Rasa sakit dada tengah sering kali dianggap sebagai serangam jantung, namun sebenarnya serangan jantung merupakan salah satu punca yang paling jarang berlaku bagi kesakitan di kawasan ini.
Jika anda mengalami serangan jantung, anda mungkin juga akan mengalami kesukaran bernafas, rasa kebas atau kesemutan pada salah satu lengan, pucat, dan loya selain daripada kesihatan tersebut.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda dengan lebih lanjut berkenaan masalah sakit dada tengah dan rawatan yang boleh anda dapatkan.
Apa itu Sakit Dada Tengah?
Sakit dada tengah merujuk kepada ketidakselesaan atau kesakitan yang dirasai di bahagian tengah dada, tepat di kawasan di antara tulang dada (sternum) dan bahagian sekitarnya. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, seperti rasa berat, tekanan, sensasi mencucuk, atau terbakar.
Baca juga: Sakit Dada Sebelah Kiri – Punca, Simptom & Rawatan Yang Sesuai
Punca Sakit Dada Tengah
1. Gas Berlebihan
Gas berlebihan yang terkumpul di dalam usus boleh menyebabkan sakit dada tengah yang sering kali disalah anggap sebagai serangan jantung. Apabila gas terperangkap, ia boleh memberi tekanan pada diafragma dan mencetuskan rasa tidak selesa di bahagian tengah dada.
Keadaan ini sering berlaku kepada individu yang mengalami sembelit, mengambil probiotik, atau menahan keinginan untuk membuang air besar. Rasa cemas akibat sakit yang tidak diketahui puncanya juga boleh memburukkan keadaan, menjadikannya lebih menyakitkan.
- Gejala lain: Selain sakit dada, seseorang mungkin mengalami kembung perut atau sakit perut yang tajam.
- Apa yang perlu dilakukan: Mengurut perut dan minum teh herba seperti teh adas atau teh buah pelaga boleh membantu mengeluarkan gas terkumpul. Ubat seperti simethicone juga boleh digunakan, tetapi sebaiknya diambil mengikut arahan doktor.
2. Kostokondritis
Kostokondritis adalah keradangan pada tulang rawan yang menghubungkan tulang rusuk dengan sternum (tulang tengah dada). Kesakitan akibat kostokondritis biasanya terasa lebih kuat apabila dada ditekan atau ketika berbaring menghadap ke bawah.
Ia sering berlaku akibat tekanan berlebihan pada dada, kecederaan, atau pergerakan yang berulang.
- Gejala lain: Dada terasa lebam dan sakit semakin teruk apabila disentuh, bernafas dalam, atau batuk.
- Apa yang perlu dilakukan: Melakukan terapi hangat pada sternum boleh membantu mengurangkan kesakitan. Jika kesakitan berterusan, rawatan dengan ubat anti-radang seperti ibuprofen mungkin diperlukan, bergantung kepada nasihat doktor.
3. Serangan Jantung
Walaupun sakit dada sering dikaitakn dengan serangan jantung, ia bukanlah punca utama sakit dada tengah. Serangan jantung biasanya berlaku kepada individu yang mempunyai faktor risiko seperti berat badan berlebihan, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, atau sejarah penyakit kardiovaskular.
Kesakitan akibat serangan jantung biasanya bermula dengan rasa sesak dada yang ringan sebelum semakin teruk.
- Gejala lain: Peluh sejuk, loya atau muntah, pucat, sesak nafas, serta rasa berat atau kebas di lengan kiri.
- Apa yang perlu dilakukan: Jika anda mengesyaki serangan jantung, segera ke hospital atau hubungi talian kecemasan untuk mendapatkan rawatan segera.
4. Gastrik
Gastrik atau keradangan pada perut adalah antara punca sakit dada tengah yang paling biasa. Kesakitan ini sering bermula dari bahagian atas perut dan boleh merebak ke tengah dada atau ke belakang.
Gastrik sering berlaku akibat tabiat pemakanan yang buruk, seperti makan makanan pedas atau berlemak secara berlebihan, serta tekanan yang mengubah keseimbangan pH dalam perut.
- Gejala lain: Rasa penuh di perut, kurang selera makan, pedih ulu hati, dan sendawa yang kerap.
