ada disebabkan oleh kelalaian atau kekurangan fokus.
Menyempurnakan Solat: Walaupun solat sah tanpa sunat haiat, melaksanakannya menjadikan solat kita lebih sempurna dan lebih mendekati sunnah Nabi Muhammad SAW.
Menambah Pahala: Setiap amalan sunat yang dilakukan akan diganjari pahala oleh Allah SWT. Ini adalah peluang untuk kita mengumpul lebih banyak pahala.
Meningkatkan Kekhusyukan: Setiap gerakan dan bacaan seperti doa iftitah dan tasbih, membantu kita untuk lebih fokus dan merasai kehadiran Allah dalam solat. Ia membantu mencegah fikiran melayang ketika solat.
Mengikuti Sunnah Nabi: Dengan melaksanakan sunat haiat, kita mencontohi cara solat Nabi Muhammad SAW yang merupakan teladan terbaik bagi umat Islam.