Suhu Badan Normal, Demam dan Hypothermia
Sejak kebelakangan ini, penularan wabak Covid-19 semakin meningkat. Pada masa yang sama, ramai juga yang menghidap, batuk selsema dan demam.
Oleh sebab itulah ramai yang kini berjaga-jaga untuk memantau kesihatan diri dan keluarga di rumah.
Ada kalanya anda mungkin tidak pasti sama ada demam atau tidak. Jadi, perkongsian kali ini akan membantu anda untuk kenalpasti suhu badan normal mengikut usia.
Ayuh ikuti perkongsian daripada kami.
Purata Suhu Badan Normal Mengikut Usia
Purata suhu normal bagi orang dewasa adalah antara 36 hingga 37.5 °C. Sekiranya lebih daripada itu sudah dikira demam.
Bagaimana pula dengan purata suhu untuk bayi dan warga emas? Memetik Doctor On Call, purata suhu badan adalah berbeza mengikut usia.
- Untuk bayi dan kanak-kanak, purata suhu badan adalah antara 36.6 ° C hingga 37.2 ° C.
- Individu berusia lebih 65 tahun pula mempunyai suhu badan lebih rendah daripada 36.2 ° C.
Walau bagaimana pun, anda perlu ingat bahawa suhu badan yang normal mungkin berbeza mengikut individu.
Suhu badan anda juga mungkin 0.6 ° C lebih tinggi atau lebih rendah daripada purata suhu badan normal.
Cara Ambil Suhu Secara Tepat
Untuk mengambil bacaan suhu yang tepat, suhu tubuh hanya boleh diambil di dahi. Bukan di tangan, telinga, hidung atau anggota badan lain.
Bagi termometer lain seperti termometer telinga, anda perlu ikuti arahan daripada maklumat yang disediakan.
Apabila anda bercakap dengan doktor tentang suhu badan anda, pastikan anda menyatakan sekali kaedah yang digunakan dalam mengambil bacaan suhu.
Suhu Badan Tinggi
Demam atau suhu badan tinggi mungkin terjadi disebabkan salah satu perkara berikut :
- Jangkitan virus atau bakteria
- Keletihan haba
- Kerangan tertentu seperti arthritis rheumatoid (keradangan lapisan sendi)
- Pengambilan ubat-ubatan atau antibiotik untuk merawat tekanan darah tinggi atau sawan
- Tindak balas badan terhadap vaksin seperti vaksin pneumokokal, vaksin Covid-19, tetanus atau pertusis acellular (DtaP).
Simptom Lain Ketika Demam
Pada masa yang sama, demam juga boleh disertai dengan pelbagai simptom lain seperti :
- Berpeluh
- Menggigil atau menggeletar
- Sakit kepala
- Sakit badan
- Badan lesu
- Hilang selera makan
- Degupan jantung laju
Dengan mengenalpasti purata suhu badan normal, maka lebih mudah untuk anda ketahui jika anda atau ahli keluarga sedang mengalami demam atau tidak.
Namun, ada kalanya punca demam sukar untuk dikenalpasti. Jika anda mempunyai demam yang berlarutan walaupun setelah mengambil ubat, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Anda juga perlu dapatkan konsultasi doktor sekiranya :
- Suhu demam melebihi 39.4 ° C
- Demam selama 3 hari atau lebih
- Demam yang disertai dengan gejala seperti muntah, sakit dada, ruam dan bengkak di kerongkong.
Anak jagaan anda juga perlu dapatkan rawatan perubatan segera jika :
- Bayi anda kurang dari tiga bulan dan demam
- Bayi anda adalah antara tiga bulan dan tiga tahun dan mempunyai suhu 102 ° F (38.9 ° C)
- Anak anda berusia tiga tahun atau lebih tua dan mempunyai suhu 103 ° F (39.4 ° C)
Suhu Badan Rendah (Hypothermia)
Selain demam, anda juga tidak boleh endahkan suhu badan yang rendah (hypothermia). Sekiranya tidak dirawat, ia boleh mengancam nyawa.
Ia juga merupakan salah satu kecemasan perubatan yang kerap di alami oleh orang tua dan kanak-kanak apabila berada di kawasan sejuk. Ia juga perlu diberi rawatan secepat mungkin.
Antara simptom-simptom hypothermia adalah :
- Kerap menggigil
- Suhu tubuh kurang daripada 35°C
- Bibir membiru
- Kulit berubah merah terang atau sejuk (untuk bayi)
- Pertuturan tidak jelas atau menggumam
- Keliru atau hilang ingatan
- Pernafasan cetek atau perlahan
- Nadi menjadi lemah
- Mengantuk atau kurang bertenaga
Walaupun demam boleh menyebabkan anda rasa tidak sihat, namun biasanya ia tidak berbahaya. Ia hanya hanya satu petanda yang tubuh anda sedang melawan penyakit.
Dalam kebanyakan masa, demam juga boleh reda dengan pengambilan ubat tahan sakit seperti paracetamol.
Pastikan anda dapat rehat secukupnya dan makan ubat sekiranya perlu. Namun, jika ia berlarutan dan disertai dengan simptom-simptom yang teruk, anda perlulah mendapatkan rawatan daripada doktor.
Sumber : MKN, Doctor On Call, Hello Doktor