Selawat Ibrahimiyyah merupakan satu selawat yang paling lengkap dan sempurna untuk dibaca dan diamalkan oleh umat Islam, dan disebabkan itu, selawat ini juga dibacakan dalam solat pada separuh kedua bacaan Tahiyyat Akhir.
Oleh itu, sebagai umat Islam amat penting untuk kita pelajari dan fahami selawat ini. Hal ini demikian kerana, bukan sahaja ia membantu mendekatkan kita dengan Rasulullah S.A.W, tetapi ia juga membantu dalam menyempurnakan ibadah solat kita.
Berikut kami kongsikan kepada anda penerangan serba sedikit berkenaan selawat ini, panduan bacaan dan makna selawat. Teruskan pembacaan anda sehingga ke penghujung artikel untuk mengetahui lebih lagi.
Apa itu Selawat?
Perkataan “Selawat” itu merupakan sebuah perkataan yang dibentuk dari perkataan “Solat” yang membawa maksud doa atau pujian. Melalui selawat kita telah mendoakan kesejahteraan ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W.
Selawat juga merupakan satu-satunya ibadah yang dilakukan oleh manusia, para malaikat dan Allah S.W.T. Perkara ini telah dijelaskan dalam Surah Al-Ahzab ayat ke-56 berikut:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Trending sekarangMakna: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) ke atas Nabi (Muhammad ). Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan.
Surah Al-Ahzab : 56
Selawat Ibrahimiyyah
Selawat Ibrahimiyyah pula merupakan salah satu selawat yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W yang mendoakan ke atas dua nabi, iaitu Nabi Muhammad S.A.W sendiri, dan Nabi Ibrahim A.S.
Selawat ini merupakan selawat yang lafaznya adalah yang paling lengkap, bagus dan sempurna. Oleh itu, selawat ini juga telah dibacakan dalam ibadah solat pada separuh kedua bacaan Tahiyat Akhir.
Syaikh Yusuf ibn Ismail an-Nabhani dalam kitab Afdhalush Shalawat `Ala Sayyid As-Sadat menyebutkan bahawa bacaan selawat yang paling sempurna adalah;
SELAWAT IBRAHIMIYYAH.
هَذِهِ الصَّلاةُ هِيَ أَكْمَلُ صِيَغٍ الصَّلوَاتِ عَلى النَّبِى المَأْثُوْرَةِ وَغَيْرِهَا
“Selawat ini (Selawat Ibrahimiyyah) merupakan bacaan selawat yang paling sempurna,
baik itu selawat yang diajarkan oleh Rasulullah mahupun selawat yang disusun oleh para sahabat atau para alim ulama.”
KEUTAMAAN MEMBACANYA;
Imam As-Showi menyampaikan sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari RA, Rasulullah SAW :
مَنْ قَالَ هَذِهِ الصَّلاَةَ شَهِدْتُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِالشَّهَادَةِ وَشَفَعْتُ لَهُ
“Barang siapa membaca Selawat Ibrahimiyyah ini maka aku (Rasulullah) akan menjadi saksi bahawa orang tersebut wafat dalam keadaan imam membawa 2 kalimat syahadat dan aku (Rasulullah) berjanji akan memberikan syafaat kepadanya.”
Bahkan para ulama mengatakan bahwa orang yang membaca Selawat Ibrahimiyyah 1000 kali dalam satu malam maka minimum sekali dalam seumur hidupnya ia akan dapat bermimpi bertemu Rasulullah SAW :
وَذَكَرَ بَعْضُهُمْ اَنَّ قِرَاءَتَهَا اَلْفَ مَرَّةٍ تُوْجِبُ رُؤْيَةَ النَّبِي صَلَّي اللهُ عَلَيْهَ وَسَلَّمْ
“Sebahagian ulama berkata bahawa membaca Selawat Ibrahimiyyah ini 1000 kali maka membuat orang yang membaca dapat berjumpa Rasulullah SAW dalam mimpinya.”
Selawat ini baik di baca pada malam hari, terutama pada setiap malam Jumaat.
Insyaallah dalam 3-4 jam selesai bacaannya.
Jika kita mempunyai hajat yang besar, apapun hajatnya maka baca selawat ini pada waktu malam hari 1000 kali selama 41 hari berturut-turut.
