Subsidi LPG – Fakta Penting Untuk Pengguna & Perniagaan Kecil

Subsidi LPG - Fakta Penting Untuk Pengguna & Perniagaan Kecil
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Subsidi LPG – Fakta Penting Untuk Pengguna & Perniagaan Kecil

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan OPS GASAK 2025 bermula 1 Mei 2025 sebagai sebahagian  daripada inisiatif gerakan membanteras manipulasi dan ketirisan (KITA  GEMPUR). 

Operasi ini adalah bertujuan untuk membanteras penyelewengan subsidi LPG (gas petroleum cecair) termasuk yang disalahgunakan oleh sektor tidak layak dalam industri komersial dan perniagaan berskala besar.

Namun, dengan penguatkuasaan sistem sedia ada melalui OPS GASAK, timbul pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat. 

Ramai yang tertanya-tanya, adakah subsidi LPG masih dikekalkan untuk pengguna domestik? Apakah kesannya kepada kos harian, khususnya bagi peniaga kecil dan isi rumah berpendapatan rendah?

Jom baca info lebih lanjut mengenainya di bawah.

BACA JUGA: Tong Gas Ungu Petronas – Perbezaan dan Kegunaan

Apa Itu Subsidi LPG?

Subsidi LPG merujuk kepada bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan bagi menampung sebahagian kos harga gas petroleum cecair (Liquefied Petroleum Gas – LPG) yang digunakan oleh rakyat Malaysia. 

Tujuannya adalah untuk memastikan gas memasak kekal mampu milik, terutama bagi isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana. Di Malaysia, subsidi ini menjadikan harga LPG domestik lebih rendah berbanding harga pasaran sebenar.

LPG bersubsidi hanya dibenarkan untuk kegunaan domestik dalam bentuk silinder bersaiz 10kg, 12kg, dan 14kg. 

Harga LPG bersubsidi ini dikawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan harga kawalan RM1.90/kg, menjadikan harga runcit bagi silinder 14kg adalah RM26.60. 

Siapa Yang Layak Menerima Subsidi LPG?

Hanya pengguna isi rumah (domestik), golongan B40 dan pengusaha warung kecil sahaja  yang layak menerima LPG bersubsidi.

Penggunaan LPG melebihi 42kg pada satu masa (lebih daripada tiga tong 14kg) untuk tujuan perniagaan atau industri memerlukan permit khas dan perlu menggunakan LPG komersial, bukan subsidi.

Sektor yang tidak layak mendapat subsidi termasuk industri perkilangan, restoran berskala besar, perkhidmatan dobi, penternakan dan perniagaan yang menggunakan LPG dalam kuantiti besar. 

Mereka diwajibkan menggunakan tong gas komersial (contohnya tong gas ungu Petronas) yang tidak menerima subsidi kerajaan.

Tong Gas Ungu, Untuk Siapakah Sebenarnya?

Tong gas berwarna ungu diperkenalkan untuk membezakan penggunaan LPG antara sektor domestik dan komersial. 

Peraturan ini menetapkan bahawa penggunaan LPG melebihi 42kg pada satu masa (lebih daripada tiga tong 14kg) memerlukan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB). 

Permohonan permit PBKB tersebut boleh dilakukan secara dalam talian. Sangat mudah!

Kenyataan Media

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPDN, KPDN telah  melancarkan OPS GASAK, satu operasi penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan subsidi gas petroleum cecair (LPG). Operasi ini bertujuan untuk:

  1. Membanteras Aktiviti Haram “Decanting”: Aktiviti ini merujuk kepada pemindahan LPG dari tong bersubsidi ke tong tidak bersubsidi bagi tujuan komersial atau penyeludupan. Ia adalah satu kesalahan serius yang merugikan kerajaan dan rakyat.
  1. Mengawal Penggunaan Subsidi LPG oleh Industri: LPG bersubsidi hanya untuk kegunaan isi rumah dan perniagaan kecil. Ia tidak sepatutnya digunakan oleh industri berskala sederhana dan besar, yang seharusnya menggunakan LPG tidak bersubsidi.

OPS GASAK digerakkan berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada, khususnya Akta Kawalan Bekalan 1961,Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 (yang berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021). 