- Apa yang perlu dilakukan: Minum air dengan beberapa titis lemon atau jus kentang boleh membantu meningkatkan pH perut dan mengurangkan keradangan. Jika simptom berterusan lebih dari 3-4 hari, berjumpalah dengan pakar gastroenterologi, terutama jika terdapat risiko jangkitan bakteria Helicobacter pylori.
5. Ulser Perut
Ulser perut adalah luka yang terbentuk pada lapisan perut akibat gastrik yang tidak dirawat. Ia boleh menyebabkan kesakitan yang lebih taham dan menusuk hingga ke dada tengah atau belakang.
Ulser sering berlaku akibat penggunaan ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) yang berlebihan, jangkitan bakteria H. pylori, atau tekanan yang berpanjangan.
- Gejala lain: Kesakitan yang tajam di perut atau dada, loya yang kerap, rasa perut berat, dan muntah yang mungkin mengandungi sedikit darah.
- Apa yang perlu dilakukan: Jika disyaki mengalami ulser, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Ubat seperti pantoprazole atau lansoprazole boleh membantu mengurangkan asid perut dan melindungi lapisan perut. Pemakanan juga memainkan peranan penting – elakkan makanan pedas, berlemak, atau terlalu masam.
6. Masalah Hati
Walaupun sakit hati biasanya dirasai di bahagian kanan perut, ia juga boleh menjalar ke tengah dada. Masalah hati seperti penyakit hati berlemak, hepatitis, atau sirosis boleh menyebabkan ketidakselesaan yang berterusan dan memberi kesan kepada sistem pencernaan serta metabolisme tubuh.
- Gejala lain: Loya yang berpanjangan, penurunan berat badan, sakit kepala, air kencing berwarna gelap, serta kulit atau mata yang kekuningan (jaundis).
- Apa yang perlu dilakukan: Jika mengalami gejala ini, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Ujian fungsi hati mungkin diperlukan untuk menentukan tahap keseriusan masalah dan rawatan yang sesuai.
Simptom & Gejala
Sakit dada tengah boleh disertai dengan pelbagai simptom yang berbeza, bergantung kepada puncanya. Ada simptom yang ringan dan tidak membahayakan, tetapi ada juga yang menjadi petanda kepada keadaan serius seperti serangan jantung atau penyakit paru-paru.
Antara simptom atau gejala sakit dada tengah adalah seperti berikut:
- Kesakitan atau ketidakselesaan di tengah dada
- Kesukaran bernafas, rasa sempit di dada
- Peluh sejuk tanpa sebab jelas, wajah pucat atau kebiruan
- Mual, muntah dan hilang selera makan
- Rasa berat atau kebas di lengan kiri
- Sendawa berlebihan dan kembung perut
- Pening atau rasa hendak pengsan
Baca juga: Sakit Dada Sebelah Kanan : Gejala dan Punca
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Anda perlu segera berjumpa doktor jika:
- Kesakitan dada berlaku secara tiba-tiba dan sangat kuat.
- Ia disertai dengan simptom seperti sesak nafas, peluh sejuk, loya, atau sakit yang menjalar ke lengan atau rahang.
- Anda mempunyai sejarah penyakit jantung atau tekanan darah tinggi.Kesakitan tidak hilang walaupun selepas rehat atau mengambil ubat biasa.
- Anda mengalami simptom seperti batuk berdarah atau kesukaran bernafas.
Kesimpulan
Kesimpulannya, sakit dadah tengah bukanlah sesuatu yang boleh diabaikan, terutama jika ia disertai dengan simptom yang membimbangkan. Ia boleh berpunca daripada masalah ringan seperti pencernaan, tetapi juga mungkin tanda kepada masalah serius seperti serangan jantung atau embolisme paru-paru.
Penting untuk mengenal pasti punca dan mendapatkan rawatan yang tepat. Sekiranya anda tidak pasti tentang puncanya, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan yang sesuai. Kesihatan anda adalah keutamaan, dan tindakan awal boleh menyelamatkan nyawa.
Sumber:
- Angina (Chest Pain) – What Is Angina? National Heart, Lung, and Blood Institute
- 10 Possible Causes of Chest Pain That Comes and Goes. Medical News Today