رُوِيَ عَنِ النبي قَالَ مَنْ صَلى عَلَيَّ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ قَضَى اللَّهُ لَهُ مِائَةَ حَاجَةٍ سَبْعِيْنَ مِنْهَا فِيْ الآخِرَةِ وَثَلاَثِيْنَ مِنْهِا فِي الدُّنْيَا
Diriwayatkan dari Nabi SAW, beliau berkata :
“Siapa yang berselawat kepadaku 100 kali setiap hari maka Allah SWT akan memenuhi 100 hajatnya, 70 di akhirat dan 30 hajat dunia.”
WAKTU PALING AFDHAL BERSELAWAT
Masa paling afdhal dituntut berselawat ialah:
- Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi Muhammad SAW.
- Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
- Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
- Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
- Di akhir qunut dalam solat.
- Di dalam solat jenazah.
- Ketika masuk dan keluar dari masjid.
- Setiap waktu pagi dan petang.
- Hari Khamis malam Jumaat.
- Sepanjang hari Jumaat.
- Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.
Sumber: Tanyalah Ustaz
Panduan Bacaan Arab / Rumi
Berikut merupakan panduan bacaan selawat Ibrahimiyyah ini dalam rumi beserta makna selawat:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim.
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.
Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”
[HR Bukhari dan Muslim]
Bacaan Rumi:
Allahumma Solli ‘Ala Muhammadin Wa ‘Ala Aali Muhammad, Kama Sollaita ‘Ala Aali Ibraahim wa Baarik ‘Ala Muhammadin Wa ‘Ala Aali Muhammad, Kama Baarakta ‘Ala Aali Ibraahim, Fil ‘Alamiina Innaka Hamiidun Majid
Video Selawat
Bagi anda yang memerlukan bantuan audio sebagai panduan bacaan, anda boleh dengarkan selawat yang dibacakan Ustaz Abdul Rahim dibawah yang dikongsikan di laman Youtube Inteam Digital:
Kelebihan Selawat Ibrahimiyyah
Banyak kelebihan atau fadhilat yang boleh kita peroleh jika kita mengamalkan selawat Ibrahimiyyah ini. Antaranya adalah:
- Mendapat pahala yang besar kerana selawat ini tergolong sebagai selawat utama.
- Mendapat Syafaat Nabi Muhammad S.A.W
- Dituliskan oleh Malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat.
- Dihapuskan oleh Allah sepuluh kejahatan atas setiap selawat.
- Rasulullah SAW akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dilafazkan.
- Mendapat kesejahteraan daripada doa Rasulullah SAW kepada yang berselawat.
- Selawat akan menjemput setiap pengucapanya ke jalan syurga.
- Allah dan para Malaikat akan berselawat ke atas individu yang berselawat.
Sebab Kita Berselawat Ke Atas Nabi Ibrahim A.S
Seperti yang dinyatakan di bahagian sebelum ini, selawat Ibrahimiyyah ini merupakan selawat ke atas dua Nabi iaitu Nabi Muhammad S.A.W dan Nabi Ibrahim A.S.
Namun begitu tahukah anda mengapa Nabi Ibrahim A.S sahaja yang disebut dan bukan nabi-nabi yang lain?
Berikut adalah sebab-sebab mengapa kita juga berselawat ke atas Nabi Ibrahim dalam selawat ini:
- Sebagai satu penghormatan kepada Nabi Ibrahim a.s yang digelar sebagai ‘Bapa Para Nabi. Apatah lagi Nabi Muhammad S.A.W sendiri berasal daripada keturunan Nabi Ibrahim A.S. Sekaligus Baginda adalah datuk kepada Rasulullah SAW dan juga datuk kepada semua umat Muhammad SAW.
- Sebagai satu penghormatan & doa yang dikabulkan oleh Allah Ta’ala kepada Baginda a.s. Firman Allah Ta’ala yang menggambarkan kisah permohonan doa Nabi Ibrahim a.s kepada-Nya :
رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ . رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ
Makna: “Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Dan jadikanlah aku buah bicara yang baik bagi orang-orang (yang datang) kemudian.
Surah Asy-Syu’araa (83-84)
3. Nabi Ibrahim merupakan ‘Khalilullah’, manakala Nabi Muhammad SAW pula digelar sebagai ‘Habibullah’, dan kedua-dua gelaran ini membawa maksud “Kekasih Allah S.W.T” .
Diharapkan dengan artikel ini, ia dapat membantu anda menambah amalan anda dan pemahaman anda berkenaan selawat Ibrahimiyyah ini. Anda juga boleh mendapatkan buku “Cabaran Sejuta Selawat Sekali Seumur Hidup” sebagai bimbingan anda untuk menjadi umat Islam yang lebih baik.
Baca juga: Selawat Ringkas, Panduan Bacaan & Kelebihan Mengamalkannya