Peraturan ini menetapkan bahawa penggunaan LPG melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa memerlukan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).

  • Tidak Perlu Permit Jika Guna Tidak Lebih 42 Kilogram Sekaligus
  • Perniagaan yang menggunakan tidak melebihi 3 tong gas bersubsidi bersaiz 14kg (bersamaan 42kg) pada satu-satu masa tidak perlu memiliki PBKB.

Pemeriksaan oleh penguat kuasa KPDN di premis makanan & minuman kini adalah berbentuk advokasi, pemakluman dan semakan patuh undang-undang

Tiada tindakan undang-undang diambil terhadap peniaga yang belum memiliki PBKB sepanjang tempoh ini, selagi penggunaan LPG mereka tidak melebihi had.

Permohonan PBKB Disaran Jika Guna Melebihi 42kg

Perniagaan yang guna LPG melebihi 42kg sekaligus perlu mohon PBKB. Permohonan boleh dibuat melalui sistem BLESS 2.0 atau dapatkan bantuan di pejabat KPDN negeri/cawangan.

Sepanjang zOPS GASAK, pembekal dibenarkan terus membekalkan LPG bersubsidi kepada pelanggan seperti peniaga makanan/minuman yang belum ada PBKB.

Melalui kenyataan ini, KPDN memberi jaminan bahawa operasi OPS GASAK adalah untuk memastikan subsidi LPG sampai kepada pihak yang benar-benar layak. Rakyat dan peniaga kecil tidak perlu panik, selagi penggunaan adalah dalam had yang dibenarkan.

Kerajaan masih mengekalkan subsidi LPG untuk rakyat, dan tindakan hanya diambil ke atas pihak yang menyalahgunakannya secara terang-terangan. 

Sekiranya kalian adalah peniaga kecil atau pengguna biasa, penggunaan LPG dalam kuantiti sederhana tidak akan terjejas; tiada permit diperlukan, dan bekalan akan diteruskan seperti biasa.

Fakta Penting LPG 

Berikut adalah fakta penting mengenai LPG (Liquefied Petroleum Gas) yang perlu anda tahu:

1. Subsidi LPG Bukan Dasar Baru
Peraturan subsidi LPG sudah lama berkuat kuasa sejak tahun 2021. Ia BUKAN dasar baru di bawah kerajaan sekarang. 

2. Subsidi Hanya untuk Pengguna Domestik & Peniaga Kecil, Bukan Perniagaan
Subsidi LPG hanya diberikan kepada pengguna isi rumah untuk kegunaan domestik. Peniaga kecil masih boleh menggunakan tong LPG subsidi (maksimum tiga tong 14kg atau 42kg pada satu masa) tanpa perlu permit khas, selagi mematuhi peraturan yang ditetapkan. 

3. Peniaga & Industri Perlu Guna LPG Komersial
Jika penggunaan melebihi tiga tong 14kg pada satu masa, peniaga atau industri perlu memohon permit khas dan menggunakan tong LPG komersial yang tidak mendapat subsidi kerajaan. Ini bertujuan mencegah penyelewengan dan memastikan subsidi tidak disalahgunakan oleh sektor tidak layak. 

4. OPS GASAK Fokus Kekang Penyelewengan
OPS GASAK yang dilaksanakan sejak Mei 2025 bertujuan mengekang penyalahgunaan subsidi LPG oleh pihak industri dan membanteras aktiviti haram seperti decanting. Ia bukan untuk menindas rakyat tetapi memastikan keadilan dalam sistem subsidi. 

5. Tempoh Peralihan untuk Peniaga Kecil
Kerajaan sedang mempertimbangkan tempoh peralihan bagi peniaga kecil agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dasar tanpa terbeban secara mendadak. Ini menunjukkan kerajaan tidak mengetepikan kepentingan peniaga kecil dalam pelaksanaan dasar subsidi LPG. 

BACA JUGA: Subsidi Telur Dikurangkan Mulai 1 Mei, Ditamatkan Sepenuhnya Ogos 2025

Maklumat Lanjut

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, anda boleh rujuk laman web rasmi KPDN atau WhatsApp ke 019-641 6768. 

Rujukan:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut